Friday, 9 June 2017

PERPUSTAKAAN - Xander Xavier


Nama aku Hakim. Aku pelajar tahun pertama kursus sains aktuari di universiti terkemuka tanah air. Walaupun nama aku Hakim, namun aku tak sebijak mana. Aku tak suka kursus ni, tapi sebab prospek masa hadapan yang cerah aku tabahkan juga hati.

Semester pertama aku gagal teruk, setiap kali kuliah aku akan duduk belakang sekali sebab takut kena soal. Tutorial jangan cakaplah, terketar-ketar aku duduk dekat kerusi. Kalau malas memang aku tak datanglah. Nak minta tolong kawan, memang jangan haraplah. Masing-masing lepaskan diri sendiri.

Pensyarah dah patah semangat dengan aku. Semangat aku lagilah, jangan kata patah, debu pun dah tak ada dah. Sampailah pada satu hari ni yang mengubah alam universiti aku menjadi indah dan bahagia. Tapi, tak bahagia sangat...

Pukul 3 petang. Kelas aku habis awal hari tu sebab pensyarah tak berapa sihat. Aku malas nak balik bilik sebab aku dikurniakan seorang rakan sebilik yang tersangatlah ‘baik’ budi pekertinya. Dia panggil aku ‘ulat lembap’ sebab penampilan aku yang nerd dan otak yang tak berapa nak bijak.
Jadi, aku pun lepaklah dekat perpustakaan. Aku tak suka duduk dekat kerusi, aku akan baca buku dekat laluan antara rak-rak buku. Aku keluarkan assignment statistik dan mula menaip.

Buk!

“Adoi!” aku mamai. Aku tertidur rupanya. Rasa sakit di kepala belum hilang lagi, aku toleh ke sebelah. Seseorang sedang mengutip buku yang berada di samping aku.

“Sorry dik, abang tak sengaja tadi, kenapa tidur kat sini?” lembut suara dia. Muka kacak. Dia pakai cermin mata tanpa bingkai. Tinggi gila kot !!! Kalau aku perempuan, mesti cair. Nasib baik iman aku masih kukuh lagi. Hahaha!

“Tak apa, bang. Tak sakit pun”

“Adik ni Hakim kan? Yang gagal sem pertama tu? Nak belajar dengan abang tak ?” kata ‘abang’ tadi tu sambil menunjukkan nota di tangan kirinya.

Mana dia kenal aku ni?

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Aku perlu lulus sahaja untuk jamin masa depan aku. Dengan segera aku mengangguk dan kami bergerak ke bahagian yang mempunyai kerusi dan meja untuk belajar.

Perpustakaan sudah kosong pada ketika itu. Tanpa memperkenalkan diri, dia terus ajar aku itu dan ini. Aku tak teringat langsung dah berapa lama aku dalam perpustakaan tu. Aku hanya sedar apabila tiba-tiba perpustakaan sudah kembali penuh. Cis, aku tertidur lagi.

“Woi, kenapa tak balik bilik semalam? Susah doh, tak ada orang kejutkan aku,” Rahim, kawan sebilik aku yang terlebih ‘baik’ tu menyapa.

“Jam pukul berapa ?” aku menanya selamba sambil memasukkan buku-buku ke dalam beg. Ada nota yang ‘abang’ semalam bagi. Ada nota lekat di atasnya yang tertulis,
JUMPA BESOK PADA WAKTU YANG SAMA.

“9” Rahim meninggalkan aku setelah menjawab pertanyaan itu.

Kenapa tak ada pustakawan yang menghalau aku keluar seperti selalu? Mungkin semalam aku tidur di tempat tersorok agaknya.

Wei, aku dah lambat ke kelas tutorial. Tak lama lagi peperiksaan akhir, aku tak nak gagal lagi. Jadi biarlah aku terkencing sekali pun dalam kelas tu sebab takut kena soal, yang penting aku akan cuba untuk lulus juga.

Sesampai saja di kelas, pelajaran belum dimulakan. Aku pun duduk dan keluarkan semua khazanah dalam beg aku. Kelas tutor hanya mengandungi 5 orang pelajar. Tapi kenapa tutor tu tengok aku lain macam? Dia melangkah menghampiri aku.

“Hakim, awak dapat mana nota ni?”

“Dari ‘abang’ dekat perpustakaan”

“Abang mana?”

“Alamak, saya lupa tanya nama. Sorry, Encik”
Tutor tu pun sambung mengajar. Nasib baik tak betul-betul terkencing tadi. Habis segala urusan dan sesi kuliah, aku kembali ke bilik untuk membersihkan diri dan bergerak semula ke perpustakaan. Setiap hari aku ke situ. Setiap hari juga aku tertidur di perpustakaan dan tidak pernah ada seorang pun yang menghalau aku pada waktu malam aku tertidur di situ.

Tanpa disedari, hari result final semester 2 pun tiba. Aku lulus dengan markah penuh untuk setiap subjek yang aku ambil. Pensyarah tak percaya, aku pun tak percaya. Perkara ini berlanjutan sehingga tahun terakhir aku bergelar mahasiswa ijazah sarjana muda. Nama aku sentiasa tersenarai sebagai pelajar cemerlang. Dan aku semakin rapat dengan abang Hadi.
Aku hanya tahu namanya setalah nama aku tersenarai sebagai salah seorang pelajar yang menerima anugerah dekan. Yang aku pelik, kalau abang Hadi ni pelajar, kenapa dia tak grad lagi? Dia kan pandai.

“Hakim, boleh saya pinjam semua nota yang abang perpustakaan bagi dekat awak ?” tiba-tiba bekas tutor aku telefon. Aku dah lama tak pergi tutor sebab abang Hadi dah cukup bagi aku.

“Boleh. Encik nak bila? Malam ni. Boleh. Saya singgah perpustakaan dulu, nak ambil nota last, lepastu saya jumpa Encik,” panggilan di matikan.

Aku mencampakkan telefon bimbit ke atas katil. Belum sempat aku melabuhkan punggung, Rahim masuk ke dalam bilik. Dia suruh aku buatkan assignment dia. Aku tak nak, jadi adegan tumbuk-menumbuk pun bermula.

Aku yang berbadan kecil ni berjaya meloloskan diri dan berlari ke perpustakaan. Masa tu awal lagi, baru pukul 3 petang. Perpustakaan agak lengang.

“Pipi tu kenapa ?” Hadi bertanya sambil memberikan nota terakhir untuk program ijazah.

“Kena tumbuk dengan Rahim,” aku jawab jujur sebab tidak ada yang aku rahsiakan daripadanya. Kami bagaikan satu.

“Kamu nak balas dendam?” aku tersentak. Dia boleh baca fikiran aku.

“Macam mana, bang?” Hadi hanya mendiamkan diri. Dia tersenyum sinis. Ini kali pertama Hadi buat muka begitu. Sangat menakutkan.

“Oh ya ! Saya kena pergi jumpa tutor malam ni, saya nak balik awal boleh?”

“Silakan”
Pertemuaan dengan Encik Hisyam (tutor) pada malam itu telah mengembalikan aku ke alam realiti. Rahsia mengapa Hadi hanya berada di perpustakaan, mengapa dia masih berada di situ setelah beberapa tahun, mengapa dia hanya boleh ditemui pada jam 3 petang hingga lewat malam dan rahsia mengapa tiada yang mengejutkan aku setiap kali aku tertidur di perpustakaan terungkap pada ketika itu.

Hadi Harris. Pelajar pintar yang bunuh diri pada jam 3 petang setelah mendapat tahu bahawa tesis yang dihasilkannya untuk tahun akhir adalah gagal. Dia dibuli sepanjang berada di university tersebut. Mayatnya ditemui di lorong antara rak buku pada pukul 2 pagi.

Kenapa perlu waktu lama untuk menyedarinya sedangkan mayat itu telah berada di situ sejak pukul 3 petang? Kerana tiada siapa yang menyangka, lelaki berpakaian kemas dengan buku di tangan itu telah mati. Siswa-siswi lain menyangka Hadi sedang tidur.

Dia ditemui oleh pengawal keselamatan sewaktu melakukan rondaan. Persis posisi sewaktu Hakim pertama kali bertemu dengan Hadi. Sejak hari itu, tiada sesiapa pun berani mengadakan rondaan di perpustakaan kerana pasti akan diganggu.

Hakim juga diberitahu oleh Encik Hisyam bahawa Hadi sudah berada di situ sejak tahun 90-an. Dan dia akan memberikan notanya kepada pelajar terpilih sekali setiap 4 tahun.

Encik Hisyam tahu perkara ini kerana sahabatnya juga adalah penerima nota Hadi. Sahabatnya itu ditemui mati di dalam tandas rumah sewa mereka sebaik sahaja pulang daripada mengambil nota terakhir daripada Hadi. Begitu juga dengan mangsa-mangsa Hadi sebelum ini.

“Hadi dah bagi awak nota terakhir untuk awak grad?” celah seorang ustaz yang di bawa bersama oleh Encik Hisyam.

“Dah. Baru… tadi…” aku terketar. Tak sangka aku berkawan dan di bantu oleh hantu selama ni.

“Cuba tengok halaman terakhir nota tu,” Encik Hisyam memberikan arahan. Aku segera membuka halaman terbabit.

CUKUP SATU NYAWA !
“Tapi syukur, awak masih tak apa-apa,” kedengaran nafas lega ustaz terbabit.

Otak aku tiba-tiba ligat berputar. Aku ada terlupa sesuatu. Memori yang ada di dalam minda semuanya digerakkan semaksimum mungkin agar dapat mengingati perkara terbabit.

“Ya Allah ! Rahim !!!!” semua terkejut.
Moral of the story : Berusahalah sendiri. Kisah di atas hanyalah hiburan semata-mata. Ambil yang jernih buang yang keruh. Tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah.


Suntingan : Arkib Angker Negara
Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.
*Gambal hasil carian di Google.

Thursday, 8 June 2017

SIAPA DIA? - Erna Nadia


Suatu petang yang suram, di saat jam berdetak 6 kali, zaiton masih di dalam biliknya. Zaiton adalah pakar di salah sebuah daerah dan kliniknya adalah di kawasan kampung yang agak terpencil.
Semua orang dah berangkat pulang.

Klinik sudah kosong tidak berorang.


Zaiton masih sibuk menyiapkan kerjanya.
Sedang kusyuk menaip, tiba tiba zaiton perasan ada makhluk melalui CCTV nya.

Zaiton menatap dekat screen CCTV itu.
Di kawasan yang menghala ke farmasi itu, zaiton nampak ada seorang pakcik sedang duduk menunggu.

Zaiton berasa kasihan lalu zaiton keluar untuk memberitahu pakcik tu yang farmasi sudah tutup dan semua orang sudah balik.
Farmasi itu berada berhadapan dengan biliknya.
Seelok zaiton buka pintu, dia lihat tiada siapa di ruangan menunggu. Lalu zaiton lihat CCTV semula, imej pakcik itu masih ada di situ.
Zaiton sudah meremang.
Kenapa di dalam CCTV ada tapi realiti tiada?

Dalam masa dua minit, zaiton sudah memecut keretanya pulang ke rumah.
Keesokan harinya, zaiton memanggil seorang pekerja. Nama pekerja itu jenab.
Jenab biasanya balik lewat kerana dia akan membersihkan kawasan klinik dan menutup segala suis yang ada.
Hampir biru muka jenah mendengar cerita zaiton.
Kata jenab, semalam anaknya juga diganggu pada waktu yang sama.
Cerita jenab, pada pukul 6 petang tu, dia pergi bersolat asar dan membiarkan anaknya duduk di kerusi di kawasan triage.
Kawasan triage tu jauh sedikit dari bilik zaiton dan farmasi tapi masih boleh dilihat.
Selesai memberi salam pertama jenab terkejut kerana anak dia duduk memandang tepat ke wajahnya dengan mata terbeliak dan badan menggigil.
Kata anak jenab, semasa dia tengah makan ayam goreng di meja triage, tiba tiba ada satu tiupan kuat betul betul di telinga nya. Akibat terkejut dengan angin yang kuat itu, anaknya terus berlari ke bilik solat.
Dan semasa dia berlari ke bilik solat, anaknya nampak zaiton jugak berlari laju menuju ke kereta.
Siapa di dalam CCTV dan siapa yang meniup itu?
Wallahualam.
Cumanya kita kena faham yang makhluk yang hidup di dunia ini bukan manusia dan haiwan sahaja dan bukan yang nampak dengan mata kasar sahaja.


Nukilan: Erna Nadia (https://www.facebook.com/dr.t0iek)
Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan, boleh kirimkan kisah itu ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

TETAMU MALAM - Tengku Mohd Firdaus


1 May 2005, aku berpindah dari rumah kakakku ke rumah pakcikku di Pandan Indah. Pakcik aku masih bujang walaupun walaupun dah mencecah 35 umurnya. Aku berpindah kerana ada sedikit segan dengan abg iparku. Yela, tak nak lah ganggu privacy orang kawin ni.

Setelah beberapa bulan menetap di Pandan Indah, aku selesa tinggal di sana, pakcik aku baik walaupun dia antara gangster kuat di KL tu, dan dia bekerja di CityBank. Aku hanya barista di sebuah cafe terkemuka di KL.


Ada satu malam tu, malam sabtu, aku sampai di rumah pukul12 malam (habis shif petang). Nampak la pakcik aku ni tengah tengok movie. Dalam hati aku, tak clubbing pula dia malam ni. Aku pun terus naik atas menuju ke bilik (apartment kami tingkat 3, dalam rumah ada lagi 1 tingkat untuk ke bilik atas).

Sampai di pintu bilik aku terlihat pintu bilik pakcik aku terbuka. Aku intai dia tengah buat kerja di mejanya.

Aku pun masuk la bilik, kemudian aku teringat, dia tengah buat kerja, kat bawah tu siapa ? Aku tak sedap hati. Tak pernah dia bawa balik kawan. Lagipun aku tau la rupa dia macam mana walaupun kat bawah tu dia menonton TV membelakangi aku.

Aku intai dalam bilik, dia tengah buat kerja lagi. "Sah sah la kat bawah tu benda lain" dalam hati. Perlahan-lahan aku turun tangga and intai ke bawah, dia ada lagi menonton TV dan, tersenyum.

Aku naik atas panggil pakcik aku, dengan suara perlahan "Pakcu, ikut angah pergi bawah jap" sambil menunjukkan isyarat "shh diam".

Dia ikut di belakang aku, menuruni tangga perlahan, aku tanya kat Pakcu "sape tu Pakcu? Hantu ke"

Dia jawab "Tak tahu.. cuba tegur".

Aku pun tegur dengan suara kuat "Hoi!! Hang siapa ?"

Terkejut Pakcu aku di bawah tu sambil tegur aku balik "Ha, kamu kenapa?"

Aku pun paling belakang nak tengok mana satu yang betul. Toleh-toleh dah tiada siapa di belakang, entah macam mana aku jatuh tangga dan esoknya demam 5 hari.

Pakcu aku tak faham apa yang terjadi. Setelah dijelaskan, dia pun pergi jumpa seorang ustaz. Ustaz itu kata ada orang hantar benda. Mungkin ada orang yang tak puas hati dengan Pakcu aku.

Ustaz itu beritahu, jarang-jarang benda itu datang and terus memunculkan diri. Cuma dia pesan, kita jangan buat orang bermusuh dengan kita. Kena pada kita tak mengapa lagi, kalau kena pada orang sekeliling kita, kasihan kan?

Lepas ustaz datang rumah, Alhamdulillah benda tu dah tiada. Tapi aku tak akan lupa pasal benda ni dan setiap kali aku balik kerja malam-malam, mesti akan terbayang benda tu ada lagi.


Nukilan: Tengku mohd Firdaus (https://www.facebook.com/kucik.kenpachi)
Suntingan: Arkib Angker Negara

Jika anda ada kisah seram, boleh kirimkan ke inbox kami. Kisah anda akan kami kongsikan dan ia akan dikreditkan kepada anda.

Tuesday, 6 June 2017

SAKAT - Bel Nawhen


Rumah Wan saya di Kedah betul-betul dihadapan surau yang sebelahnya adalah tanah perkuburan. Jadi tak susah nak cam rumah mereka walau bertahun saya tidak balik
Jadi kalau ada tanah perkuburan maka saya yang masih remaja masa tu automatik akan tidur awal waktu malam sebab takut dengar cerita kebangkitan hantu pelbagai spesis tatkala detik 12 tengah malam.
Ajaibnya, bila tiba bulan puasa perasaan itu terbang sama sekali. Diri jadi over berani.
Teringat kerenah nakal saya, adik, serta rakan di kampung dahulu tatkala ramadhan menjelang tiba. Kalau tak salah umur dalam 15tahun masa itu. Kebetulan memang saya dan adik saya yang ketiga sahaja perempuan di kalangan sepupu-sepupu. Maka boleh agak kekasaran saya masa itu.
Hari itu giliran rumah Wan untuk menyediakan moreh. Biasalah urusan membahagi moreh tu terletak di tangan kami anak-anak muda.
Kemudian kami sepakat untuk berkumpul malam hari untuk menjalankan satu projek menakutkan orang ramai di malam hari.
Malam tu kami saling cabar mencabar, siapa yang berani keluar masuk ke dalam kawasan perkuburan sendirian. Maka dengan megah saya dan beberapa orang mengambil giliran untuk menunjukkan kehebatan kami yang tidak takutkan hantu dan jembalang. Bulan puasa kan. Bolehlah mendabik dada. Tapi jika bulan biasa, bagilah upah banyak mana, jangan harap nak pergi. Takut kene sorok dengan hantu nenen.
Salah seorang dari kami membawa pelita minyak tanah, kain putih dan bedak. Tiga orang dari kami mengambil giliran untuk menakutkan orang kampung yang lalu lalang di jalan raya. Kebetulan rumah Wan dan surau yang bersebelahan dengan tanah perkuburan dipisahkan oleh jalanraya dua hala. Ada pula semak yang memang strategik untuk menjadi tempat persembunyian kami. Memang cantik.
Boleh bayangkan, muka dilumur dengan bedah seputih-putihnya kemudian balut badan dengan kain putih dan berjalan melintasi jalan ke pagar kubur dengan memegang pelita. Harus orang lupa bulan-bulan puasa ni syaitan kan diikat.
Kami akan munculkan diri apabila kelihatan ada suluhan cahaya dari jauh tidak kira motor atau kereta. Semangat nak takutkan orang!.
Ya, kereta yang lalu akan menambah kelajuan mereka apabila melihat 'kelibat' putih berdiri 'usha' mereka dari jauh. Motor pula usah cerita, keluar carutan dan jeritan dari mereka apabila ternampak lintasan lembaga. Kami yang menyorok tu tak menahan ketawa melihat kekalutan masing-masing yang ternampak hantu tepung gomak bawa pelita itu.
Sampai satu ketika, ada satu motor lalu. Dua lelaki saya rasa masa itu. Bukan main kuat si penunggang baca ayat kursi apabila nampak ada kelibat 'hantu' betul-betul di depan pintu masuk kubur. Tapi tak pula dia menambah kelajuan motornya. Mungkin antara takut dengan tidak. Pemboncengnya pula menghala suluhan lampu picit ke arah 'lembaga' tersebut. Kami yang sedang menyorok dah tak sedap hati. Rakan yang menyamar pula perlahan-lahan melintasi jalan kononnya nak menambah efek keseraman. Tidak sampai 500 meter motor itu melepasi kami, kami dengar jeritan dari mereka.
'Woy, patah balik. Bulan puasa mana ada hantu. Kuajaq depa ni nak takutkan kita'.
Kami apalagi. Dengar bunyi motor patah balik. Semua bertempiaran lari menyelamatkan diri masuk dalam rumah wan termasuklah si hantu tadi. Kami tak mengeluarkan sebarang bunyi kerana bimbang kena beduk dengan wan serta ibu saudara kami. Mujurlah saya dah standby pintu rumah dalam keadaan separa renggang. Mudah kami seludup masuk.
Kami terhendap-hendap melalui tingkap, memang motor itu patah balik. Siap berhenti di depan surau dan mereka suluh setiap kawasan yang ada untuk mencari kelibat yang dah kacau mereka tadi. Sampai ke semak tempat kami sembunyi mereka dok suluh. Dada kami dah dupdab dupdab. Suluhan lampu picit dihalakan ke rumah wan. Agaknya nak tengok kot-kot kami ni tak sempat nak hapuskan jejak. Lepas pencarian mereka tidak berhasil. Mereka pun pergi. Tapi sempat kami dengar mereka berkata dengan nada yang marah;
'Hari ni hari depa. Esok kita tengok ada dok sakat lagi tak. Hangpa ingat hangpa boleh lepas?. Aku piat telinga hangpa kalau aku tahu siapa hangpa'
Selepas motor itu pergi. Baru saya perasan rakan yang menjadi hantu tadi rupanya tidak ada didalam rumah bersama saya dan sepupu. Rupanya dia menyorok disebalik pokok limau barli bersebelahan rumah kami. Agaknya tak sempat nak masuk kerumah kot.
Dia masih lagi berbungkus kain putih dan muka tak sempat dicuci lagi. Lampu minyak tanah sahaja yang entah dah dicampak kemana. Rakan saya itu terus balik selepas memastikan keadaan terkawal. Dia hanya cakap 'Aku balik dulu' dan berjalan menuju belakang rumah wan yang ada jalan pintas ke rumahnya.
---
Esoknya kami berkumpul semula dan masing-masing tak henti-henti cerita dan ketawa dengan kisah malam tadi. Hinggalah rakan saya yang menjadi hantu tu berkata,
"Hangpa memang tak guna. Cabut tinggai aku kat sana. Nasib baik otak aku geliga. Capai basikal dan balik rumah teruih. Nak terkencin aku takut kantoi. Kalau pelita mak aku pecah. Haru aku nak menjawab tahu dak"
Saya dan sepupu berpandangan.
"Bukan hang nyorok kat pokok limau barli ka semalam. Lepas tu balik lalu jalan belakang?" soal saya.
"Hang gila. Kalau aku menyorok kat pokok limau barli tu, sah-sah kena tangkap. Lepas tu nak lalu jalan belakang tu mana boleh pakai basikal! Denai ja kot"
Maka kami semua terdiam seribu bahasa. Takkan ada hantu di bulan puasa? Kami nak sakat orang. Tapi kami yang kena sakat! Nasib baik hantu tepung tu tak tegur kami lebih-lebih. Kalau dia duduk sebelah saya masa dok mengendap penunggang dan pembonceng motosikal tu. Saya rasa demam dah saya.
Lepas kejadian tu. Kami memang tak sebut langsung tentang projek usik orang kampung walau agak heboh di surau tentang kejadian itu malam esoknya. Kami takut tertangkap, dan kami lagi takut kalau ada teman pula masa sedang jadi hantu.
Notakaki;

Nak jadi hantu, tapi hantu pula yang nak takutkan hantu-hantu



Nukilan


Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Sunday, 4 June 2017

LOCENG - Fahmi Hassan


"Ding dong! Ding dong!"
Loceng di rumah berbunyi. Aku tersentak dari lena. Cahaya dari layar tv membuatkan aku sedikit silau.

Aku capai telefon bimbit. 11.30 malam. Aku bingung. Rasa baru sahaja aku baring tadi. Baju kemeja di badan kedut seribu.
Aku teringat akan bunyi loceng tadi. Perlahan aku bangun malas. Menyeret kaki ke pintu.
Aku intai melalui lubang intip. Kosong. Tiada siapa di luar. Hanya susunan kasut yang kemas. Pintu jeriji besi masih lagi tertutup kemas.
Mungkin aku bermimpi tadi. Siapa pula yang datang ke rumahku lewat malam begini.
Aku menuju ke peti ais. Pintu peti ais dibuka. Tanganku mencapai kotak jus limau. Ringan. Hampir kosong.
Aku kosongkan segala air didalamnya sehingga titisan terakhir.
"Ding dong!"
Sekali lagi loceng berbunyi. Kali ini aku tahu ia bunyi yang betul dan bukan dari mimpi. Aku terus ke pintu.
Aku intai ke luar. Masih kosong.
Dengan perasaan tak puas hati aku buka pintu. Ada kelibat laju melintasi pintu. Susuknya kecil.
Aku capai kunci dan buka pintu jeriji besi. Aku jenguk ke kanan. Pintu kecemasan menuju ke tangga masih tertutup.
Aku pusingkan kepala ke kiri. Kosong. Sepi.
Pintu ku kuncikan semula. Mungkin ada anak anak kecil yang nakal cuba bergurau. Gurauan bodoh yang menjengkelkan.
"Ding dong!"
Sekali lagi loceng berbunyi. Aku malas mengintai lagi. Pantas aku menuju ke arah penggera dan ku padamkan suisnya. Biar ia senyap malam ini. Biar anak jiran itu kepenatan berlari selepas menekan loceng.
Aku capai tuala untuk ke tandas. Sejak pulang dari pejabat petang tadi aku tertidur tanpa sempat mandi. Entah kenapa aku rasa sangat letih.
"Ding dong!"
Loceng berbunyi lagi. Meremang bulu romaku. Suis sudah dipadam. Mana mungkin ia terus berbunyi.
Perlahan aku menuju ke pintu. Mata kiri ku pejam. Mata kanan aku letakkan di lubang intip.
Sebiji mata merah sedang memandangku garang dari luar.
Aku tak ingat lagi apa yang berlaku selepas itu. Aku sedar di hospital. Tidak mampu berkata kata. Tidak mampu bergerak.
Hanya mampu melihat dan mendengar. Mendengar doktor memberitahu ibuku yang aku mengalami pendarahan di dalam otak. Aku tak mungkin bercakap dan bergerak semula.
Nukilan: Fahmi Hassan 



Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Friday, 2 June 2017

KATIL - Al-Luqman Nul Hakim


Assalamualaikum. Kisah seram ni berlaku pada tahun 2009 sewaktu saya menuntut di ILP pasir gudang. Yang mana memang dari dulu ada cerita yang dibawa dari tahun ke tahun. Saya ditempatkan di dorm 1-7 aras satu di bahagian tengah di antara dorm-dorm yang lain. Dorm ini memuatkan 10 orang di dalamnya dan setiap bilik memiliki 5 katil doubledecker. Saya tidur di bahagian atas.
Pada satu hari seperti hari-hari biasa, saya dan rakan sebilik akan pergi ke surau dan solat berjemaah maghrib dan isyak. Selepas pulang dari surau, saya dan rakan-rakan akan letakkan semua tilam di lantai dan hidupkan satu laptop untuk tonton video. Oleh kerana terlalu letih, saya tidak turut serta dan memilih untuk tidur di atas katil.
Pada tengah malam kaki saya seperti digigit nyamuk, dan terasa sungguh gatal di bahagian ibu jari sehingga membuatkan saya tersedar. Tanpa membuka mata saya menggaru ibu jari yang gatal menggunakan kaki sebelah lagi. Selepas hilang gatal dikaki, saya tidak boleh terlena dan terus berkhayal.
Tiba-tiba saya terdengar bunyi sayup dikala malam yang sunyi, dan bunyi itu membuatkn saya takut dan terus menyelubungi tubuh badan saya. Bunyi itu seperti bunyi hentakkan dua belah kaki. Dan saya dapat bayangkan hentakan itu berjalan. Itu tak ubah seperti hentakan POCONG.
Saya duduk di aras bawah, jadi saya akan dengar hentakan itu dari bahagian atas. Hentakan itu sayup saya dengar dari hujung asrama semakin lama semakin dekat. Semakin dekat. Semakin kuat... Dup! Dup! Dup! Dup!
Bunyi hentakan kedua belah kaki di atas simen itu saya rasakan semakin hampir dengan saya. Sehinggalah bunyi itu benar-benar di atas kepala saya di dorm aras atas. Ia seperti tidak berganjak dari tempatnya ketika berada di atas saya. Dalam hati hanya, Tuhan sahaja yang tahu sungguh takutnya saya pada waktu itu.
Tiba-tiba bunyi hentakan itu beransur pergi dan semakin sayu sayu sayu dan hilang. Rasa ketakutan saya itu hilang kerana bunyi hentakan itu hilang, tetapi tiba-tiba katil saya bergegar seperti dilanggar badan manusia di hujung kaki. Saya terbayang pocong melanggar katil saya. Ia berlaku sekali saja. Saya terus berdiam mata terus terpejam.
Hampir setengah jam selepas itu saya tak boleh tidur. Tiba-tiba kaki yang gatal tadi gatal kembali. Saya beranikan diri untuk bergerak kerana terlalu gatal dan menggaru mengunakan kaki sebelah lagi. Kerana menggaru yang kuat dan saya tidur di bahagian atas katil, katil itu berbunyi disebabkan besi bergesel. '' Erkkkk erkkkk”
Tiba-tiba saya seperti mendapat respon dari katil berhadapan saya, yang g mana katil itu juga berbunyi. Dan dalam hati saya—”selamat lah. Rupanya ada yang sedar…”
Saya seperti mau menjerit tapi disebabkan takut, saya diam saja. Esok saja saya tanya dengan siapa yang bunyikan katil itu. Tak lama kemudian, saya terdengar bunyi jeritan dan ada yang berlari seperti mengejar sesuatu tapi saya cuma abaikan dan terus tertidur.
Keesokan pagi saya cerita dengan rakan sekelas yang juga teman sebilik. Masing-masing tidak mempercayainya dan menggangap saya bermimpi. Bila saya balik dari kelas, saya bercerita pula pada teman sebilik yang berlainan kelas. Terdapat keraguan antara kami disebabkan saya bercerita tentang ada yang berlari-lari semalam kerana memanb berlaku kejadian pelajar lelaki dirasuk pada malam itu
Perkara yang paling membuat saya takut adalah bila saya tanya siapa yang tidur di atas katil berbunyi itu, semua terdiam kerana cuma saya seorang saja yang tidur di atas katil pada malam itu. Jadi siapa yang membunyikan katil?
Sekian.
Nota: Di dorm atas, pernah diceritakan terdapat anak kecik bermain basikal dan menembusi dinding. Selain itu saya juga selalu terdengar bunyi hentakan safetyboot pada waktu malam


Nukilan : Al-Luqman Nul Hakim (https://www.facebook.com/en.hacks)
Suntingan : Arkib Angker Negara
Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, boleh hantar ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Thursday, 1 June 2017

PALUAN - Fahmi Hassan


Waktu aku masih bersekolah, aku selalu bermain kompang untuk pasukan kompang di kampung. Ya, kompang yang orang sewa waktu ada majlis perkahwinan. Biasalah di Johor, kalau tak ada kompang, baik tak payah buat majlis kahwin.
Untuk memastikan paluan kompang kami tidak sumbang, latihan memang sangat penting. Biasanya latihan dilakukan selepas solat Isya’ hari Jumaat, sekitar jam 9 sehingga 11.
Nak main kompang ini memang nampak mudah. Tapi sebenarnya satu pasukan kompang perlu ada pemain untuk 3-4 jenis pukulan berbeza untuk jadikan rentak yang sedap. Nak lagi sedap kena ada jidur. Kadang-kadang ada lagu yang kena ada tamborine juga.
Jidur tu apa? Ala, gendang besar yang ketuk pakai kayu tu. Kau google lah gambar dia. Aku bukan nak cerita pasal cara bermain kompang sebenarnya.
Yang menariknya, tempat latihan kompang tu adalah sebuah pondok kerja seorang tukang kayu, merangkap ketua pasukan kompang. Dan salah satu kepakaran tukang kayu ini adalah membuat keranda.
Oleh sebab itu, memang selalu lah ada keranda kosong di situ. Ye lah, tak akan orang dah meninggal baru nak buat keranda. Sediakan keranda sebelum meninggal sama lah macam sediakan payung sebelum hujan.
Semua peralatan kami disimpan di pondok. Jadi setiap kali selepas bermain kompang di mana-mana tempat, adalah beberapa orang yang akan ditugaskan menyimpan semua kompang semula. Simpan kompang pun ada sistem. Kalau berterabur, siap lah yang bertugas kena marah.
Sampailah kepada satu malam, kami diminta untuk bermain kompang bagi satu majlis pernikahan. Agak pelik juga lah, majlis pernikahan pun nak berkompang. Malam pula. Tapi atas dasar tanggungjawab, kami pun menjalankan tugas dengan penuh ikhlas.
Selepas selesai bermain kompang, perlu tunggu majlis selesai kerana tuan rumah menjemput kami untuk turut makan. Agak lewat juga lah kami pulang. Hampir pukul 11.
Malam itu aku dan 5 orang lagi ditugaskan untuk menyimpan peralatan kompang. Kami pun berbasikal sambil membawa kompang-kompang dan jidur. Tidak lah jauh pun.
Entah kenapa malam itu rasa lain. Kami berborak-borak cuba bercerita kelakar tapi tetap rasa lain. Gelak-gelak pun tak ceria. Seperti gelak penonton Maharaja Lawak untuk persambahan bertaraf satu ‘ha’.
Sampai di pondok, semua menolak untuk menyusun kompang. Biasanya hari latihan, lampu di pondok akan dibuka. Tapi hari ini pondok gelap. Suis lampu pula terletak di rumah Pak Saleh. Pak Saleh pula garang orangnya. Tak ada orang berani kacau dia suruh buka lampu.
“Kau lah simpan. Kau lah. Kau lah”
Semua menolak-nolak. Seram. Terbayang macam-macam.
“Kau orang semua penakut. Biar aku je lah”
Akhirnya salah seorang dari kami tunjuk berani. Alhamdulillah. Lega rasa.
Oleh sebab kompang ada banyak, jadi perlu dua tiga kali juga dia ulang alik menghantar kompang. Trip yang pertama kami lihat dia berlari-lari.
“Fahmi, teman aku lah. Ada keranda doh”
Hmm. Terpaksa aku tunjuk berani. Kesian juga dia seorang. Kalau berdua kurang sedikit seramnya.
Aku bahagikan jumlah kompang yang perlu diangkat sama rata. Kami susun betul-betul supaya boleh dihabiskan dalam satu trip sahaja. Termengah-mengah aku angkat.
Waktu aku susun kompang di rak, aku menjeling sahaja keranda yang ada di bawah. Nampak keranda itu lebih bermotivasi aku menyusun. Pantas.
Dalam masa kurang 2 minit semua kompang siap disusun. Kami terus menuju ke kawan-kawan yang menunggu.
Belum sempat kami buka mulut untuk berbual, tiba-tiba:
“Pang! Pang! Pang! Pang! Pang!”
Bunyi kayu diketuk dengan kuat datang dari arah pondok. Lebih tepat, dari keranda yang aku sangka kosong itu. Berterabur kami lari. Terus bertempiaran pulang ke rumah masing-masing.
Aku tak lena tidur malam itu. Berdebar-debar sampai ke pagi. Aku sedapkan hati, mungkin kompang-kompang yang disusun tinggi itu jatuh ke atas keranda.
Tapi esoknya, tiada siapa pun marah kami yang menyusun kompang. Kalau kompang jatuh, mesti kami kena marah.
Entahlah..


Nukilan : Fahmi Hassan
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.

Wednesday, 31 May 2017

LANGSUIR FREEHAIR - Ahmad Muhsinin Zaidi


Hari ini aku kerja shift malam. Aku berkerja sebagai seorang MA di sebuah hospital sekitar Lembah Klang, di jabatan kecemasan. Hospital sekitar Lembah Klang macam ini memang tak pernah tak sibuk. Setiap masa ada pesakit teruk-teruk. Jam sudah menunjukkan jam 01:30 pagi. Aku sedang menaip report di komputer. Sejak petang tadi aku rasa loya dan pening kepala. Mahu sahaja aku ambik MC dan berehat, tapi apabila memikirkan tiada rakan yang sanggup menggantikan tempat aku, aku terus berkerja seperti biasa.
Sedang aku menaip report, kepala aku terasa berat. Dada aku terasa panas dan tekak mula rasa loya. Aku terus muntah di situ juga. Semua staf di zon merah memandang ke arah aku, beberapa saat kemudian mereka menyambung tugas mereka. Muntah aku tidak teruk jika nak dibandingkan dengan kes yang mereka sedang rawat di zon merah itu. Lagipun pasti mereka fikir aku sebagai seorang anggota perubatan tahu nak rawat diri sendiri. Aku terus bangun mencari cleaner, minta dia bersihkan muntah aku. Aku kemudian melangkah perlahan menuju bilik penyelia. Aku mahu maklunkan pada dia yang aku tidak sihat, aku mahu balik dan berehat di rumah. Penyelia aku pada malam itu adalah Encik Abdullah Sani, dia membenarkan aku balik berehat.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, semasa sedang memandu aku mula rasa lain macam. Aku setiap hari menggunakan lebuhraya untuk pergi balik kerja. Aku biasanya memandu dengan kelajuan lebih kurang 100km/j ke 120km/j. Malam ini aku rasa lain, kereta aku tidak dapat cecah kelajuan itu langsung! Aku pada mulanya fikir kereta aku mungkin ada masalah pada enjin, tapi selepas melihat meter RPM aku sudah naik hingga 5000 RPM pada kelajuan 60km/j, aku mula rasa ada yang tak kena. Jalan itu sunyi. Lebuhraya itu menuju ke Saujana Putra dan pada waktu begini memang tidak banyak kereta. Aku mahu balik ke Shah Alam.
Entah kenapa, aku mula rasa seram sejuk. Tiba-tiba semua cerita seram melintas di dalam kepala. Aku cepat-cepat menolak cermin pandang belakang ke arah lain, aku taknak tengok belakang. Aku risau kalau ada yang menumpang di tempat duduk belakang. Setakat ini masih tiada bau pelik atau bunyi yang tidak menyenangkan. Tahap keseraman aku masih boleh dikawal. Aku ternampak lampu sebuah kereta dari arah bertentangan. Aku rasa sedikit lega, sekurang-kurangnya aku tahu aku tidak keseorangan. Apabila kereta itu semakin rapat dan kami hampir berselisih, kereta itu bagi lampu tinggi. Berkali-kali dia bagi lampu. Aku syak barangkali di depan ada roadblock, tak pun ada kemalangan. Aku teruskan memandu, kereta aku masih berat, perlahan dari biasa.
Kemudian aku bertembung dengan sebuah lori pula, lori itu juga beri lampu tinggi. Aku mula pelik tapi aku teruskan perjalanan juga. Kemudian sebuah superbike memintas laju, semasa dia memotong aku, penunggang superbike itu memperlahankan motornya, dia menoleh ke arah kereta aku berkali-kali. Kemudian dia memecut pergi. Lebih kurang 5 minit kemudian, sambil aku melayan rentak muzik lagu Ka Ching oleh Shania Twain, aku perasan ada kelipan lampu biru putih dari belakang. Ah! Macam kereta polis peronda lebuhraya. Lampu itu juga bagi lampu tinggi dari belakang dan memotong aku, anggota di dalam kereta peronda itu membuka tingkap, melambai tangan seperti dan beri isyarat suruh aku berhenti. Aku makin resah, apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa semua kereta beri isyarat pada aku, macam cuba beritahu aku sesuatu, seolah-olah ada yang tak kena pada kereta aku.
"Encik, turun dari kereta sekarang"

Arah anggota polis itu.

"Kenapa? Apa salah saya? Kalau nak periksa lesen dengan IC, saya tak perlu keluar pun."

Aku membalas. Bukan apa, aku risaukan jika yang tahan aku itu bukan polis betul. Aku takut penyamun yang menyamar sebagai anggota polis.

"Ini satu arahan! Turun dari kereta awak, masuk kereta peronda kami, jangan toleh belakang!"

Anggota polis tadi semakin kasar. Dia sangat mendesak. Dia berdiri kira-kita tiga meter di hadapan kereta aku. Kereta perondanya pula di depan, rakannya sedang menunggu di dalam kereta.

Aku masih was-was. Aku risaukan jika aku masuk kereta peronda itu, mereka akan culik aku dan bunuh aku, buang mayat aku dalam estet. Tiba-tiba walkie talkie di pinggang anggota itu berbunyi.
"Sarjan Ghani kepada Koperal Farhan. Koperal Farhan mohon laporkan lokasi terkinj. Apa status pemandu tersebut? Bawa dia pergi dari situ serta merta. Over!"
Anggota itu menjawab,

"Koperal Farhan kepada Sarjan Ghani, kami sudah sampai di sini dan sedang cuba membawa pemandu pergi. ETA to base dalam masa 10 minit. Over!"

Aku mula percaya mereka anggota polis yang betul. Aku menoleh kiri dan kanan. Gelap gelita!
"Encik, diminta beri kerjasama, turun dari kenderaan awak dan masuk ke kereta peronda!"

Anggota itu memanggil lagi. Kali ini aku akur. Aku mengemas barang, mengambil telefon bimbit dan pouchbag aku. Belum sempat aku membuka pintu tiba-tiba aku rasa kereta aku digoncang!

Aku meluru keluar, berlari sekuat hati menuju ke arah kereta peronda, aku langsung tidak toleh ke belakang. Anggota polis itu terus bawa aku pergi. Suasana di dalam kereta peronda senyap sunyi. Beberapa minit kemudian kami sampai di sebuah R&R.
Aku cuba membuka mulut bertanya.

"Apa yang berlaku sebenarnya?"

Koperal Farhan menoleh ke belakang. Dia kemudian menjawab.

"Ada orang call kami, dia cakap dia nampak ada benda berdiri atas bumbung kereta awak."

"Ha?! Benda apa?!"

Aku terkejut. Serta merta bulu roma aku berdiri.

"Masa kami ikut awak dari belakang, apa yang kami nampak perempuan berambut panjang pakai jubah putih tengah berdiri. Rambut dia panjang sampai ke bonet." Jawab Koperal Farhan ringkas.
Aku cuma mendiamkan diri. Aku minta mereka hantar aku ke R&R Dengkil, kawan aku tunggu di sana. Kami berbual hingga subuh. Pukul 07:30 pagi kami pergi semula ke tempat kereta aku ditinggalkan, mujur kereta aku masih di situ dan tiada barang yang hilang.
Hari itu aku mula demam dan aku MC selama tiga hari.

p/s : Cerita ini rekaan semata-mata dan telah diolah semula. Berdasarkan cerita dari beberapa pihak
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.

Monday, 29 May 2017

CERMIN - Tajul Ariffin Norsadan


“Din cepatlah! Aku nak balik ni. Dah pukul berape dah ni!” Kedengaran suara Daus menerusi telefon.
“Kejap-kejap, dah on the way dah ni.” Aku cuba mejawab panggilan Daus sambil menunggang motor.
“OK, cepat! Jangan singgah-singgah dah.” Daus mengeluh dan meletakkan panggilan telefon tersebut.
Jam sudah menunjukkan jam 9.15 malam. Aku sudah terlambat. Pendikit di pulas habis. Motor jenis Yamaha berwarna hitam ini meluncur dengan kecepatan tinggi. Soal keselamatan sudah tidak dipedulikan. Yang penting penting sekarang aku harus cepat.
Aku mencari tempat parkir motor setelah aku tiba di hospital. Sebuah hospital yang terletak di tengah bandar Sulawesi Selatan, Indonesia. Hospital ini menjadi tempat rujukan terakhir untuk seluruh kawasan selatan kepulauan Sulawesi.
Pusat Infeksi. Sebuah pusat di bina khas untuk menempatkan pesakit dengan penyakit berjangkit. Di situlah tempat aku bertugas malam ini. Ini malam pertamaku situ. Harap semuanya tenang tanpa ada kes kecemasan berlaku.
Kelihatan dari jauh kelibat Daus menunggu di depan pintu sambil menggalaskan begnya. Mungkin sudah tidak sabar untuk pulang.
“Sorry Daus. Tadi aku sakit perut. Aku dah siap dah tadi, tiba-tiba perut meragam.” Alasan biasa yang aku beri.
“Ah kau. Tu je alasan kau kalau terlambat.” Suara Daus agak tinggi.
“Alah, bukan aku sengaja. Dah termakan Mee Naga[1] . Nak buat macam mana?” balasku.
“Dah tahu nak jaga kau pergi makan pedas-pedas buat apa. Nah! Ni peta pesakit. Ko jangan tak buat round pulak” sinis.
“Tingkat 3 pun ada?” tanyaku.
“Ada.” Balasnya dan terus pulang.
Dengan keadaan berpeluhnya dan berlengas, aku pergi memeriksa setiap pesakit. Aku mulakan dengan tingkat 1. Jarang-jarang ada pesakit di sini. Biasa hanya pesakit yang menumpang dari wad lain. Aku ke tingkat 2. Di sini adalah yang paling banyak pesakitnya iaitu menempatkan pesakit dengan jangkitan paru-paru.
11.45 malam. Tingkat 3 belum lagi aku periksa dan di sini adalah tempat pesakit dengan penyakit berjangkit lainnya. Kebiasaannya untuk menaiki setiap tingkat kami lebih memilih untuk menaiki tangga kerana lebih cepat. Lif yang disediakan biasanya hanya digunakan oleh doktor-doktor pakar.
Akhirnya selesai di tingkat ini. Dengan penuh longlai aku menaiki tangga ke tingkat 3. Jam di tingkat sudah menunjukkan jam 12.03 tengah malam. Satu per satu anak tangga aku naik. Akhirnya aku sampai di tingkat paling atas. Betul-betul di hadapanku ada sebuah cermin. Cermin ini jadi tempat kebiasaan aku membetulkan rambut dan sekali-sekali membetulkan baju. Jadi sudah jadi kebiasaan aku untuk berbuat demikian setiap kali di depan cermin tersebut.
Segak. Bergaya. Aku bangga.
“Hensem.....”
Bisikkan halus ditelinga kedengaran sayup-sayup. Aku tidak pasti itu suara hati aku atau suara sesuatu. Bulu sudah menegak berdiri. Aku kaku. Di cermin tidak kelihatan apa-apa kecuali diriku tetapi aku dapat merasakan ada sesuatu berdiri di belakangku. Aku menguatkan diri. Pelan-pelan aku toleh ke kiri. Belum sempat aku toleh.
“Doktor, ke sini sekarang! Cepat! Ada patient kritikal!” Teriakan seorang jururawat lelaki kedengaran.
“Ye!” Aku berlari lintang pukang. Aku terus mendapatkan jururawat lelaki tersebut.
“Ye bang?.” setelah sampai didepannya. Aku berdebar. Jantungku laju berdegup.
“Tak, tadi saya dengar ada orang naik ditangga. Tiba-tiba senyap.” dia menjelaskan.
“Jadi, saya pergilah tengok kat CCTV.” Sambungnya lagi.
“ Saya nampak...”
“Ada yang benda berdiri kat belakang doktor tadi. Jadi, saya terus buat-buat panggil doktor.”
Malam itu aku tidur di bilik jururawat lelaki itu. Katanya sudah beberapa kali kejadian itu berlaku. Mungkin di tingkat 3 ini banyak pesakit yang kritikal dan meninggal akhirnya. Dan mungkin sebab itu, hanya jururawat lelaki sahaja bertugas di sini.
[1] Sejenis mee goreng yang popular di Sulawesi Selatan di mana pelanggan boleh memilih tahap kepedasan. Terdapat 10 level kepedasan.
Jika anda ada cerita seram yang ingin dikongsikan, silakan hantar kepada inbox kami. Nukilan anda akan dikreditkan kepada anda.