Wednesday 27 September 2017

NOMBOR 4 - Ella Affandy


Nombor 4
Selepas hampir tiga tahun meninggalkan rumah dua tingkat ini, hari ini aku berdiri di hadapan rumah tersebut. Perasaan aku ketika ini masih sama seperti hari terakhir aku melangkah keluar. Aku tidak sukakan aura yang mengelilingi rumah ini. Bau kayu lembab selepas hujan bagai kembali menusuk hidung aku. 
Aku baru berusia 15 tahun ketika kali pertama aku melangkah masuk ke rumah ini. Tiada yang ganjil atau mencurigakan cuma, rumah ini berada di hujung jalan dan agak jauh dari rumah di sekitarnya. Adik aku yang berusia 10 tahun ketika itu yang paling teruja. Sebelum ini, rumah kami hanya flat sempit dengan hanya satu bilik tidur. Apabila ayah aku ditawarkan rumah besar dua tingkat oleh majikan barunya, semua berasa teruja. Berpindah di sini bermakna setiap orang akan punyai bilik sendiri.

Adik aku, Fazrul dan aku dibenarkan memilih bilik kami sendiri. Di tingkat atas ada empat bilik tidur, kata ayah. Aku ingat lagi aku dan Fazrul berlari ke atas melewati anak tangga kayu yang berkeriuk setiap kali kami menapak di atasnya. Bunyi yang sangat tidak menyenangkan.
Aku memilih bilik yang paling hujung di laluan tingkat dua. Aku memilih bilik itu tanpa sebab, mungkin kerana aku sukakan suasana luarnya. Tingkap bilik aku mengadap tasik buatan yang aku kira agak mendamaikan.
Malam pertama di rumah baru, setiap orang pasti mengalami situasi sukar untuk tidur, begitu juga aku. Aku berbaring sudah hampir setengah jam, memusing badan ke kiri dan ke kanan, namun, mata aku masih gagal untuk dilelapkan.
Ketika mata aku masih terkebil menerawang memandang siling bilik, ketika itulah telinga aku menangkap bunyi keriuk tangga. Aku segera berpaling memandang jam di atas meja di tepi katil. Sudah pukul 1.30 pagi ketika itu. Bunyi keriuk semakin jelas kedengaran dan bunyi keriuk itu bertukar menjadi derapan kaki di laluan bilik. Bulu roma aku ketika itu sudah naik mencanak. Gilalah kalau aku katakan, aku tidak takut. Bermacam-macam gambaran muncul di fikiran aku ketika itu. Aku segera menyelubungi tubuh aku dengan selimut. Badan sudah menggigil ketika derapan kaki semakin jelas kedengaran di luar bilik. Bunyi pintu dibuka dari luar membuatkan aku hampir terkencing.
"Abang, temankan adik ambil air dekat bawah." Suara halus yang sangat aku kenal menerpa gegendang telinga aku. Fazrul! Ketika itu aku memang ingatkan itu adalah Fazrul tetapi, anehnya ketika aku membuka selimut yang menyelubungi aku rupanya tiada siapa yang berdiri di situ. Tiada Fazrul, malahan pintu bilik aku tertutup rapat. Derapan kaki masih kedengaran di luar. Badan terus menggigil. Selepas itu, aku sudah tidak ingat apa yang berlaku. Sama ada aku tertidur atau pengsan kerana takut.
Pagi itu ketika bersarapan sebelum ke sekolah, aku memerhatikan Fazrul. Mencari keganjilan yang mungkin ada. Satu tepukan di bahu membuatkan garfu di tangan aku hampir terlepas. Ketika aku menoleh, ibu sedang tersenyum memandang aku dan bertanya, "Kenapa tak makan lagi? Sakit perut ke?" Aku tersenyum kelat dan menggeleng. Ingin saja aku menceritakan apa yang berlaku malam tadi, tetapi aku takut akan menimbulkan rasa takut kepada ibu atau mungkin Fazrul. 
Malam itu, aku tidak betah tidur lagi. Apa yang berlaku malam sebelumnya, membuatkan aku takut untuk memejamkan mata. Aku hampir terlelap ketika aku terdengar keriuk tangga. Bunyi derapan kaki menyusul selepas itu. Perlahan, perlahan dan makin kuat, tanda derapan kaki itu ada di hadapan bilik aku.
"Satu, dua, tiga, empat."

Satu suara jelas kedengaran. Bukan suara Fazrul. Bukan suara ibu tetapi, suara halus perempuan. Suara yang tidak pernah aku dengar.
"Satu, dua, tiga, empat." Suara itu mengira lagi. Sudah cukup membuatkan badan aku menggigil ketakutan.
"Satu, dua, tiga, empat." Entah kenapa suara itu kedengaran begitu hampir. Seperti dibisikkan di telinga aku.
"Empat belum tidur."
Serentak dengan suara itu, selimut aku seperti direntap seseorang. Kuat sehingga tercampak di lantai. Aku masih menggigil. Mata yang aku pejam kuat, aku buka perlahan. Pandangan terakhir sebelum aku tidak sedarkan diri malam itu adalah, susuk tubuh kecil memakai gaun putih paras lutut yang kelihatan sangat lusuh. Kepalanya terlentuk di bahu kiri sambil menyeringai memandang aku.
Pagi esoknya aku demam namun, aku tidak menceritakan apa yang berlaku malam itu kepada sesiapa. Alasan aku demam hanyalah perubahan tempat tinggal. Bagi aku, tiada guna aku menceritakan apa yang aku alami kerana pasti tiada siapa yang akan percaya terutamanya ibu bapa aku. Lagipun, aku tidak mahu digelar penakut pada usia 15 tahun.
Aku ingat lagi petang itu aku melihat Fazrul ketawa seorang diri. Sesekali aku lihat dia bercakap-cakap sendirian. Sedangkan ketika itu hanya aku dan dia yang sedang duduk di ruang tamu. Apabila aku bertanya dengan siapa dia ketawa dan berbual, dia hanya menjeling dengan ekor mata. Kata-kata adik aku selepas mendiamkan diri agak lama, aku ingat sampai sekarang. Setiap patah bagai kedengaran jelas sehingga kini.
"Sarah cakap dia suka tengok abang ketakutan."
Buku yang aku pegang ketika itu hampir terjatuh. Fazrul selepas menuturkan ayat itu, aku lihat leka kembali menonton televisyen. 
Aku yang masih terkejut, lalu terus bertanya, "Adik cakap apa tadi?" Fazrul diam.

"Cakap apa tadi?" Aku hilang sabar.
"Sarah cakap jangan bising."
Selamba sahaja wajah Fazrul ketika itu. Aku sudah tidak senang duduk.
Laju aku bertanya lagi, "Siapa Sarah?" Fazrul memandang aku dengan wajah menyeringai. Tidak ubah seperti gadis kenit yang aku lihat malam tadi. Cuma kepalanya tidak terlentuk lembik seperti gadis itu.
"Sarah dah duduk rumah ni lama sebelum kita."
Entah kenapa suara Fazrul kedengaran aneh. Bukan seperti suaranya tetapi suara gadis yang mengira malam tadi. Gadis yang muncul sebelum aku pengsan malam tadi.
"Satu, dua, tiga, empat."
Sial! Aku hampir melompat dari sofa yang aku duduk.
"Satu, dua, tiga, empat." Fazrul mengira lagi.

"Ibu!" Aku menjerit memanggil ibu. Sumpah, aku tidak pernah setakut itu.
"Sarah cakap tengok di luar." Fazrul bangun mengadap aku sambil jari ditunding ke luar pintu gelunsur kaca. Dalam takut aku ketika itu, mata aku mengerling ke luar. Aku lihat gadis bergaun lusuh itu sedang berdiri di luar sambil mata tajam memandang aku. Jarinya yang memberi isyarat empat dilekapkan di pintu gelunsur kaca.
"Cari nombor empat."
"Arghhhh!" Aku menjerit nyaring. Mata aku pejam rapat.
"Kenapa ni?" Terasa bahu aku ditepuk. Aku sangat yakin itu suara ibu. Sebaik mata dibuka, aku tengok ibu memandang aku cemas.
"A...a..adikkkk." Dalam ketar aku bersuara.
"Kenapa dengan adik?" Ibu semakin cemas.
"Dia...." Aku menunding jari ke arah Fazrul berdiri, ekor mata aku turut mengekori jari telunjuk aku. Tiada siapa di situ. Hanya televisyen yang terpasang. Di luar juga tiada gadis genit berdiri. Suasana sepi seketika.
"Kenapa dengan adik? Adik kan sekolah." Ibu terus duduk di sebelah aku mungkin, kerana wajah aku pucat tidak berdarah. Tekak aku ketika itu terasa perit, seperti menelan butir-butir pasir.
"Ada adik tadi...."
Aku sedaya upaya cuba menerangkan.
"Adik pergi sekolah tadi, Hakim. Sekarang pun baru pukul 10 pagi, tak akanlah adik dah balik." Penerangan ibu sudah cukup membuatkan aku tersentap. Aku ingat dengan jelas memang ada adik sedang menonton televisyen dengan aku sebelum dia ketawa dan berbual seorang diri, sebelum gadis genit bergaun lusuh itu berdiri di luar pintu.
"Demam Hakim ni makin panas. Hakim rehat dalam bilik saja. Ibu masakkan bubur."
Aku sudah cukup lemah ketika itu untuk mengangguk atau menggeleng. Lemah kerana demam dan juga kerana apa yang aku alami ketika itu. Aku sudah tidak tahu yang mana khayalan, yang mana realiti.
Gangguan gadis kenit itu terus berterusan, sehingga aku sudah lupa sudah berapa lama aku mengalami situasi itu. Sehinggalah suatu malam aku nekadkan hati aku. Ketika aku mendengar gadis itu mengira di hadapan bilik, aku bingkas bangun dari katil.
Dalam berani bercampur baur dgan perasaan takut, aku melangkah menghampiri pintu. Aku berdiri dalam gentar, kaki aku agak menggeletar apabila otak aku ligat memikirkan yang ada susuk bukan manusia yang sedang berdiri juga di luar pintu.
"Satu, dua, tiga, empat."
Dia mengira.
Aku tidak tahu sama ada nombor yang disebut merujuk kepada jumlah bilik di laluan bilik atau jumlah kami sekeluarga.
"Satu,dua, tiga, empat."
Kiraannya semakin kuat.
"Empat belum tidur."
Aku menelan air liur. Aku cukup yakin, dia maksudkan aku yang masih belum tidur. Tombol pintu aku pulas perlahan. Saat aku menarik perlahan pintu kayu, ada bunyi terhasil yang membuatkan suasana ketika itu agak menakutkan.
Krekkk...
Semakin aku tarik, semakin kuat bunyinya. Debaran di dada semakin menggila. Aku meneguk air liur kasar sebaik susuk tubuhnya jelas kelihatan apabila daun pintu semakin terbuka luas.
"Empat belum tidur." Itulah apa yang keluar dari mulut gadis itu walaupun aku tidak nampak bibirnya bergerak. Pandangan matanya sudah tidak setajam yang aku ingat. Gadis itu kemudian meletakkan jari telunjuk kanannya di bibir.
"Shhhh..jangan bising. Nanti mereka dengar."
Aku tidak memberikan reaksi apa-apa.
"Empat belum tidur. Cari dia." Dia bersuara lagi dan melangkah perlahan meninggalkan aku. Badannya seperti melayang tetapi aku mendengar dengan jelas derapan kakinya.
"Satu, dua, tiga, empat."
Dia mengira.
Aku tanpa berfikir panjang mengekori. Perasaan takut seperti sudah tiada. Perasaan ingin tahu yang membuak-buak ketika itu. Aku berjalan menyusuri laluan di hadapan bilik dan mengekori gadis itu agak rapat. Sesekali dia menoleh memandang aku sambil mulutnya terus mengira. Dalam tidak sedar, aku tidak tahu macammana aku ketika itu berada di luar rumah. Tanpa kasut tersarung aku terus mengekori. Angin malam yang sejuk menggigit tulang tidak aku hiraukan. Aku dibawa ke tasik buatan di seberang jalan rumah aku. Aku mengaku aku bukanlah seorang yang berani tetapi, malam itu aku berdiri di luar rumah ketika waktu sudah melewati pukul satu pagi bersama susuk yang bukan manusia.
"Satu, dua, tiga, empat."
Gadis itu berhenti melangkah. Dia memusingkan badannya mengadap aku. Renungan tajamnya bertukar menjadi pandangan yang sayu. Ada cecair lutsinar mengalir di pipinya.
"Empat belum tidur." Suaranya cukup sayu sambil jari telunjuknya dihala ke arah tasik hadapan aku.
"Cari nombor empat." Dia bersuara lagi. Aku terus keliru. Dalam sekelip mata gadis itu menghilang. Aku menoleh di sekeliling. Wajahku raup berkali-kali, peluh sudah mula merening di dahi. Rasa takut mula menyelubungi. Bermacam-macam bunyi mula jelas kedengaran di sekitar tasik.
"Kenapa Hakim tidur sini?"
Aku tersentak. Mata aku buka dan wajah ibu memenuhi ruang mata. Aku pandang sekeliling. Aku bukan berada di tasik di seberang jalan tetapi di ruang tamu rumah aku. Aku terus duduk dari posisi baringku. Wajah diraup dan terasa ada manik-manik peluh di dahi. Aku yakin aku bukan bermimpi.
"Hakim demam lagi ke?" Tanya ibu.
Aku segera menggeleng.
"Hakim tidur atas, bawah ni sejuk sangat. Nanti demam lagi," ujar ibu perlahan tapi bernada arahan. Dia menarik lengan kiri aku.
"Kenapa kaki kotor?"
Pertanyaan ibu ketika itu betul-betul mengejutkan. Aku tunduk memandang ke bawah. Memang benar kata ibu, kaki aku kotor seperti meredah tanah yang basah dan berselut. Aku hampir terduduk tetapi ditahan ibu yang sedang memaut lengan aku.
"Kenapa ni?" Ibu cemas.
"Ibu percaya orang yang dah mati boleh kembali untuk beritahu kita sesuatu?" Aku bertanya dalam nada perlahan tapi, terasa suara aku bergema di sekeliling ruang tamu.
"Hakim merepek apa ni?" Ibu semakin cemas.
"Ibu percaya tak?" Aku bertanya lagi.
"Hakim tak sihat lagi ni. Cakap merepek tengah-tengah malam ni. Pergi masuk tidur." Aku tahu ibu sudah mula terasa seram dengan pertanyaan aku. Siapa yang tidak takut ditanya mengenai roh atau hantu di tengah malam.
Selepas malam itu, tiada lagi suara gadis itu mengira di tengah malam. Hampir setiap malam aku terjaga antara pukul satu dan dua. Ternanti-nanti suara halus yang tidak pernah penat mengira. Ke mana menghilangnya gadis itu aku sendiri tidak tahu sehinggalah aku disapa seorang pelajar perempuan dari sekolah aku.
"Awak tinggal di rumah kayu dua tingkat tu, kan?"
Aku mengangguk memandang gadis itu sambil ternanti-nanti lanjutan kepada sapaan itu.
"Kenapa?" Akhirnya aku bertanya apabila gadis itu terdiam.
"Awak tahu kisah rumah tu?" Dia bertanya.
Kali ini aku menggeleng.
"Tak pernah diganggu?" tanyanya dengan riak muka seperti takutkan sesuatu. Matanya sesekali melilau memandang sekeliling.
"Kenapa?" tanya aku lagi.
"Ada pembunuhan berlaku dalam rumah tu," jelasnya separuh berbisik. Mata aku sudah membuntang memandang dia. Wajah gadis misteri bergaun lusuh itu segera menerpa fikiran aku.
"Budak kecil dalam umur 10 tahun kan?" tanya aku inginkan kepastian.
Gadis itu menggeleng. "Umur sebaya dengan kita. 15 tahun. Dia mati dibunuh perompak. Adik dia hilang tanpa dikesan."
"Adik dia nama Sarah?"
Gadis itu kaget mendengar kata-kata aku itu. Pandangan matanya kaku memandang aku. Entah kenapa pandangan mata gadis itu kelihatan sayu tidak ubah seperti gadis genit itu
"Cari nombor empat."

Aku sedikit terkesima apabila mendengar kata-kata yang meluncur di bibir gadis itu. Dahi aku berkerut.
"Awak cakap apa tadi?"
"Saya pergi dulu." Dalam tergesa gadis itu melangkah meninggalkan aku. Aku segera mengekori.
"Hey!" Aku memanggil.
"Awak siapa?" Tanya aku apabila panggilan aku tidak dihiraukannya. Dia berpaling memandang aku dan tersenyum.
"Sofea." Senyumnya lagi.
Aku tidak bertemu lagi dengan Sofea selepas itu. Puas aku bertanya kawan-kawan sekelas mengenai pelajar bernama Sofea. Kata mereka hanya dua orang pelajar bernama Sofea, selepas ditunjukkan kepada aku ternyata kedua-duanya bukan Sofea yang aku temui petang itu. Sangat pelik.
Aku pernah bermimpi, di dalam mimpi itu, aku sedang berdiri di hadapan rumah aku. Aku nampak ada kanak-kanak berumur dalam lingkungan 9 - 10 tahun sedang berlari dari jalanraya di hadapan rumah. Dia berlari sambil ketawa dan berlari menembusi badan aku. Kanak-kanak perempuan itu wajahnya saling tidak tumpah seperti gadis yang selalu menganggu malam aku dengan kiraannya atau lebih tepat Sarah. Dalam mimpi aku itu, Sarah sangat berbeza, wajahnya polos bersih seperti kanak-kanak lain. Dia ketawa dengan riang sambil berlari-lari menyusur anak tangga menuju ke tingkat atas. Aku terus mengekori.
Suasana yang terang-menerang di luar ketika itu menjadi gelap pekat seperti malam secara tiba-tiba. Sarah yang tadi berlari di hadapan aku, hilang entah ke mana. Aku menapak anak tangga menuju ke tingkat atas. Tiga bilik di hadapan tertutup rapat, hanya bilik di hujung yang menjadi bilik aku ketika itu yang pintunya kelihatan terbuka sedikit. Cahaya di dalam bilik melimpah sedikit di hadapan bilik. Aku menghampiri. Pintu aku tolak perlahan. Sarah aku tengok sedang terperosok di penjuru bilik dengan badan menggeletar ketakutan.
"Kakak, Sarah takut." Dia merintih.
Aku menghampiri.
"Kakak, tolong Sarah. Sarah takut." Rintihan semakin sayu. Ketika aku hampir dengannya dan cuba menggapai tangan kecilnya yang menggeletar ternyata aku gagal. Aku tahu aku ketika itu hanya bermimpi dan kehadiran aku adalah tidak nyata. 
Telinga aku menangkap derapan kaki yang kuat di luar bilik. Ketika aku menoleh dengan sekelip mata bilik yang terang tadi menjadi gelap gelita. Aku terdengar suara garau di luar yang cemas.

"Anak dia yang nombor empat tak ada. Cari dia sampai dapat. Bahaya ni."
Aku mengundur rapat ke di dinding. Aku tiba-tiba merasa cemas dan takut. Seperti suara garau itu mencari aku.
"Cari nombor empat." Lelaki bersuara garau itu memberi arahan lagi. Aku kaku, hanya menunggu apa yang akan berlaku seterusnya. Tap! Aku mendengar bunyi suiz dipetik. Bilik terus terang-menderang. Aku nampak ada lelaki berbadan besar, berkepala botak berdiri di hadapan pintu sambil bibirnya tersenyum menyeringai memandang Sarah yang ketakutan.
"Bos, aku dah jumpa nombor empat!" jerit lelaki berkepala botak itu. Aku terdengar derapan kaki keras dan laju menuju ke arah bilik. Seorang lelaki berbadan gempal muncul dan segera mencekak pinggang sebaik sahaja melihat Sarah.
"Kau nak lari mana budak!" jerit lelaki gempal itu.
"Bawa dia ke bawah!" Arahnya pula kepada lelaki berkepala botak itu.
"Jangan!!" Jerit Sarah. Suaranya bergema di dalam bilik.
"Kakak. Tolong Sarah." Sarah bersuara lagi. Suaranya kedengaran sangat ketakutan. Ketika badannya ditarik kasar, dia sedikit meronta untuk melepaskan diri.
“Baik kau diam sebelum aku humban kau ke tingkat bawah." Gertak lelaki botak itu. Tangan Sarah terus ditarik.
"Kau jangan nak lari lagi." Badan Sarah segera dihumban di dalam kegelapan malam di ruang tamu. Aku perasan ada tiga susuk lain yang sedang merengkot di sudut ruang tamu yang gelap.
"Jangan apa-apakan Sarah. Dia masih kecil." Ada suara perempuan merayu. Aku terus menyaksikan tanpa mampu menghulurkan bantuan. Suara esakan Sarah sesekali menerpa gegendang telinga aku.
"Kau pergi geledah bilik yang mula-mula tu. Cari apa-apa yang boleh dijual. Keluarga ni kaya, aku tahu mesti ada barang bernilai yang disimpan." Suara garau itu memberikan arahan. Dalam gelap itu aku mendengar bunyi jatuh, seperti ada benda menghempap.
"Sarah, lari!" Suara itu menjerit. Dalam samar aku lihat ada pergelutan. Aku nampak susuk Sarah bergelut bangun dan berlari menuju ke arah pintu. Aku mengekori dan dalam sekelip mata aku sedang berdiri di hadapan tasik. Aku nampak lelaki berkepala botak itu sedang menarik Sarah. Gadis kecil itu sudah kaku, di dadanya ada darah yang membuak keluar. Aku hampir terduduk. Aku tidak tahu apa yang berlaku. Semua seperti berlaku sekelip mata. Dan sayup-sayup aku mendengar beberapa das tembakan dilepaskan.
Aku terjaga dari mimpi itu ketika jam menunjukkan pukul 3 pagi. Aku mencapai baju sejuk di dalam almari. Aku betul-betul nekad malam itu. Aku perlu cari kebenaran di sebalik kehadiran Sarah. Aku menyusup keluar rumah menuju ke arah tasik di seberang jalan. Angin malam yang dingin membuatkan aku segera menyarungkan baju sejuk. Mata aku melilau sekeliling, rasa takut ada kala menghantui namun, berbekalkan rasa berani untuk mencari kebenaran aku kuatkan hati aku. Aku menyusuri di tepi tasik yang agak besar itu.
"Cari nombor empat." Suara itu seperti berbisik menerpa telinga. Aku segera berpaling. Sarah sedang berdiri di belakang aku. "Cari nombor empat." Dia bersuara lagi sambil jari telunjuk menunding ke arah tasik.
Entah keberanian apa yang merasuk aku ketika itu, aku segera menanggalkan baju sejuk dan kasut yang tersarung. Perlahan-lahan aku menghampiri tepian tasik dan menyelam ke dalamnya. Kalau difikirkan memang gila apa yang aku lakukan malam itu. Dalam gelap, aku berenang dan menyelam ke dasar. Aku teraba-raba tidak pasti apa yang aku cari ketika itu.
"Saya di sini." Suara itu berbisik namun cukup jelas. Dalam kegelapan tasik aku dapat melihat susuk tubuh kecil seperti terbuai di dasar tasik. Matanya tertutup rapat, baju yang dipakai kelihatan lusuh. Aku menyelam makin dalam. Aku menggapai tangan kecil itu sebaik mendekat. Tubuhnya masih lembut. Aku segera memeluk tubuh itu dan kembali berenang ke permukaan. Sebaik keluar dari tasik, tubuh Sarah yang tidak bernyawa itu aku baringkan di tanah.
"Abang!"
Aku terdengar suara ibu memanggil membuatkan aku segera bangun. Sekadar memastikan suara itu bukan mainan syaitan yang mungkin berkeliaran ketika itu. Manalah tahu, kan. Buktinya sudah ada di depan mata iaitu, Sarah.
"Abang!"
Di kejauhan aku melihat susuk ibu berlari ke arah aku. Bapaku juga ada di belakang mengekori. Wajah mereka ternyata cemas.
"Abang buat apa dekat sini malam-malam?" Ibu segera menerpa memeluk aku. Risau betul ibu malam itu. Bapa aku hanya berdiri tercegat tanpa reaksi. Aku tahu dia juga risau sebenarnya.
"Ibu tengok bilik abang kosong. Ibu panggil abang, masa tu lah ibu nampak ada orang berjalan ke sini. Ibu terus kejutkan ayah kamu. Abang cari apa sebenarnya?"
Habis sahaja ibu bersuara aku segera berpaling memandang susuk Sarah yang terbaring di atas tanah. Aku menunding sambil menoleh memandang ibu.
"Dia minta pertolongan abang untuk cari dia." Perlahan aku bersuara. "Abang dah jumpa dia." Sambung aku lagi.
"Ya, Allah." Ibu hampir terduduk. Bapa aku pula terus berubah air mukanya apabila melihat arah tundingan jari aku. Dia meraup wajahnya berkali-kali.
"Ya, Allah! Rangka siapa ni abang?"
Mendengar perkataan rangka membuatkan aku segera berpaling. Ya, memang hanya ada rangka di atas tanah. Bukan jasad Sarah yang aku peluk dan aku bawa ke permukaan tadi. Aku hilang kata.
"Dah jumpa nombor empat." Satu suara seperti berbisik di telinga aku.
Ekoran penemuan rangka itu, kawasan sekitar tasik ditutup untuk penyiasatan. Aku juga beberapa kali terpaksa ke balai polis untuk soal siasat. Barulah aku tahu kisah sebenar rumah yang aku diami itu. Rupanya rumah itu dulu didiami oleh satu keluarga kaya 15 tahun lepas. Penghuni rumah itu ada pasangan suami isteri dan empat anak mereka. Satu kejadian rompakan telah meragut nyawa anak ketiga, dan anak bongsu pasangan itu hilang tanpa dapat dikesan. Barulah aku tahu maksud kiraan yang mengganggu aku saban malam itu.
Satu, dua, tiga, empat merujuk kepada jumlah penghuni rumah itu ketika itu. Kenapa hanya empat? Kerana dua lagi anak pasangan belajar di asrama penuh ketika itu. Maksud 'empat belum tidur' merujuk kepada Sarah yang melarikan diri dan tidak ditemui mayatnya. Anak pasangan itu yang merupakan anak ketiga yang berusia 15 tahun telah ditembak mati.
Seminggu selepas kejadian aku di tasik, ibu berkeras untuk berpindah. Rupa-rupanya, bukan aku sahaja yang mengalami gangguan, ibu juga terkena. Patutlah ibu agak cemas apabila aku pernah bertanya perihal roh yang tidak tenteram. Cerita ibu, dia juga mendengar kiraan di tengah malam namun, dia tidak hiraukan. Sering juga dia melihat kelibat anak kecil di sekitar rumah. Kemuncaknya apabila aku ditemui di tasik dengan rangka manusia, ibu nekad. Kami perlu tinggalkan rumah ini.
Selepas tiga tahun, aku lihat rumah ini masih kelihatan sama. Usang dan suram. Sejak kami berpindah, tiada siapa yang menetap di sini. Rumah ini dibiarkan kosong. Aku mendongak ke atas memandang tingkap bilik yang pernah menjadi bilik aku. Ada kelibat seseorang di situ.
"Fazrul!"
Aku panggil Fazrul yang sedang leka bermain permainan di telefon bimbitnya. Dia menoleh, keningnya sedikit terangkat.
"Cuba kau tengok dekat tingkap. Macam ada oranglah."
Fazrul memandang aku tajam dan mengalihkan pandangannya ke arah tingkap di tingkat atas. Matanya dikecilkan.
"Sarah." Nama itu meluncur laju di bibir Fazrul. Aku segera mendongak. Susuk Sarah sedang berdiri di situ. Tersenyum memandang aku. Wajahnya bersih dan pakaiannya sudah tidak selusuh yang aku ingat. Tangannya melambai ke arah kami. Aku memandang Fazrul.
"Kau pun nampak dia?"
"She’s always there and she never left." Selamba Fazrul menjawab. Tumpuannya terarah kembali kepada permainan di telefon bimbitnya.
Aku mendongak semula. Sarah masih di situ tersenyum memandang aku. Aku perasan ada tangan di bahu Sarah seperti ada seseorang yang berdiri di sebelahnya namun terlindung di sebalik langsir tingkap.
"Dia cakap terima kasih."
"Huh?" Aku menoleh.
"Terima kasih sebab cari dia," sambung Fazrul lagi.
Sarah ke? Aku tertanya sendiri.
"Bukan Sarah tapi, dia." Fazrul memandang aku seperti tahu apa di dalam fikiran aku. Dia menunding jari ke arah tingkap dan kembali memandang skrin telefonnya.
Ketika aku menoleh, aku dapat lihat dengan jelas wajah orang yang berdiri di sebelah Sarah. Dia tersenyum memandang aku. Lutut aku lembik tidak semena. Aku kenal wajah itu. Sofea!
Aku berpaling memandang Fazrul yang sudah berjalan ke arah kereta yang ayah aku parkir di seberang jalan. Ketika aku menoleh semula, susuk Sarah dan Sofea sudah tiada di situ. Hanya langsir yang terbuai di tiup angin.
Satu, dua, tiga, empat.
Suara itu bagai bergema kembali di gegendang telinga aku.
Tamat.
Karya: Ella Affandy
Suntingan: Gongpal Topek
Suntingan gambar: Gongpal Topek

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

No comments: