Saturday 30 September 2017

NAMAMU KU SERU....LAILA!! - Cik Edot


NAMAMU KU SERU....LAILA!!
By Dee Edot @ CikEdot

Genap 21 hari pemergian Laila. Namun aku masih tetap tidak menerima takdir ini. Yang tertanam di dalam tanah itu bukan Laila! Aku yakin isteriku masih hidup. Dia bukan Lailaku. Oh Tuhan, kembalikan Laila pada aku!
Gambar perkahwinanku bersama Laila aku peluk erat. Aku bawa ke dada. Rapat.
"Laila.. pulanglah sayang.Abang tahu sayang masih hidup. Kenapa seksa abang begini Laila? Pulanglah sayang."
Airmataku tidak tertahan lagi. Pilu.
Jam 9.00 malam.
Matahari jingga sudah lama melabuh tirai. Kini, bulat bulan mula menyapa. Rumah Hasyimi masih gelap tanpa cahaya. Tiada satu pun lampu yang terpasang. Sejak petang tadi dia menangis meratap pilu diatas pemergian isterinya, Laila. Sudah puas keluarga dan rakan taulan menasihatinya, namun dia tetap teguh dengan pendiriannya. Laila tidak mati! Yang ditanam itu bukan Lailaku!
11.00 malam.
Dalam kerinduan yang begitu memberat di pundak hati, saat tiada seorang pun yang memahami. Ada sesosok tubuh yang sudah lama memerhati. Kasihan, kasih atau kesempatan? Sepasang mata itu tidak pernah meninggalkan Hasyimi. Dia sentiasa ada memerhati. Dia melihat Hasyimi makin merunduk pada emosi. Iman dan nilai kepercayaan semakin goyah. Mungkin malam ini adalah saat yang paling tepat. Jarum nafsu membuak...
"Laila....Laila...mana awak Laila?"
"Baliklah sayang. Kasihanlah pada abang Laila."
Terus-terusan anak adam ini memangkas kebenaran. Memanggil-manggil nama jasad yang sudah terpisah dimensi. Menghukum roh yang tidak bisa tenang bersemadi kerna tingkahnya. Tidak sedar atau sengaja menongkah takdir?
"Abang...."
Hasyimi terkujat. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Seperti hilang arah. Dia bangun menyelusuri gelap malam di dalam rumahnya. Mencari-cari punca suara itu.
"Abang....Laila di sini abang."
"Laila? Laila....Laila dimana sayang?"
Perlahan. Angin halus membadai. Menampar lembut pipi cengkungnya. Beralun sayup menyinggah batang tubuh. Hasyimi pempan seketika. Sejuk. Dingin menyerap ke urat belirat sehingga memamah tulang belulangnya. Tubuhnya yang sudah sedia lesu bertambah lemah. Sekejapan, bahunya di sentuh lembut dari belakang..
"Abang...."
Tanpa berlengah, Hasyimi memusingkan badan! Pegun. Hatinya yang rawan mulai tersenyum. Wajah yang sangat dirindui kini di depan mata. Sungguh dia tidak menyangka. Kekasih hatinya pulang. Laila sudah kembali! Tubuh itu diraih pantas dalam dakapan.
"Laila....sayang pulang jua akhirnya. Tolong jangan tinggalkan abang lagi. Abang tak sanggup hidup tanpa Laila."
Tangisannya menggugu membelah sunyi malam. Pelukan eratnya berbalas. Seukir senyuman terlahir di bibir 'Laila'.
Pelukan dilepaskan. Tangan Hasyimi di tarik lembut. Tubuhnya di henyak perlahan duduk di atas tilam. Manakala Laila pula bersimpuh di atas lantai parkir. Memegang lembut kedua belah peha Hasyimi. Diusap perlahan.
"Abang...Laila dah pulang. Mahukah abang, Laila terus bersama abang?"
"Abang mahu Laila. Abang mahu!"
"Baiklah.. Tapi mahukah abang tunaikan permintaan Laila?"
"Apa saja untuk Laila, abang sanggup. Asalkan Laila ada di sisi abang."
"Abang...Laila boleh berada di sini. Setiap malam abang mesti menyeru Laila. Abang tak boleh sujud pada Tuhan. Abang tidak boleh membaca kitab suci. Abang tidak boleh bersihkan diri. Abang perlu makan apa yang Laila masak. Dan abang tidak boleh menerima tetamu. Siang nya abang harus bekerja. Malam, Laila adalah kepunyaan abang sepenuhnya. Batinmu akan Laila penuhi. Mahukah abang?"
"Baik Laila. Abang setuju."
*********
7 hari berlalu..
"Mie...Kau sakit?"
"Tak.Aku sihat je. Kenapa kau tanya?"
"Maaf Mie. Aku tanya bersebab. Kau nampak tak terurus. Mata kau lebam. Kau bertambah kurus. Tengoklah pipi kau, cengkung! Badan kau Mie....busuk Mie. Semua orang bercakap pasal kau. Diorang tak tahan dengan bau kau."
"Biarlah diorang nak cakap apa pun tentang aku Wan. Aku tak peduli. Aku tak kacau orang. Cukuplah Laila sorang yang faham aku."
"Laila? Apa maksud kau Mie? Mie... terima lah kenyataan. Laila dah tak ada."
Zapp!! Kolar kemeja Wan ditarik kasar. Badannya terhuyung ke depan menghampiri wajah Hasyimi. Dia mengetap gigi.
"Sekali lagi kau sebut Laila dah mati, aku bunuh kau!"
********
Teratak bonda.
"Begitulah ceritanya abangmu, Huzai. Ibu tak tahu apa lagi yang perlu Ibu buat. Dia tak bagi ibu masuk ke rumahnya malam kelmarin. Katanya, Laila tak bagi. Ibu buntu. Ibu takut! Huzai sahaja harapan Ibu. Bantulah kembarmu, Huzaifah."
"Baiklah Ibu.. Malam ni, saya akan bertemu dengan Pak Akob. Saya akan usahakan apa yang termampu. Doakan agar semua dipermudahkan ya Ibu."
********
Keesokan hari.

5.30 petang
Lokasi: Hadapan Office.

Kelibat Hasyimi yang dinanti sejak dari tadi akhirnya muncul jua. Sengaja dia tidak menghubungi Hasyimi tentang keberadaannya. Huzaifah mempercepatkan langkahnya menghampiri.
"Assalammualaikum, Along."
Langkah Hasyimi terhenti. Dia menoleh.
"Huzaifah? Bila kau balik? Sampai hati tak beritahu Along."
Mereka berpelukan. Melepas rindu yang terpendam. Huzaifah kembarnya. Mereka seiras. Hanya tahi lalat di pipi kanan Huzaifah menjadi perbezaan.
"Along. Kita minum dulu boleh? Dah lama tak jumpa. Banyak yang Angah nak borakkan."
"Ermmm... Along, tak boleh. Along kena balik rumah ngah. Esok siang kita jumpa. Boleh?"
"Kenapa Along? Siapa yang Along kejarkan di rumah? Lagi satu, kenapa Along halang Ibu datang ke rumah? Saudara mara kita pun Along halang. Kenapa?"
"Along....Errr...Along terpaksa ngah. Itu kehendak dia."
"Kehendak dia? Dia tu siapa?"
"Kak Laila ngah. Dia dah balik. Dia belum mati lagi ngah. Dia ada dengan Along."
"Astaghfirullahalazim..Mengucap Along. Ingat Allah. Manakan boleh Kak Laila ada di rumah. Arwah dah meninggal Along. Terimalah hakikat."
"Kau pun sama dengan yang lain. Menganggap Laila dah mati. Dia hidup lagi Angah!" Hasyimi bungkam. Dadanya berombak laju. Dia diam.
Sedang Hasyimi melayan amarahnya, Huzaifah tidak henti beristighfar. Dia membaca sepotong ayat 21 dari surah Al Hasyr di dalam hati. Bermohon pada Allah agar melembutkan hati abangnya.
"Along..Maafkan Angah kalau bertanya. Bila kali terakhir Along menghadap Allah? Bila kali terakhir Along mengucap syahadah dalam solat Along? Bila kali terakhir Along kucup tangan Ibu? Along tau tak Along dah tersasar jauh. Along tak takut dengan azab Allah? Along sedar tak dengan siapa Along hidup sekarang? Iblis dah menyesatkan Along. Sedarlah Along. Istighfar banyak-banyak."
Hasyimi terdiam. Pandangannya kaku melihat wajah kembarnya.
"Angah....Along...sebenarnya Along..." Sebak. Hasyimi tidak mampu meneruskan kata-katanya. Ada air jernih yang mengalir halus dari tubir matanya.
"Along.. Kami semua sayangkan Along. Kasihani ibu long. Beginilah... Angah minta, satu je dari Along. Sebelum balik, Along singgah dulu di Masjid. Bersihkan diri dan tunaikan solat. Mohon keampunan dari Allah. Dan mohon jua agar Along diberi petunjuk. Ini, ada titipan dari Pak Akob. Daun sirih ni dia dah bacakan ayat. Bila Laila datang, Along sapukan daun sirih ni pada kedua mata Along. Melalui hijab, Along pasti akan tahu kebenarannya."
"Lagi satu.. Malam ni, Angah dengan Pak Akob akan ke rumah Along."
Hasyimi mengangguk faham.
**********
8.00 malam

Hasyimi tiba di perkarangan rumah. Kali ini langkahnya penuh debar. Begitu juga dengan hatinya. Debar kerana menuntut satu kebenaran. Kata-kata dari kembarnya terpasak di benak. Dia perlu melakukannya malam ini juga.
Di muka pintu. Mulut Hasyimi terkumat kamit membaca ayatul qursi dan ayat 9 dari surah Yassin. Bibirnya tidak lekang mengalunkan zikir 'La haw la wala kuwwata illa billah hil aliyil adzim'.... Dia meletakkan setinggi pengharapan dan memohon pertolongan Allah sepenuhnya.
"Ketakk!"
Tombol pintu dibuka dari luar. Ruangan dari dalam rumah gelap dan sunyi. Beginilah suasana malam rumah Hasyimi lazimnya. Namun malam ini lain benar permainan emosinya. Dia tidak betah. Dia meraba dinding, mencari suis lampu. Papp! Suis di tekan. Suasana bertukar cerah. Dia melangkah perlahan menuju ke ruang tamu kemudian terus ke dapur.
"Arghhh."
Hasyimi terjerit kecil. Bau busuk mendera rongga bau nya. Sesak!! Tangannya laju menekup mulut dan hidung serentak. Bebola mata menyorot ke meja makan seraya menjenguk isi sinki. Mual.
Tekaknya mula mengembang. Layar didepannya memukul rakus anak tekak dan isi perutnya. Berlonggok-longgok ulat sampah menggeletis. Rakus merayap-rayap dari sinki ke atas table top hingga membawa turun ke lantai. Dia tidak dapat menahan lagi. Kakinya pantas berlari menuju ke bilik air.
"Uwekkkk!!!!'
Terhambur segala isi perut. Likat dengan lendiran.Busuk aromanya. Meloyakan. Terlayar di minda, dia menyantap mee goreng yang disediakan Laila malam tadi. Benarkah yang ditelannya itu mee? Pada zahirnya, masakan 'Laila' begitu enak ketika dikunyah. Hasyimi mengusap lehernya.
Tiba-tiba dari belakang...
"Abang dah balik..."
Erkk..Jantungnya berganda debar. Suaranya tersekat di kerongkong. Dia merasa berat untuk menoleh ke belakang. 'Ya Allah, bantu aku.' Monolognya di dalam hati.
Perlahan, dia menyeluk sakunya. Daun sirih yang dibekalkan Huzai di keluarkan. Dengan lafaz basmallah, dia menyapu kedua matanya dengan helaian daun itu.
"Abang....Laila panggil, abang tak jawab. Kenapa?"
"Ermmm...tunggu sekejap. Nanti saya keluar." Jawab Hasyimi tanpa menoleh.
"Baik..Laila tunggu abang di meja makan ya. Laila dah masak."
Gulpp!! Kembang tekak.
*********
Beberapa minit berlalu. Hasyimi masih kaku di dalam bilik air. Tidak berganjak.

''Ya Allah..Kuatkan aku!Bantu aku!''
Dengan lafaz Bismillah..Hasyimi keluar dari bilik air. Dia menuju ke ruang dapur. Jalannya menunduk. Namun dari hujung mata, dia dapat menangkap sesosok tubuh yang sedang berdiri di sudut meja. Pakaiannya putih lusuh.
"Abang...ke mari lah. Dekat dengan Laila."
Hasyimi beku. Dia berlawan dengan keinginan. Antara ingin tahu dan takut! Perlahan.... Dia mendongakkan mukanya, lantas memandang Laila. Bahunya terhinggut spontan. Tubuhnya selangkah ke belakang. Allahuakbar!!
Laila.....bukan lagi berwajahkan isterinya! Laila ini, wajahnya tua? Kulitnya, ganyut menggeleper. Penuh benjolan dan menggerutu! Kepalanya bertanduk dua. Kulitnya? Ya, Kulitnya berkedut dan berlendir. Darah dan nanah berhambur di setiap rongga. Lecak! Tubuh Hasyimi menggeletar! Dia takut. Sejujurnya dia terlalu takut. Siapakah makhluk ini sebenarnya??
"Ermmm...saya,saya...nak keluar! Ada hal." Hasyimi memaling muka. Dia melajukan langkah dengan niat untuk beredar.
"Abang dah tahu ya....hihihi.."
Paappp!!
Lampu yang terpasang seisi rumah terpadam serentak! Gelap secara total. Hasyimi terkesima. Tubuhnya yang tadi ringan terasa berat tiba-tiba. Kakinya bagaikan dipasak!

"Abang..Kenapa abang nak lari? Abang nak tinggalkan Laila? Heheheh..... Janganlah bang. Laila datang sebab abang yang seru Laila....hihihihi."
"Tak! Kau bukan Laila!! Kau syaitan!"
"Abang..sampai hati abang. Laila cinta mati abang....Kekasih abang."
Sosok Laila semakin mendekat. Serasa bahu Hasyimi disentuh kejap. Kemudian.... pipi Hasyimi diusap lembut. Usapan bersama likat nanah. Busuk dan hanyir. Ya Allah.. Tolong aku!!
"Arghhhh...Lepaskan aku!!"
"Tidak!!! Abang dah janji!"
Laila memeluk tubuh Hasyimi erat. Dia menjilat dan menggomol-gomol wajah dan leher 'suaminya' itu. Rakus dan berahi!! Hasyimi tidak betah. Gigilnya tidak tertahan lagi. Seluarnya basah dengan air kencing yang meleleh deras. Dia mula menangis saat itu. Sekejapan, batang tubuhnya longlai dan menyembah bumi.
Bamm!!
Pintu utama ditolak kasar.

"Alongg!!"
"Hasyimi!!"

**********
Lokasi: Beranda Rumah Pak Akob.

Seminggu berlalu...
"Pak Akob.. Boleh saya tanya? Siapa sebenarnya makhluk tu?"
"Dia makhluk Allah juga Mie. Tetapi tujuannya hanya satu, untuk menyesatkan anak adam. Dia, dari kalangan jin kafir. Dia adalah jin asyik betina. Dia datang sebab atas kehendak kau."
"Kehendak saya? Maksud Pak Akob?"
"Ya... dia ambil kesempatan atas kelalaian kau. Kau menidakkan takdir Allah atas tragedi kemalangan yang menimpa Laila yang meragut nyawanya. Kau memberontak hingga imanmu terkubur. Jiwa kau kosong. Kau menyeru cinta, maka Jin asyik itu hadir. Dia menyambut cinta dari kau. Dia berahi dan memuaskan nafsumu Hasyimi."
"Saya menyesal Pak Akob.. Saya mengaku khilaf saya. Pak Akob... apa jadi pada dia?"
"Aku dah buat perjanjian dengannya. Aku hantar dia ke tempat sepatutnya dia berada. Pesan aku, jangan kau lalai lagi. Terima dan redha dengan takdir Allah. Bangkit Mie,mulakan hidup baru."
"Insyaallah. Terima kasih Pak Akob."
Hasyimi menunduk. Dia masih terkesan.
Kejadian yang berlaku meninggalkan parut yang mendalam pada Hasyimi. Dia nekad untuk berpindah ke rumah ibunya. Rumahnya bersama arwah Laila itu akan dijual. Kenangan mereka akan kekal abadi di sanubarinya.
******
Setahun berlalu....

Dibawah pepohon jejawi. Ada sosok seorang wanita yang sedang leka menghayun tubuhnya diatas buayan. Dia berlagu merdu. Begitu asyik leret senyumannya. Matanya tidak berganjak merenung wajah anak kecil yang dikendongnya.
"Qaseh....satu hari nanti, akan aku ketemukan kau dengan ayahmu.."
Matanya lirik. Dia tersenyum.
Tamat.
Nota tinta: Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata,
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Maksud surah al-Baqarah, ayat 156)
Karya: CikEdot
Suntingan gambar: @Wan Sc
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

No comments: