Saturday 30 September 2017

BANGUNAN 1 - Mat Lester


Bangunan - Siri I
Idham menanggalkan helmet, lalu disangkut pada cermin motorikal LC 135 nya. Kira-kira 500 meter pada pandangan mata, sebuah bangunan lama terbengkalai. Bangunan jenis dua tingkat.
"Mak...aihhh.. takkan tempat ni kot. Gila babi. Hmmm..layan jelah. Janji rezeki halal. " 
bisik Idham bersendirian yang memakai baju uniform berwarna putih pada malam itu.

Malam itu malam pertama Idham bertugas sebagai pengawal keselamatan. Lokasi bangunan pun boleh tahan jauh. Jarak dari bandar berdekatan dianggarkan sejauh sekitar 70 kilometer. Dengan kawasan di sekeliling hanya ditemani hutan, lokasi tempat kerja baru Idham itu agak menakutkan.
Idham megetahui kekosongan jawatan sebagai pengawal keselamatan di kawasan bangunan itu melalui iklan di internet. Malahan, satu-satu sebabnya dia sanggup bekerja di situ adalah kerana gaji yang ditawarkan sangat lumayan.
Idham menggagahkan diri menuntun motorsikal menuju ke pondok pengawal. Sampai saja depan pondok, tongkat motorsikal diturunkan. Tiba-tiba, Idham menyedari segala gerak gerinya sedang diperhatikan oleh seseorang.
Dia pantas menoleh ke arah pintu pondok pengawal.
Kelihatan seorang lelaki tua berusia dalam lingkungan 50an sedang berdiri depan pintu pondok pengawal. Rambutnya nampak beruban. Lelaki tua itu mengukir satu senyuman kepada Idham.
Idham membalas senyuman dan berjalan menuju ke arah si lelaki tua itu. Dia dapat merasakan yang lelaki tua ialah pengawal keselamatan yang dimaksudkan oleh majikannya siang tadi.
"Assalamualaikum pakcik. Saya Idham. " 
Idham memperkenalkan diri serta menghulurkan tangan untuk bersalam sebaik saja dia sampai depan pintu pondok.

‘Osman’. Nama yang tertera pada poket baju uniform putih yang dipakai oleh si lelaki tua.
" Waalaikumsalam. " sahut Osman sambil berjabat tangan dengan Idham.
"Masuklah. Pakcik tak boleh lama. Sebelum pakcik pergi, ada benda sikit pakcik nak pesan. " pelawa Osman. Dia melepaskan tangan dari genggaman Idham dan lekas memasuki ke dalam pondok dan diikuti olleh Idham.
Dalam pondok itu ada sebuah meja dan dua buah kerusi plastik. Di atas meja, ada sebuah buku log yang disertakan dengan sebatang pen berwarna hitam. Sebuah jam merah berbentuk bulat melekat pada dinding. Kipas siling masih rancak berpusing.
Melihat keadaan dalam pondok itu, Idham gelisah semacam. Bukan apa, kebosanan pasti akan melanda dirinya.
"Pishang....keraslah aku macam ni." rungut Idham dalam hati.
Di depan meja yang menghadap tingkap, Osman memasukkan beberapa barangan milikinya ke dalam beg galas. Selepas selesai berbuat sedemikian, Osman mengzip beg dan meletakkan beg itu pada atas meja. Osman kemudian melabuhkan punggungnya ke atas kerusi.
"Duduklah nak.Buat macam rumah sendiri." kata Osman.
Idham mengheret kerusi dan terus duduk.
"Memang dah tahu ke kena jaga tempat ni?" soal Osman.
"Saya cuma diberi alamat tempat ni. Tak tahu pulak kena jaga bangunan kosong ni." balas Idham.
"Dah agak dah. " bisik Osman dengan nada halus. Raut wajahnya nampak sedikit rasa serba salah.
"Kenapa pakcik?" tanya Idham kehairanan.
Osman menghembuskan nafas perlahan-lahan.
"Takada apalah. Cuma satu je pakcik pesan nak. Kalau terdengar bunyi apa-apa dari dalam bangunan tu, jangan masuk. Walau apapun sekali bunyi, ja..ngan....ma..suk. Tu je yang pakcik boleh pesan. Ingat. ''
Pesanan daripada Osman membuatkan Idham menelan air liur sekali. Bulu romanya naik meremang serta merta.
Osman bingkas bangun dari kerusi, lalu menggalas begnya.
"Baiklah nak. Pakcik pergi dulu ye. Sebelum pakcik lupa, lampu suluh dalam laci. Baru je tukar bateri. Tandas kat belakang ni je. Nombor telefon pakcik ada dekat buku log tu. Kalau ada apa-apa, telefon je. Takyah meronda. Baik tidur. Sekali lagi, kalau ada sebarang bunyi,abaikan. Jangan ikut perasaan. " tegas Osman sambil menepuk bahu kanan Idham berulang kali.
"Pakcik..boleh... saya tahu? Tu bangunan apa?" Aju Idham menginginkan kepastian. Hatinya akan sentiasa berasa tidak tenteram selagi dia tidak dapat membongkar maksud sebenar pesanan Osman.
Osman teragak-agak untuk menjawab, namun perasaan simpati terhadap Idham mengatasi segala-galanya.
"Bekas kem tahanan Jepun. " 
jawab Osman dengan ringkas sebelum dia berlalu pergi dengan tergesa-gesa.

Terbeliak terus mata Idham mendengar jawapan Osman.
***
Jam di dinding pondok menunjukkan pukul 11.00 malam.
Dari tadi Idham cuba melelapkan mata atas kerusi, tapi dia langsung tak boleh tidur. Maklumlah, malam pertama. Macam-macam yang difikirkan.
Idham mengeluarkan smartphone Samsung S5 dari poket seluar. Isyarat phone mencapai paras E. Kalau dah E tu, boleh faham sendiri dah kan? Internet tersangatlah lembap. Chat Whatsapp gagal untuk naik satu tick.
"Pishang, pishang. Macam manalah orang tua ni boleh tahan, " cakap Idham seorang-seorang.
Idham meletakkan phone atas meja dan kembali menyandar pada kerusi.
Tok tok tok.
Bunyi pintu pondok diketuk.
Idham terkejut dan terus berdiri. Dia lekas mengeluarkan kayu cota yang diselit pada bahagian pinggang seluarnya.
"Takkanlah malam pertama kena camni. " gumam Idham halus.
Perlahan-lahan dia berjalan ke arah pintu.
Tombol pintu dipegang, lalu dipulas. Pintu terbuka sedikit demi sedikit dan akhirnya terbuka luas.
Idham berdebar-debar. Dia berjalan keluar dari pondok. Toleh kanan, toleh kiri. Tiada sesiapapun.
Rasa semacam. Langkah Idham terhenti. Dia merasakan seperti ada seseorang sedang berada di belakangnya. Belum sempat menoleh, mulutnya diserkup. Kayu cota terlepas daripada genggamannya. Idham meronta-ronta dan cuba melepaskan diri. Tapi, kudrat yang sedang menahan badannya sangat kuat. Depan Idham pula kelihatan dua orang manusia. Mereka berdiri tegak merenung tajam muka Idham dengan wajah yang begitu serius. Seorang lelaki berkaca mata, seorang lagi pula perempuan free hair. Idham jadi terpaku dan berhenti meronta. Dia mengenali kedua-dua manusia itu. Tangan yang sedang menyerkup mulut Idham dilepaskan.
Bahu kanan dan kiri lelaki berkaca mata bergoyang serentak. Si perempuan pula, menutup mulutnya dengan tangan kanan.
"Hahahaha!" 
Lelaki berkaca mata dan si perempuan free hair ketawa terkekeh-kekeh. Begitu juga manusia belakang Idham. Sahih, suara ketawa seorang lelaki.

Muka Idham merah padam.
"Bodoh, bangkai, siput, anjing korang ni. Macam gampang." 
maki Idham bertalu-talu. Dia berpaling muka ke arah lelaki di belakangnya.

"Ow....kau bahan orang bukan main, bila sendiri kena, cuak giler muka. Hahaha!" 
sindir lelaki itu sambil ketawa. Tubuh badannya sado dan paling tinggi antara mereka berempat.

"Sayang kita tak rakam tadi dol. Boleh masuk facebook. Kasi viral." kata si lelaki kaca mata.
Lelaki bertubuh sado, namanya Helmi. Nama si lelaki berkaca mata pula, Firdaus. Perempuan free hair, Diana. Empat rakan sejati yang liar itu berkawan semenjak dari bangku alam persekolahan. Biasanya, hobi mereka berempat menyamun rumah orang. Idham bagaimanapun sudah bertekad berhenti melakukan perbuatan terkutuk itu. Sebab itu, dia cuba mencari pekerjaaan halal. Sebabnya, nak hilangkan rasa ketagih mencuri.
"Alaaa...Id, sorrylah. Siapa suruh tak balas chat. Ni semua idea Helmi." pujuk Diana. Kasihan pula dia dengan Idham.
"Buat prank pun agak-agaklah woi. Macam mana aku nak balas chat, line internet macam haram. Mana korang tau tempat ni?" persoal Idham dengan nada yang tidak berpuas hati. Tapi, raut wajahnya kembali tenang.
"Dah kau berahsia sangat. Aku telefonla mak kau. Apa susah." balas Firdaus.
Idham membisu.
"Kereta mana?" tanya Idham.
Helmi menunjukkan isyarat jari telunjuk ke arah pintu pagar. Tak ada kereta pun. Tapi, Idham memahami kereta yang mereka naiki diletakkan dekat luar pagar. Patutlah kehadiran tiga rakannya itu langsung tidak disedari.
"Hah...Jomlah lepak dalam pondok." ajak Idham. Sekurang-kurangnya, malam pertama itu Idham adalah juga peneman.
Helmi, Firdaus dan Diana mengikuti Idham memasuki pondok.
***
11.30 malam.
Helmi sedang berak dekat tandas pondok. Diana berbaring di atas lantai, sibuk bermain phone.
Idham dan Firdaus duduk atas kerusi, rancak berbual-bual sambil menghisap rokok.
"Kau tahu ke bangunan apa tu Id?"
"Tahu."
"Kalau dah tahu, yang kau bodoh jugak kerja dekat sini pahal?"
"Aku baru tau dol. Silap aku jugak tak cek tempat ni. Main angguk je. Takpelah, janji gaji tiptop."
"Tak ramai pun sebenarnya yang tahu pasal bangunan ni. Cuma apa yang aku dengar awal tahun ni, ada something dalam tu. Tak tahulah benda apa kan. Kerajaan berahsia..sebab tu tender jaga ni tiba-tiba je dibukak. Ahhh...! Lupakanlah.Nampak gaya,tempat ni boleh kita buat port."
Idham menghembuskan asap terakhir dan menjentik puntung rokok keluar dari tingkap.
"Bangunan apa tu wei?" sampuk Diana yang dari tadi mendengar segala perbualan Idham dan Firdaus.
Firdaus menggelengkan kepala kepada Idham. Isyarat supaya tidak menjawab soalan Diana. Barangkali, mereka berdua tidak mahu menakut-nakutkan Diana.
''Tolong...! Tolong...! Tolong lepaskan aku...!"
Tiba-tiba kedengaran bunyi suara wanita memekik meminta pertolongan. Apa yang pasti, suara itu datang dari dalam bangunan.
Diana bangun berdiri. Idham dan Firdaus pula terpinga-pinga. Mereka bertiga saling berpandangan antara satu sama lain.
"Suara siapa tu Id?" Diana bertanya kepada Idham.
"Entahlah...mana aku tahu." balas Idham dengan nada ketakutan. Dia nampak cuak.
“Kalau terdengar bunyi apa-apa dari dalam bangunan tu, jangan masuk. Walau apapun sekali bunyi, ja..ngan....ma..suk.”
Terngiang-ngiang pesanan Osman dalam kepala Idham.
"Woi! korang dengar apa yang aku dengar?" ujar Helmi yang muncul tiba-tiba.
Seorang pun tidak menjawab pertanyaan Helmi.
"Tolong...! Tolong...! Jangan percaya cakap orang tua tu..!"
Sekali lagi suara wanita misteri itu menjerit. Kali ini, lebih nyaring dan membuatkan Idham lebih keliru.
Suasana senyap untuk beberapa saat. Masing-masing tak tahu nak buat apa. Mulut Firdaus ternganga.
"Id. Pintu bangunan tu berkunci tak?" tanya Helmi.
"Tak pasti." jawab Idham sambil menggeleng-gelengkan kepala. Baru dia teringat, Osman langsung tidak menyebut apa-apa pasal kunci.
"Pakcik tadi cakap, kalau dengar apa-apa bunyi, jangan masuk." jelas Idham.
"Bodoh. Kau bongok sangat nak percaya cakap pakcik tu dah kenapa. Kau sendiri dengar perempuan tu menjerit cakap apa. Jangan-jangan pakcik tu penculik. Pastu rogol . Tu yang dia beria sangat tak bagi kau masuk. Takut kantoi." bidas Helmi.
Hati Idham mula tergugat dengan teori Helmi. Ada benar juga apa yang diperkatakan oleh kawannya itu. Tapi, Osman kan dah pesan. Apa pun bunyi, jangan masuk. Entahlah. Idham berfikir sebentar, lalu terus mengambil buku log di atas meja.
"Kau nak buat apa?" soal Helmi
"Nak call pakcik tu." jawab Idham.
Helmi merampas buku log dari tangan Idham. Dihempasnya buku log itu ke atas lantai.
Firdaus dan Diana tak nak masuk campur. Mereka tahu, kalau Helmi mengamuk, parah.
"Apahal bangang sangat ni. Kau call pakcik tu, silap haribulan kita yang jadi mangsa nanti. Bodohlah kau ni. Kau pun ada adik perempuan. Faham sendirilah." tutur Helmi dengan marah.
"Helmi...." 
Diana cuba menenangkan keadaan. Dia dah masak dengan perangai Helmi. Sejahat-jahat Helmi mencuri, dia begitu pantang bab perempuan dicabul mahupun dirogol. Lagipun, Helmi ada kisah silam tersendiri.

"Aku nak masuk dalam." Ucap Helmi dan terus keluar dari pondok.
Firdaus kian dalam dilema. Dia dahlah seorang penakut. Nak taknak, sebab Helmi yang paling berani antara mereka, dia terpaksa ikut sekali masuk ke dalam bangunan.
Idham menepuk dahi sambil bahunya dipegang Diana. Dia memandang diana.
Diana menganggukkan kepala sekali, memberi keyakinan kepada Idham untuk turut serta bersama Helmi dan Firdaus.
Karya: Mat Lester
Suntingan gambar: Shizu
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

No comments: