Thursday 28 September 2017

ERIN/ELIN Bab 2 - Nil Kuhaku


Erin/Elin - Siri II


Dia menyeringai. Menunjukkan dua batang taring dan gigi yang disaluti darah pekat.
“AKU BOLEH TOLONG KAU.” Ujarnya, dalam suara dalam, suara yang bercampur baur antara lelaki dan perempuan.
Lantas, aku menarik Erin, sepantas mungkin cuba melarikan diri. Batu yang disusun Erin berterabur. “Aa. Aaaa!” Erin menunjuk ke arah batu-batu yang disusun. “Bukan sekarang, Erin!” Jerkahku. Erin memang baik, tapi ada masa, bila kemahuannya tidak disempurnakan, dia mengamuk. Aku menarik Erin sekuat hati, melarikan diri dari situ.
Sempat aku berpaling.
Jembalang rusa itu masih memerhati kami, masih menyeringai. Tubuhnya seperti patung. Tiada organ pembiakan lansung. Malah dadanya kosong, tiada puting, sama dengan perutnya. Tiada pusat.
“AKU BOLEH TOLONG KAU.” Suaranya bergema ke seluruh ladang teh.
Aku masih menarik Erin lari.

“AKU BOLEH TOLONG KAU.” Suaranya seakan bergema di dalam pelusuk otak ku.
“Berambuslah!” Jerkahku.

Aku mengeratkan peganganku terhadap Erin. Dari jauh, rumah Tokma berbalam-balam cerahnya. Petang sudah menghampiri maghrib, lampu sudah dibuka.
Aku mempercepatkan larian. Tiba-tiba. Erin berhenti.
“Erin! Cepatla- “ aku berpaling ke arah Erin. Namun kata-kata aku tersekat di keronkong tekak.
Tangan yang aku pegang, bukan tangan halus milik Erin.
Ia adalah tangan pucat, putih, besar. Urat biru dan ungu tersembul pada kulit dingin itu.

Aku mendongak ke arah pemilik tangan itu.
Mata putih terbeliak.
Sepasang tanduk rusa.
Lembaga itu menyeringai. Wajahnya mendekat, hingga hidung kami saling bertemu.
“AKU BOLEH TOLONG KAU.” Bisiknya.
Aku dengar diriku menjerit, dan semuanya – bertukar gelap.
*******************************************************************************
Bunyi suara berbalam-balam menampar gegendang telingaku.

“… jumpa dia berdekatan pintu pagar rumah, Puan Helen.”
Seseorang mengeluh.

“….degil…”
“…bahaya. Di sungai tu bahaya.”
“… she should be awake by now.” Suara Adam.
Aku membuka mata. Aku lihat Adam tersenyum ke arahku.
Lantas aku mencebik. Aku bingkas bangun, memerhati Adam marah. Adam mengangkat keningnya, tersenyum melihat gelagatku.
“Dia okay, Puan Helen.” Adam mengangguk-angguk, memandang Tokma yang sedang mencekak pinggang. “Apa Elin buat di luar sana?” Bentak Tokma. “ That is very dangerous, young lady. Elin pergi ke sungai tu pulak kan?” Bebel Tokma lagi. Aku mendengus. Menarik kakiku rapat ke dada. “Sekarang ni musim hujan. Elin tak faham ke tempat tu licin?” Marah Tokma. Aku melirik mata ke atas, bosan dengan bebelan Tokma.
“Tokma. Tolonglah. I am in one piece okay?” Marahku kembali kepada Tokma. Tokma menggeleng kepala, mengeluh.
Namun aku terdiam melihat pakaian Tokma.

Dia memakai kebaya kuning, kain bercorak batik berwarna merah.
Tokma tak pernah memakai warna lain, kecuali hitam dan putih sahaja.
“Tokma.” Ujarku.
“Ya?” Jawab Tokma.

“Tokma… you’re. You’re… wearing colours.” Gumamku, menunjuk ke arah pakaian Tokma. Memandang wajah Tokma.
Tokma mengangkat kedua belah kening. “Apa kena dengan Elin ni? Apa masalahnya kalau Tokma pakai pakaian berwarna?” Ujar Tokma hairan.
Adam melihatku aneh. “Cik Elin ada terhantuk kepala di mana-mana ke?” Tanya Adam. Aku menggeleng, mulutku separuh terbuka.

Aku teringat sesuatu. Manusia bertanduk rusa.
Erin!

“Erin mana, Tokma?” Tanyaku.
Tokma dan Adam berpandangan. “Siapa Erin?”

Mulutku ternganga. Apa ini? Jenaka? Lawak? Prank?
“Tokma janganlah main-main. Erin mana?” Bentakku. Tokma memandangku dengan aneh. Dia menggeleng kepala. “Elin. Siapa Erin?” Tanya Tokma kembali. “Erin. Kakak Elin!” bentakku tidak sabar. “Dia tak boleh berkeseorangan, Tokma. Dia kat mana?!” Ujarku, panik.

“Elin. Elinkan anak tunggal Ma dan Abah?” Ujar Tokma perlahan-lahan, seperti bercakap dengan budak.
Aku bingkas bangun dari sofa. “Erin!” laungku. “ERIN!” Aku menjerit. Jeritanku bergema ke seluruh rumah agam Tokma. “Elin. Elin dahlah –“ ujar Tokma, sebelum aku berlari melangkah tangga. Erin pasti sedang ada di dalam bilik. Pasti!
“Erin!” Jeritku lagi. “Erin, jawablah!” aku membuka pintu bilik pantas.

Kosong.
Bilik itu, yang pada asalnya memiliki dua katil, tinggal satu. Gambar-gambar aku dan Erin sewaktu kecil yang disusun aku di atas para, hanya aku di dalam gambar itu. Tersenyum ke arah kamera. Aku seorang sahaja.
Aku, berkeseorangan, dalam tiap gambar. Gambar raya pertama aku dan Erin. Gambar kami di taman strawberry. Gambar kami di kolam renang.
Gambar aku, Ma dan Abah, menyambut hari jadiku. Hanya aku.
Erin lansung tiada. Rasa resah memenuhi perutku, bergelodak, bagai aura hitam menyesakkan nafas.
Aku membuka pintu almari baju.
Almari itu dipenuhi baju-baju berona gelap, seluar jeans, t-shirt. Baju Erin yang cerah, feminin, lansung tiada.
Aku menggeleng kepala tidak percaya. Aku berlari pula ke meja solek kami.
Rambut yang melekat di sikat, adalah rambut pendek. Milik aku. Lansung tiada kesan rambut panjang Erin.
Pengikat rambut biru aku tergeletak sunyi, pengikat rambut itu masih tidak kendur, seperti jarang digunakan.
Aku terduduk. Menyebak rambutku kebelakang. Tak mungkin. Tak mungkin. Adam muncul di muka pintu, dengan Tokma menyusul. Maria, salah seorang dari enam staf rumah kami turut menjenguk. Wanita yang hampir menjengah separuh abad itu kelihatan bimbang.
Aku menggeleng kepala tidak percaya. “Tak. Tak. Tokma, Adam, jangan buat macam ni. Please. Kasihan Erin. Please. I’ll be good. Elin tak lari keluar macam tadi. Elin minta maaf. Mana Erin? Mana Erin, Tokma?” Ujarku, hampir mahu menangis.
“Elin,” Tokma menghampiri, merangkul bahuku erat. “Elin belum makan ubat lagi,kan?” Ujar Tokma bimbang. Ubat? Ubat apa? Aku terpinga-pinga dengan air mata bergenang. Aku memandang Adam yang melihatku penuh bimbang.
“Adam. Ubat apa yang Elin kena makan? Mana Erin?” ujarku, air mataku menitis laju.
Adam melihatku seperti seorang abang melihat adiknya yang kesakitan. “Cik Elin. Ubat untuk ‘keadaan’ Cik Elin. Ingat…?” Tangan Adam mengarahkan Maria, yang terus berlalu mengambil sesuatu. “Bukan apa pun. Cuma, Cik Elin mengalami masalah hormon. Hormon di otak Cik Elin tak seperti orang lain. Sebab tu, Cik Elin ‘nampak’ dan ‘dengar’ macam-macam… Ingat…?” Adam menjelaskan.
Aku ternganga.
Maria menghampiri. “Belum, Ma’am Helen. Ubat Miss Elin untuk hari ini masih belum terusik.” Ujar Maria, menatang dulang terisi gelas dan beberapa biji ubat. Loghat Filipinanya berbaur pekat.
Tokma mengeluh. “Terima kasih, Maria. Adam, Maria. Tinggalkan kami sebentar.” Ujar Tokma, sempat mengambil dulang kecil itu dari tangan Maria. Aku memandang Tokma kaku. “Mari, Elin. Bangun nak.” Tokma memegang lenganku. Tanpa banyak cakap, aku bangun. Aku dipimpin Tokma ke katilku.
“Nah. Makan ubat ni dulu. It will all be better after this.” Ujar Tokma, menghulurkan sebiji ubat bulat, putih ke arahku.
Aku mencapai. Bagai déjà vu, aku menelan ubat itu bersama air. “Buka mulut.” Arah Tokma tiba-tiba. Aku membuka mulut, menurut arahan Tokma. “Angkat lidah kamu.” Ujar Tokma lagi. Aku ikut.
Tokma memegang daguku, membelek-belek mulutku sebelum mengangguk, puas hati. “Pergi mandi lepas ni. Nanti Tokma minta Maria hantarkan kamu makanan.” Ujar Tokma. Berlalu meninggalkan aku keseorangan. Pintu bilik ditutup lembut.
Aku tidak berupaya berkata apa-apa. Aku cuma memandang siling kosong. Memori milikku dan Erin menerpa benak. Senyuman lembut Erin bagai terawang-awang di minda.
Aku bangun, melihat beranda. Sunyi. Rasa melankolik mengisi diri. Bagai terpandang Erin bermain dengan anak patungku.
Anak patungku!
Aku menyelongkar almari. Anak patung Raggedy Ann yang sebesar bayi manusia itu tersenyum ke arahku. Berambut merah, memakai skirt biru pucat.
Rambut Raggedy Ann doll aku dahulunya panjang. Aku potong pendek sewaktu aku berumur enam tahun. Waktu itu aku bergaduh dengan Erin.
Rambut anak patung itu panjang, dijalin dua. Lansung tiada tanda dipotong.
Aku terduduk di hadapan almari, airmata aku mengalir bagai empangan pecah. Bahuku terhinggut-hinggut dalam esakan tangisku.
Erin. Erin. Erin.

Jadi selama ini Erin cuma bayangan aku? Bayangan budak perempuan gila? Budak perempuan sakit mental?
Aku dakap erat patung kecil itu, air mata aku masih menitis membasahi rambut merahnya. aku terbaring, mengerekot di lantai dingin. Aku terasa sunyi. Kosong. Kosong yang amat.
“Miss Elin?” Pintu bilikku diketuk. “Miss Elin?” Suara Maria menyapa gegendang telingaku. Aku melihat kosong ke arah pintu, sebelum pintuku dikuak perlahan.
Maria menatang dulang bertutup. Wajahnya berubah sebaik sahaja memandang aku mengerekot di atas lantai.
“Oh, anak.” Ujarnya sayu. Dia meletakkan dulang berdekatan katilku, dan lantas menarikku duduk. Aku tak tahu kenapa, tapi mungkin kerana sentuhannya, dan nada suaranya yang keibuan itu – membuatku makin teruk menangis. Aku mengongoi seperti budak kecil di bahu Maria. Maria merangkulku erat, mengusap rambutku lembut.
“Maaf, Maria. Maaf.” Ujarku dengan hidung tersumbat dan mata bengkak. Aku meleraikan pelukanku. Mata Maria turut bergenang. Anak patung itu aku lempar ke atas katil. Aku duduk di atas katil, malu dengan Maria. “Tak apa miss.” Ujarnya, mengesat air matanya. “Miss mahu makan? Maria masakkan kegemaran Miss.” Maria tersenyum, membuka dulang. Nasi putih, ayam masak kicap pedas dan peria goreng rangup.
Aku menelan air liur.
Tiba-tiba, aku terasa lapar. Sangat lapar. Hari sudah menginjak tengah malam. Dari tengah hari aku lansung tak makan apa-apa.
Aku mengangguk. Maria tersenyum senang. “Mari Miss. Tak elok makan di katil. sini, sini.” Dia meletakkan dulang di atas meja belajarku. Aku bangun. “Basuh tangan dahulu miss.” Ujar Maria lembut. Aku menurut, lalu duduk di meja. Nasi putih berasap nipis. Aku memandang Maria. “Terima kasih.” Gumamku kearahnya. Maria mengangguk, tersenyum lebar.
“Maria dah makan?” Tanyaku.
“Sudah miss. Miss makanlah. Maria dah kenyang.” Jawabnya terharu.
Aku mengangguk. Menguis-nguis nasi. Merasa sedikit kuah kicap.

Sedap.
Aku menjamah penuh berselera.
Maria duduk, di sisi, memerhati aku makan. “Miss anak yang baik.” Ujarnya, sayu. Aku meratah peria goreng rangup, tersenyum malu ke arah Maria.
Habis makan, aku mengangkat dulang, mahu ke dapur. “No miss. Let Maria do that.” Ujar Maria, menggeleng kepala. “Tak apa Maria. Bukan berat pun. Tak apa.” Aku meyakinkan Maria. Maria akur, mengikut aku turun ke dapur. “Mau minum, miss?” Ujar Maria. Aku mengangguk teragak-agak. Aku berpindah ke rumah Tokma sewaktu aku berumur 12 tahun. Sebelum tu, banyak benda aku buat sendiri. Seawal umur sembilan tahun aku dah belajar memasak. Benda biasa, nasi. Goreng telur. Bolehlah.

Bila duduk rumah Tokma, aku kekok.
Fikiran aku menerawang ke arah Erin.
“No miss. Miss dah bawa turun. Biar Maria basuh. Please.” Ujar Maria sebaik sahaja aku mahu membasuh pinggan.
Aku akur.

“Miss drink, ya.” Dia meletakkan segelas air the hijau panas kegemaranku. Bila masa dia buat aku tak tahu.
Aku duduk di dapur, memerhati Maria membasuh pinggan.
Erin. Erin.
Tiba-tiba, wajah lelaki albino bermata pucat menerjah benakku. Aku termengkelan.
Ya. Lelaki bertanduk rusa!

“Miss okay?” Tanya Maria bimbang. Aku mendongak, memandang Maria sekilas sambil menggeleng kepala. Aku melihat bayangan alam di jendela.
Malam kian pekat.

“Miss, ada apa-apa, Miss kena beritahu. Ingat pesan doktor kan?” ujar Maria. Aku merenung Maria yang sedang memandang aku bimbang.
Aku menggaru kepala. Cuba menyusun ayat.

“Bukan. Sebenarnya… masa saya ke sungai. Saya nampak lelaki bertanduk rusa.” Ujarku sedikit bingung. “Lelaki bertanduk rusa?” Ulang Maria. Aku mengangguk. Cawan teh hijau berasap nipis, isinya ada lagi separuh. “Dia sebut nama saya. Kemudian dia cakap… ‘Aku boleh tolong kau.’” Ceritaku. “Miss pandang matanya?” Tanya Maria dengan mata membulat.
Aku mengangguk.
Wajah Maria kelihatan resah. Dia mendiamkan diri. “Kenapa, Maria?” Tanyaku. “No, miss. Saya teringat kisah sewaktu saya bekerja di Amerika.” Ujar Maria.

Aku memiringkan kepala.
Maria mengeluh. “Waktu itu saya bekerja di Arizona, Amerika.” Cerita Maria. “Di situ ada satu perempuan Native American, dari puak Navajo yang bekerja dengan saya.” Sambung Maria lagi.
“Apa yang Miss cerita sama seperti rakan saya ceritakan. Yee naaldlooshii,” ujar Maria ketakutan, “Skinwalker.” Maria menghabiskan ayat.
Aku memandang Maria ternganga.
“Skinwalker?” Ujarku. Yee… apa entah yang disebut Maria tadi lansung aku tak dapat ulang.
“Yes Miss. Skinwalker. Very bad. Bad witch.” Cerita Maria. “Dia boleh berubah menjadi binatang. Sama seperti jadi-jadian di Malaysia, Miss. You have that story too.” Cerita Maria bersungguh. “Skinwalker, saya pernah jumpa. Masa kawan Maria dan Maria memandu waktu malam, di padang pasir Arizona. Binatang berkaki dua tiba-tiba mengejar kami dari belakang kereta. Scary, miss. Sekali tengok macam anjing. Coyote. Tetapi besar. Sekejap dia berlari empat kaki. Sekejap dia berlari dua kaki. I’ll never forget that.” Maria bercerita, ketakutan. Aku mengangguk-angguk, tak tahu mahu percaya atau tidak.

Lagipun. Aku inikan… mental? Sakit mental? Kan? Benda tu semua halusinasi aku. Kan?
“Sudah, Maria.” Tiba-tiba suara Tokma mencelah. Aku terperanjat. Maria tergamam. Tokma sedang berdiri di pintu dapur kami.
“I don’t expect you to be filling her head with such stories! Ditambah pula dengan keadaan dia yang…” Suara Tokma terhenti. Aku mengeluh kasar. “Cerita sahaja Tokma. Lagipun, saya tahu, saya ini sakit mental, kan?” Aku menghempaskan cawan ke meja, sebelum menghentak kaki masuk ke bilikku.
Aku menghempaskan badanku ke katil, kasar. Sempat aku menangis. Memeluk bantal erat.
Erin.

Aku masih tak mampu menerima hakikat, Erin tidak wujud.
Telefon bimbit ku capai. Pantas ku taip ‘skinwalker’ ke enjin carian. Aku ambil pautan dari Wikipedia dan baca.
Kebanyakan benda adalah perkara biasa mengenai mistik. Bagaimana, ‘skinwalker’ ini, adalah satu bentuk lawan bagi ‘bomoh baik’ puak Navajo.
Ada satu benda yang menarik minat aku. Hampir sahaja darah dimuka aku bagai disedut kering sewaktu membaca pautan tersebut.

“… mereka (skinwalker) boleh mengawal badan haiwan atau manusia, yang melihat mata mereka.”
Aku termengkelan, mengingatkan mata putih milik lelaki bertanduk rusa.
Tak mungkinlah.

Aku sakit mental. Semua itu tak wujud.
Karya: Nil Kuhaku
Gambar suntingan: #Kamenrider

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

No comments: