Sunday, 29 October 2017

PUAKA KOLAM LAMA - Dani Firdaus


PUAKA KOLAM LAMA

====================
Fauzan merupakan seorang kaki pancing tegar. Pantang ada masa terluang, tanpa mengira hari dan tempat, pastinya Fauzan akan melunaskan gejolak nafsunya dengan memancing.
Termasuklah petang itu. Isterinya tengah sarat mengandung, pun dia masih fikirkan tentang joran, mata kail, pelampung dan ikan toman. Lelaki, kalau dah terlalu taksub dengan hobi, sudah berumah tangga pun masih tidak berubah.
Petang itu, dia ditemani Kamarul memancing di sebuah kolam nun jauh di pedalaman kampung di hulu Selangor. Dengar kata penduduk setempat kolam berkenaan memang banyak ikan yang besar-besar, lebih-lebih lagi si Toman. Memang lubuk ikan itu di situ. Tetapi, menurut orang kampung sekitar itu juga, kolam itu agak ‘keras’. Pernah sekumpulan pemancing diganggu sang penanggal, kononnya.
"Keras kau kata? Memanglah keras sebab ada batu, ada pokok kayu." nada suara Fauzan agak angkuh sambil memasang umpan.
"Kau ni berlagak la..Dah la kita ni dalam hutan." tegur Kamarul lalu melemparkan jorannya.

Rokok dihidupkan sambil menanti umpan mereka disentap sang toman. Asap berkepul ke udara, dilepaskan penuh bangga.
Jam 7.00 petang
"Kolam apa kau bawa aku ni, Rul? Seekor ikan pun tak sangkut!" bentak Fauzan.
Kamarul hanya diam membisu. Langsung tidak berpaling ke arah Fauzan yang sudah menghidupkan rokoknya yang terakhir. Baru satu jam duduk di situ, sudah sekotak rokok dihabiskan.
Pada mulanya Fauzan tidak mengendahkan gelagat rakannya itu. Dia biarkan sahaja Kamarul melayani perasaannya. Kamarul masih setiap memandang ke depan, ke arah jorannya yang entah bila akan disentap sang toman.
"Kamal, kau ok tak ni?"
Soalan Fauzan, langsung tak dijawab Kamarul.
Tiba-tiba telefon milik Fauzan berdering di dalam poket.
"Abang! Abang, dekat mana tu? Ita takut ni, bang!" suara Isteri Fauzan membentak dan menangis di talian. 
"Kenapa ni sayang?"soal Fauzan. Puntung rokok dibalingnya ke tepi.
"Ita dengar suara pelik kat luar rumah, bang! Tolong lah, bang. Balik sekarang! Ita takut!" rintih isterinya lagi.
“Ye lah. Abang balik sekarang. Kolam ni pun nampak macam kolam sial je. Sekor ikan pun takde.” Fauzan meluahkan isi hatinya.
“Abang! Abang pergi memancing? Abang cakap kat Ita abang jenguk kawan abang sakit. Abang pergi memancing rupanya?!” Ita memarahinya.
“Eh, abang bukan ke abang dah bagitahu Ita yang abang nak pergi memancing?”
“Abang balik sekarang!”

Tuut! Tuut!
Talian diputuskan oleh Ita. Fauzan menggeleng-gelengkan kepalanya. Kesal dengan sikap isterinya yang tak pernah faham tentang hobinya yang satu ini.

Telefon Fauzan berbunyi lagi.
“Abang!!!! Ada penanggal kat luar rumah!!!” jerit Ita sekuat hati apabila Fauzan mengangkat panggilan tersebut.
Fauzan menjadi gabra.
"Kamarul, berkemaslah. Jom balik sekarang. Ada benda kacau bini aku kat rumah!"
Kamarul bangun dan mengangguk perlahan. Dalam masa yang sama, kejutan buat Fauzan sekali lagi apabila menerima panggilan telefon kali ini bukan dari isterinya, tetapi..
"Woi, Fauzan kau dekat mana ha!? Seharian aku cari kau hari ini. Kata nak gi mancing petang tadi? Ni dah maghrib. Jangan kata kau tukar plan nak mancing malam pula?" soal Kamarul di talian.
Telefon yg dipegang Fauzan terlepas dari gengaman. Dia terus memandang laju ke arah ‘Kamarul’ yang berada di hadapannya tidak jauh, hanya beberapa meter. ‘Kamarul’ memandangnya sambil tersengih.
"Aku dah pesan tempat ni keras, tapi kau degil. Kau sindir aku sekarang kau terima akibatnya." kata lelaki yang menyerupai Kamarul tadi, kini perlahan-lahan bertukar wajah yang mengerikan, berlumut dan matanya merah menyala. Perlahan-lahan juga badan ‘Kamarul’ semakin membesar dan meninggi.
Waaarggghhh!!
‘Kamarul’ berderam garau.

"Pap!!" satu lebasan joran mengenai muka ‘Kamarul’ menyebabkan joran Fauzan patah. 
"Sakitlah bodoh!" Kata jembalang itu.
"Padan muka kau, dasar jembalang air!"

Dengan pantas Fauzan mencucuk mata jembalang tersebut sehingga ia meronta-ronta kesakitan. Dengan segeranya Fauzan berlari ke arah kereta lalu menghidupkan enjin. Kereta dipacu laju keluar dari kawasan kolam itu untuk pulang ke rumah.
Semasa memandu air matanya mengalir apabila mengenangkan nasib Ita di rumah. Dia sedar akan kesilapannya. “Ya, Allah. Janganlah penanggal itu apa-apakan isteri aku dan anak dalam kandungan Ita, Ya Allah.” Doanya dalam keadaan kaki terus menekan pedal. Air matanya tak henti mengalir apabila dia membayangkan penanggal telah menuju kerumahnya dan telah melakukan sesuatu yang dasyat terhadap isterinya yang dicintai.
1 jam memandu, akhirnya dia tiba di rumah.
Jantungnya berdegup laju. Dalam keadaan terburu-buru, daun pintu hadapan ditolak kuat.
“Ita! Ita..!!” laungnya memanggil isterinya.
Fauzan terus terduduk ke lantai apabila melihat isterinya sedang lena tidur di atas sofa. Televisyen terpasang tanpa ditonton. Di atas meja ada sekeping pinggan kotor, mungkin Ita baru lepas makan lalu terlelap.
Fikirannya berserabut, antara lega dan takut, antara marah dan bersyukur. Namun, dia masih berfikir, kalau bukan isterinya yang menghubunginya tadi, jadi siapa?
Fauzan bangun kembali menghampiri isterinya.
“Sayang, bangun sayang.” Sapa Fauzan sambil menggerak-gerakkan sedikit bahu isterinya.
“Abang..baru balik? Macam mana kawan abang tu, ok?” soal Ita dalam keadaan mamai.

Mendengar soalan dari Ita membuatkan air mata Fauzan makin deras.
“Kenapa abang nangis ni?” soal Ita lalu bangun dari baringannya.
“Ktang! Ktang!” bunyi bising dari luar kedengaran. Fauzan segera menuju ke luar.
Joran, perkakasan memancing dan telefonnya bergelimpangan di atas lantai depan.
"Bodoh punya manusia, dah lah memancing tempat aku kemudian tinggalkan sampah pulak!!"suara itu memarahi Fauzan.
-Tamat-
Ps: Ingat bila kita masuk tempat orang, kawasan hutan dan tempat yang jarang-jarang kita pergi, janganlah kita angkuh dan bercakap besar. Mungkin kita akan terima akibatnya nanti.
====================
Suntingan: Wan SC
Gambar: Wan SC

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

BEBOLA DAGING - May Nhai


BEBOLA DAGING
Karya: May Nhai

======================
Suasana ruang bawah rumah itu kelihatan sibuk dengan dua manusia yang leka memilih stok daging. Aina menghidupkan suis alat pengisar, manakala Aini mula memotong daging yang masih sejuk itu menjadi ketulan yang lebih kecil. Selepas selesai memotong, mereka bergilir memasukkan ketulan daging ke dalam mesin pengisar. Bunyi mesin pengisar membingitkan suasana ruang tersebut. Nasib baik mereka telah mengubahsuai ruang bawah tanah itu menjadi kalis bunyi.
Selepas daging siap dikisar, mereka masukkan pulak ke dalam mesin adunan, dan daging kisar tersebut dicampurkan bersama tepung dan bahan perasa yang lain. Sementara menunggu adunan siap, Aina dan Aini menyediakan bahan untuk mereka menguli adunan tersebut menjadi bebola. Meja disiapkan, dulang dibersihkan dan diletak berhampiran dengan meja.
Kerja menguli dimulakan, Aini mengambil tugas untuk mengasingkan adunan menjadi ketulan kecil, manakala Aina menguli ketulan kecil tersebut menjadi bulat.
Sambil Aina menyiapkan bebola, Aini pergi ke ruang hujung yang menempatkan satu periuk kukus besar. Air dimasukkan separuh, dan api dihidupkan. Biar panas sementara bebola dimasukkan.
Bebola daging yang telah siap diuli, Aini masukkan ke dalam periuk kukus. Sementara itu, mereka mengemas meja dan menyediakan mangkuk besar berisi air sejuk. Selepas 20 minit, bebola dikeluarkan dari periuk kukus dan terus dimasukkan ke dalam mangkuk tersebut. Setengah jam berlalu, bebola daging sedia untuk ditapis, dan disimpan ke dalam peti sejuk beku. Esok mereka boleh mulakan proses pembungkusan dan penghantaran.
………….

Aina : Stok daging kita makin berkurangan, kita kena dapatkan stok cepat.
Aini : Yelah, lagipun sekarang ni makin banyak pulak tempahan yang kita dapat. Sedap sangat kah bebola daging kita ni kak?

Aina ketawa mendengar pertanyaan adiknya itu. Sudah 2 tahun mereka menjalankan bisnes bebola daging secara atas talian. Makin lama, bisnes mereka bertambah maju, banyak kedai makan dan restoran popular membuat tempahan dalam kuantiti yang banyak!
Aina : Berapa banyak tempahan yang kita perlu hantar minggu ni?
Aini : Lebih kurang 20kg ni kak. 
Aina : Stok kita hanya mampu bertahan untuk 10kg. Malam ni, kena cari daging baru.
Aini : Kali ni, giliran siapa kak?
Aina : Kau sajalah yang pergi, biar kakak uruskan hal di rumah.
Aini : Baiklah, petang ni, saya akan ke tempat biasa.
………………..

Aini naik ke tingkat atas untuk segarkan diri dan bersiap. Kali ni gilirannya. Aini memilih gaun merah singkat yang baru dibeli 2 minggu lepas. Aini kelihatan seksi dengan gaun tersebut. Mukanya disapu bedak dan bibirnya dioles dengan lipstik merah menyala. Penampilan Aini ditambah dengan kasut tumit tinggi merah. Mengancam sungguh Aini malam ni! Sudah pasti ada umpan yang mengena! Enjin kereta dihidupkan, kereta meluncur laju keluar dari kawasan rumah. Aini menuju ke salah satu kelab malam yang popular di ibu kota. 
…………

Aini duduk di satu sudut memerhati pelanggan di kelab tersebut, bunyi lagu dipasang, menghiburkan manusia yang datang malam ni, menari mengikut rentak lagu. Aini hanya duduk dan matanya mula mencari mangsa yang sesuai.
Datang seorang lelaki bertubuh sasa kearah Aini, Aini hanya tersenyum manis menyambut kehadiran lelaki tersebut dengan perasaan yang gembira. Rezeki di depan mata!
“Hello, you seorang je? Mana partner you?” Tanya lelaki tersebut.
“Hai, I datang seorang je, You?” Jawab ku dengan suara yang dilunakkan. Aini menyilang kaki, sengaja mempamerkan peha yang gebu.

Lelaki tersebut tersenyum meleret dan mengambil tempat disebelah Aini. Aini merapatkan kedudukannya kearah lelaki tersebut. Mereka bersembang rancak, sambil tangan merayap ke kawasan larangan. Ringan-ringan!
“You turn me on dear, lets go somewhere else” Bisik lelaki tersebut.
“Sure” Jawab Aini tersenyum meleret
“Mine or yours?” Tanya lelaki itu sambil menarikan anak kunci ditangan
“Of course mine” Jawab Aini riang, teruja kerana umpannya malam ini mengena!
“Let me drive, okay?” Kata Aini sambil merampas manja anak kunci dari tangan lelaki tersebut.
….....................

“Wahh, besarnya rumah you, you tinggal sorang ke?” Tanya lelaki tersebut apabila mereka tiba di depan rumah.
“Ehh taklah, I stay dengan kakak I.” Jawab Aini tenang.
“Then, your sis tak marah ke?” 
“Jangan risau lah, kejap I ambilkan air.” Ujar Aini sambil tersenyum mesra.
“Okay, as you wish”
“Jomm, kita naik atas”

Lelaki tersebut mengikut Aini naik ke atas tanpa tahu permainan yang sebenar. Aini membawa mangsanya ke dalam salah satu bilik tidur. Lelaki tersebut menolak Aini ke atas katil, ingin menikmati tubuh gebu Aini. Baru sahaja lelaki tersebut ingin mencium Aini, perlahan-lahan lelaki itu rebah ke atas katil. 
….....................

Perlahan-lahan matanya terbuka, dia cuba bangun, tapi tangan dan kakinya terikat! Ehh, apa yang berlaku ni? Bukankah tadi aku dengan perempuan tu? Ehh, aku kat mana ni? Seram sejuk makin terasa, dengan keadaan aku yang tak berbaju. Ahhhhhhhhh
….................

Aina dan Aini masuk ke dalam bilik tersebut, tersenyum melihat mangsa yang terpinga-pinga dengan keadaan dirinya.
“Aizam Raikal Bin Zakaria” Kata Aini sambil tangannya membelek kad pengenalan mangsanya.
“Heiii, apa yang you nak buat hah?”
Aini dan Aina hanya ketawa. Tawa mereka memenuhi ruang bilik itu. 
“Kenapa? Kau takut? Ini yang kau mahukan?” Jawab Aina sambil tangannya memegang sebilah pisau.

Dua manusia itu rakus merobek dan meratah tubuh Aizam, kulitnya disiat dan tubuhnya dipotong kasar. Darah berlumuran disekitar katil tersebut, tubuh Aizam kini kaku dan layu, hanya menyerah nyawanya di tangan dua wanita tersebut.Mereka puas! Puas dengan mangsa kali ni, cukup stok mereka untuk seminggu!
Sumber daging percuma kan? 
Siapa suka makan meatball ...... ?

Hehe....
Tamat
========================
Follow Facebook Penulis : May Nhai
Suntingan & Gambar : #kamenrider

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

Tajuk: WARUNG - Dani Firdaus


Tajuk: WARUNG
karya: Dani Firdaus

====================
Nama aku Fadil, nampak sama tapi bukan dia. Aku seorang lelaki yang tidak mempercayai kewujudan hantu. Bagi aku perangai manusia sekarang lebih teruk mengalahkan hantu.
Aku bukanlah ingin bercerita panjang lebar tentang hantu sekarang ini. Tetapi, nak bagi peringatan kepada kita semua bahawa didalam dunia ini bukan kita sahaja yang wujud..
Malam Sabtu, aku singgah di warung Lebai Hasim selepas pulang dari tempat kerja.
Teh dan kueh teow memang kegemaran aku. Lebih-lebih lagi yang warung Lebai Hasim ini. Tapi, malam itu aku berasa semacam sahaja sebab tiada pelanggan lain selain aku.
"Lebai, awat malam ni tak ada pelanggan ini?" soal aku pada Lebai yang duduk di kerusi. Televisyen warung dibiarkan terpasang tanpa sesiapa menonton.
"Entahlah Fadil, aku pun naik hairan ini. Kau tengoklah warung hujung tu bukan main ramai lagi." Lebai Hasim merungut.
Berkerut dahi aku melihat warung baru yang Lebai katakan tu. Hairan pula aku dibuatnya. Setahu aku, masa aku ke tempat kerja siang tadi, tak ada pula warung dekat situ. Bila masa pula mereka bina warung tu? Cepat betul boleh siap. Terus ramai pelanggan pula tu.
Aku menghirup teh dan menjamah kueh teow buatan Lebai Hasim. Marvelous! Seperti selalu.
"Sedap betul la kueh teow ni Lebai. Bodoh lah pelanggan-pelanggan warung tu tak pekena makanan dekat sini." aku memuji Lebai Hasim. Lebai Hasim tersenyum sahaja.
Sambil aku asyik menjamu selera, sesekali aku memandang juga ke arah gerai di hujung sana itu. Strukturnya sama macam gerai Lebai Hasyim ni. Atapnya nampak sama. Cat dindingnya juga sama. Itulah orang Melayu kita, nak bersaing tapi meniru. Bawa-bawa lah cari idea sendiri. Tak pasal-pasal warung Lebai Hasim tak ada pelanggan lain malam ini.
Sesekali aku terlihat juga Lebai Hasim yang tak terkalih matanya dari terus memandang aku. Terharu lah tu ada pelanggan setia macam aku ni, walaupun dah hampir dua minggu aku tak ke sini. Kahkahkah.
Hampir 20 minit aku menjamu selera, aku bangun daripada tempat duduk lalu aku meraba-raba ke dalam poket seluar untuk mengambil dompet.
Malangnya, "alamak Lebai, dompet saya tercicirlah." kata aku bila aku dapat merasakan poket aku kosong tidak berisi.
Lebai Hasim memandang tepat ke arahku.
"Takpe la, aku bagi makan free je..tapi ada syarat." katanya
Aku membalas pandangannya. Degupan jantung aku semakin laju.
"Syarat apa pulak ni Lebai?" soal aku sedikit tersengih.
Lebai Hasim terus menerus memandang aku tanpa berkedip. Dia bangun dari kerusi lalu berjalan perlahan ke arah aku. Dalam hati aku, dah kenapa dengan orang tua ni? Nak berdrama apa pula malam-malam macam ni?
Semakin dia mendekat ke arah aku, televisyen di belakang terpadam. Semakin dia melangkah lagi, lampu warung pulang terpadam. Apsal ni?! Gumam aku.
"Aku nak kau bagi aku darah kau!" gertak Lebai Hasim dengan raut wajah yang entah macam mana bertukar menjadi kedut seribu dan menggelebeh. Pipinya berlubang menampakkan susunan gigi yang berdarah hitam.
Mulut aku seperti terkunci rapat. Badan aku menggigil. Biar betul apa yang aku sedang pandang ni? Ya, Allah! Sedarkan aku dari mimpi ngeri ni, ya Allah!
Aku cuba memalingkan mukaku melihat apa yang aku makan tadi.
Bagai nak terkeluar kedua bola mataku melihat ke dalam pinggan tadi bukannya ada kueh teow, tetapi penuh dengan ulat yang masih hidup meliuk-lentok. Di dalam gelas tadi pula ada saki baki darah yang hanyir. Selebihnya sudah selamat aku hirup ke dalam mulut tanpa aku ketahui tadi.
Perut aku mula bergolak mual.
"Aku nak berniaga!" kata lembaga yang menyerupai lebai tadi.
Lembaga di hadapan aku berwajah hodoh, kukunya meliang-liuk panjangnya, debaran jantung aku semakin kuat saat ini barulah aku teringat pesan mak aku siang tadi,
"Fadil, kau jangan singgah warung dekat hujung simpang tiga tu malam nanti." 
"Kenapa mak?"
“Ada orang kampung pernah kena kacau dekat situ. Gerai Lebai Hasim patutnya ada satu je, ada orang nampak ada dua gerai.”
“Biar betul mak ni? Mengarut je. Itu lah orang Melayu, nampak gerai Lebai tu maju sikit, terus buat cerita kawasan gerai tu berhantu lah, apa lah.”
"Ikut kau lah nak percaya ke tak. Yang mak tahu, dulu kat situ memang ada warung sebelum Lebai Hasim bina warung dia. Entah macam mana satu hari tu, lori bawak tanah, pemandunya mabuk agaknya, rempuh warung tu sampai meninggal pemilik warung, si Deraman tu." cerita mak.
"Habis mak nak kata Deraman tu dah jadi hantulah ye? Apa benda lah mak ni. Percaya sangat benda-benda macam tu. Fadil tak pecayalah hantu-hantu ni." Aku menafikan kata-kata emak aku.

"Sekarang kau patut bayar apa yang kau dah makan dan minum tadi!" desak lembaga dihadapan aku, membuatkan fikiran aku tentang perbualan aku dengan mak pagi tadi, hilang.
Aku cuba menggerakkan badan aku untuk cabut lari, tapi kaki ini seperti telah terpasak ke bumi. Peluh mula membasahi tubuh aku. Kalau aku mati dek sebab syaitan ni, aku redha. Tetapi, aku terasa kesal kerana menidakkan kata-kata mak.
"Sekarang bersedialah kau untuk mati!" taringnya mula sampai dileher aku.
"Kejap! Kejap! Kejap! Aku ada benda nak tanya dekat kau ni, boleh tak?" soal aku padanya secara tiba-tiba dan terketar-ketar. Taringnya sudahpun melekat pada kerongkong aku.
"Apa dia?!" dia menyoal aku kembali, garang dan ngeri.
"Kau ni bukan vampaire kan?" soal aku takut-takut.
"Vampire abah kau! Aku ni hantu Malaysia lah bodoh!" jawabnya dengan marah. 
"Ngok! Hantu Malaysia gigitlah tangan ke, kaki ke. Nak leher jugak apa hal?" aku melawan. 
"Kau ini berlagak! Peduli apa sama aku." katanya sambil mula memegang leher aku.
"Mak!! Tolong Fadil, mak!!!" jerit aku semahu-mahunya.
"Hahaha manusia, dah tua bangka mengadu dekat mak lagi?" kata lembaga itu.

Tiba-tiba
"Sudah-sudah lah tu Deraman! Kau berdendam pasal tak dapat mengurat aku dulu, anak aku pulak kau nak bunuh?!" soal suara yang datang daripada belakang. Betul ke apa aku nampak ni? Mak?
"Mak, tolong Fadil!" aku menjerit semahu-mahunya.
"Ah, kau ingat aku selera sangat ke. Dah lah leher berkerak! Aku bukan nak pun, gertak je. Aku nak mintak tolong kau lapor polis, jenazah aku ada yg tertinggal.” Jelas hantu Deraman sambil menunjukkan ke arah semak samun di situ.
Pagi Ahad
Aku membaca Harian Metro Ahad
[Bukit Katil, Melaka - Pihak polis negeri menyiasat kembali lokasi kemalangan maut 12 tahun lepas kerana ada saksi mendakwa mayat mangsa Deraman bin Budin sebenarnya tidak sempurna. Hampir 2 jam pihak forensik melakukan siasatan akhirnya dakwaan itu ternyata benar. Pihak polis menemui serpihan tengkorak dan tulang jari yang sudah terkambus sekian lama di kawasan semak samun berhampiran.]
"Fadil, mak dah siapkan sarapan ni ha. Kau makan lah. Mak nak keluar zumba kejap dengan Wan Limah dan Makcik Rokiah Jongang." katanya.
Aku ke dapur. Sebaik sahaja tudung saji dibuka,
Teh dan kueh teow terhidang dihadapanku. Perut aku kembali bergelodak mual.
TAMAT
====================
Suntingan dan Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Saturday, 28 October 2017

MAK YAH - Tajul Zulkarnain


MAK YAH
Oleh Tajul Zulkarnain

==========================
Aku, Tajul Zulkarnain. Masih ingat dengan Kak Chik yang aku perihalkan tempoh hari? Itu anak abang kepada abah aku. Kali ni, aku nak bercerita pula tentang arwah mak cik aku dari sebelah emak pula. Arwah Mak Yah aku ni ialah adik kepada emak aku. Cerita yang hendak aku sampaikan ni diceritakan semula oleh Mak Ibah, iaitu adik kepada arwah Mak Yah aku.
Mak Yah aku ni orangnya cantik jelita. Rupanya tak ubah seperti pelakon lagenda Nor Azizah di zaman P. Ramlee dulu. Dengan pinggang kerengganya. Fuh! Perempuan zaman dulu. Sanggup dia orang pakai bengkung nak dapatkan pinggang saiz 24 inci.
Biasalah, bila orang cantik ni memang ramai peminat tapi Mak Yah aku ni bukan spesis sosial. Dia lebih suka memerap dengan mak bapak dia. Kategori anak manja yang terlebih-lebih ni, kalah adik bongsu dia. Aku rasa, Mak Yah aku ni kalau bolehlah dia duduk betul-betul kat celah ketiak mak bapak dia tu, memang dia dah duduk kat situ.
Di sebabkan dia ni pemalu sangat, ramai yang terus masuk meminang je sebab tak tahu macam mana nak mengurat dia. Dah pergi balik kerja pun atuk aku yang ambik, bila masa mamat-mamat tu nak testing pick-up line dia orang kat Mak Yah aku?
Dalam ramai-ramai tu, atuk aku terima pinangan seorang lelaki ni sebab atuk dan arwah nenek aku tu kenal dengan emak bapak budak lelaki tu. Jadi, dia orang pun bertunanglah. Nikahnya dalam masa enam bulan lagi sebab konon alasannya dua-dua dah stabil. Yalah, Mak Yah aku dah jadi cikgu masa tu. Lelaki tu pulak ada bisnes sendiri.
Sebenarnya lelaki tu yang mintak cantas enam bulan masa pertunangan lepas tengok rupa Mak Yah aku masa bertunang. Nampak sangat, bro nafsu serakah kau macam mana tapi mujur kau hensem dan Mak Yah aku pun sukakan kau, jadi kami maafkan kau.
Dalam masa dua minggu lepas bertunang, Mak Yah aku ni mula nampak macam-macam benda pelik. Dia ni masih tinggal dengan atuk dan nenek aku. Duduk kampunglah. Dia lebih rela atuk aku hantar dan ambil dia dari tempat kerja daripada duduk menyewa dengan kawan-kawan.
Mujur Muar tu bersempadan je dengan kampung atuk aku. Atuk dan nenek aku pun suka. Dia orang kata tak baik Mak Yah aku duduk sorang-sorang, darah tengah manis. Padahal bukannya kami tak tahu, dia orang memang tak boleh berenggang dengan Mak Yah aku.
Korang bayangkan, Mak Yah aku sanggup tolak tawaran belajar kat maktab yang di luar Melaka. Lepas tu masa dia sambung belajar di U, atuk dan nenek aku sanggup menyewa rumah duduk dengan dia kat Pulau Pinang. Sampai tahap macam tu sekali dia orang sanggup buat demi Mak Yah aku.
Kejadian pertama yang menimpa Mak Yah aku berlaku pada waktu senja. Rumah atuk aku ni rumah kampung separuh batu separuh kayu. Ada empat bilik tidur dan ruang bersanding kat tingkat atas. Ruang bersanding tu memang luas. Kami boleh main bola lagi kat atas tu, bawak lari bola keliling tiang seri sakat adik-adik sepupu. Bilik tidurnya pun luas-luas belaka. Satu bilik tidur tu boleh bentang sepuluh biji tilam bujang. Anak cucu atuk aku tu ramai.
Senja-senja memang tugas Mak Yah aku ni tutup semua tingkap. Masa dia tutup tingkap kat dalam bilik tidur dia di tingkat atas, tiba-tiba, zup! Sesuatu berwarna putih melintas kat depan dia. Mak Yah aku ni terkejut, terus pengsan. Nenek aku yang jumpa dia terbaring di atas lantai.
Bila nenek kejutkan Mak Yah aku, Mak Yah aku ceritalah apa jadi. Nangis-nangis dia cerita. Nenek aku kata, yang Mak Yah aku nampak tu layang-layang kut. Mak Yah aku ni mulai tenang lepas dengar cakap mak dia sebab kat tanah lapang sebelah rumah atuk tu, memang budak-budak suka main layang-layang kat situ.
So, Mak Yah aku ni relakslah, sembang dan buat kerja sekolah dia macam biasa. Dekat pukul 10 malam macam tu, dia naik ke tingkat atas nak tidur. Setiap malam sebelum tidur, Mak Yah aku ni suka sisir rambut dia 99 kali.
Masa dia tengah sisir kat depan cermin, dia nampak kat balikan cermin tu ada tangan yang dah reput tengah pegang tangan dia yang tengah sisir rambut tu. Apa lagi, menjerit sakanlah Mak Yah aku ni sambil berlari turun ke tingkat bawah sebab mak ngan bapak dia masih lagi tengok televisyen kat tingkat bawah.
“Ada hantu. Ada hantu,” kata Mak Yah aku.

Lepas tu dia tak sedarkan diri. Dah lama bila dia sedar balik, Mak Yah aku terus menjerit. Dia kata menatang tu ada kat belakang nenek aku pulak. Nenek aku pun apa lagi, dia dahlah jenis penakut, terus dia suruh atuk aku suruh anak jiran sebelah panggil Pak Jamang yang memang terkenal pandai mengubat orang kat kampung tu datang ke rumah. Atuk aku terpaksa mintak tolong anak jiran panggilkan Pak Jamang sebab nenek aku tak nak tinggal sorang-sorang dengan Mak Yah aku.
Kecohlah jugak malam tu. Satu kampung datang ke rumah atuk aku sebab bila ada orang panggil Pak Jamang ni, memang dia orang semua macam excited semacam. Tambah pulak yang sakit tu Mak Yah aku kan, lagi ramailah pemuda kampung yang datang malam tu. Kut-kutlah boleh pegang Mak Yah masa dia kena rasuk. Kut ajelah… tapi dia orang semua frust sebab Mak Yah aku tak kena rasuk pun. Dia tuding-tuding kat tiang seri pastu pengsan.
Pak Jamang kata, ada orang hantar menatang tu kat Mak Yah aku. Sebabnya takde pulak Pak Jamang tu cakap apa. Pak Jamang kata dia dah tangkap benda tu. Siap tayang benda tu yang dia kurung kat dalam botol kat sekalian yang hadir kat rumah atuk aku malam tu. Dia guna botol kaca jernih tu. Memang nampaklah bendanya.
Tapi Mak Yah aku jerit kata menatang tu ada lagi. Siap tunjuk kat tiang seri rumah atuk aku tu. Nampak tak macam mana maruah Pak Jamang kena pijak oleh menatang tu malam tu? Sampai ada yang berani kata menatang yang Pak Jamang tangkap tu, menatang belaan dia sendiri.
Semuanya kerana masa Mak Yah aku tuding-tuding kat tiang seri tu, Pak Jamang macam terpinga-pinga dan bagi tahu kat atuk aku, dia tak nampak apa-apa pun. Rumah atuk aku tu dah bersih kata dia tapi Mak Yah aku tetap tuding kat tiang seri rumah atuk tu. Lepas tu Mak Yah aku jadi macam orang sawan. Mata putih dia je yang tinggal.
Aku takde info macam mana dia orang buat kasi Mak Yah aku baik semula malam tu tapi sejak malam tu, reputasi Pak Jamang dah calar.
Esoknya, Mak Yah aku mengajar macam biasa. Mula-mula tu Mak Yah aku okey je tapi masa tengah mengajar, menatang tu kacau dia balik. Mak Yah aku jatuh pengsan. Cikgu-cikgu kat sekolah tu ingatkan dia terkena sawan sebab bila dia jatuh tu, dia menggelupur macam orang terkena sawan. Dia orang bawak ke klinik kesihatan kat sebelah sekolah. Klinik hantar Mak Yah aku ke hospital sebab dia dah buat kejang-kejang tangan. Tapi hospital kata Mak Yah aku tak sakit.
Atuk aku terpaksa ambik Mak Yah aku kat hospital bawak balik. Malam tu dia okey. Takde kena ganggu. Esoknya semasa Mak Yah aku tengah mengajar, dia jadi balik. Lusa pun sama. Sampai dua minggu dia asyik pengsan je. Pengetua sekolah suruh dia ambik cuti sakit sebulan. Berubat. Yalah, dah tak boleh mengajar langsung, buat apa datang sekolah?
Masa dalam cuti ni lagi teruk benda jadi kat dia. Sampai cedera teruk. Hari pertama cuti. Mak Yah aku tengah turun tangga. Masa kaki kanan dia nak melangkah turun, Mak Yah aku nampak ada tangan reput paut buku lali dia. Kan masa kita turun tangga kita tengok ke bawah. Memang dia nampaklah tangan tu. Apa lagi, Mak Yah aku terus jatuh tersungkur kat atas tangga tu. Lepas tu, dia jatuh tergolek-golek ke lantai. Memang teruklah Mak Yah aku cedera, tapi mujur tak ada yang patah.
Atuk aku panggil sorang lagi perawat ni. Perawat tu pun macam Pak Jamang jugak. Dia kata rumah atuk aku tu bersih. Malah dia nampak pagar yang Pak Jamang tu buat. Jadi, reputasi Pak Jamang naik balik. Soalnya, menatang tu masuk ikut mana? Perawat tu tak boleh jawab. Dia kata, dia langsung tak nampak pun menatang tu masa dia merawat Mak Yah aku.
Bila Mak Yah aku ni dah sihat sikit, dia tolong nenek aku kat dapur. Dia nak goreng ikan. Dah letak kuali diatas dapur gas, minyak pun di tuang. Bila minyak dah panas, Mak Yah aku nak masukkan ikan. Masa ni lah, tiba-tiba tangan dia direntap. Pantas. Rentapan itu seolah-olah hendak di bawa tangan Mak Yah aku masuk ke dalam minyak panas.
Mak Yah aku jerit.
"Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar." 
Nenek aku dengar. Dia pun jerit takbir. Tapi, nenek aku pantas berfikir. Cepat-cepat dia matikan api lantas dia kalihkan kuali. Kalau tak, aku rasa memang tangan Mak Yah aku tu dah rentung kena goreng.

Tapi, tangan Mak Yah aku tetap melecur teruk. Sebabnya, ikan yang dia nak goreng tu terjatuh ke dalam kuali. Minyak panas merecik-recik kena tangan dia. Lepas tu Mak Yah aku trauma. Dia taubat tak nak masak lagi sebab takut perkara tu jadi lagi.
Hujung minggu tu tunang Mak Yah dan mak bapak dia datang nak tengok Mak Yah. Bila dengar je cerita Mak Yah, tunang dia terus kata nak cepatkan lagi majlis nikah. Buat majlis simple-simple pun takpe sebab dia nak jaga Mak Yah. Kita orang ni respek sangat kat dia masa tu.
Mak Yah pun ada masa dia orang tengah bincang. Dia senyum-senyum je masa tunang dia cakap nak cepatkan majlis. Takda angin takda ribut, tiba-tiba Mak Yah berdiri. Dia rentap tudung dia. Kemudian, dia tanggal pula baju dia. Dia berkelakuan macam tu depan tunang,atuk dan bakal mertua dia. Siap buat gaya striptease lagi.Haru!
Nenek aku apa lagi. Terngaga-nganga dia dengan peel tak semenggah Mak Yah. Nenek dan bakal mak mertua Mak Yah, kelam-kabut heret Mak Yah masuk ke dalam bilik belakang. Jenuh diorang nak sarungkan pakaian di badan Mak Yah. Dah sarung kain, ditanggalkan. Sarung pula baju, Mak yah tetap tanggalkan. Sudahnya, togel lah Mak Yah aku tanpa pakaian!
Selepas gagal nak sarungkan pakaian di tubuh Mak Yah, akhirnya diorang berhenti. Bukan sebab penat tapi sebab diorang dah mula takut! Mak Yah aku tiba-tiba mengilai. Maki hamun diorang tanpa henti. Suara Mak Yah pun dah berubah kasar. Diorang apa lagi? Cabut lari lah tinggalkan Mak Yah dalam bilik.
Lepas tu, Mak Yah aku ni pulak lari naik ke tingkat atas. Berlari-lari dengan baju dan seluar dalam je masa tu korang. Siut betul. Menatang tu tugasnya memang nak menjatuhkan maruah orang kut. Hari tu Pak Jamang kena. Lama jugak orang tak panggil Pak Jamang merawat lepas kes dia dimalukan di rumah atuk aku.
Sudahnya, Atuk aku suruh nenek aku panggil Pak Jamang. Takda pilihan! Sementelah, Atuk aku cepat-cepat ikut Mak Yah aku naik ke tingkat atas. Korang nak tahu kat mana atuk aku jumpa Mak Yah? Betul-betul kat tingkap dalam bilik Mak Yah. Tingkap yang kali pertama Mak Yah aku nampak benda melintas tu.
Mak Yah bertenggek betul-betul atas alang tingkap, menghadap ke luar rumah. Atuk aku terpaksa tutup pintu bilik Mak Yah dan kunci dari dalam. Segan sebab keadaan Mak Yah aku yang tak bertutup tubuhnya. Di luar bilik. Tunang Mak Yah dengan bakal mertua dia hanya menunggu dengan sabar. Nak masuk, Atuk aku tak bagi.
Dalam bilik. Atuk aku cuba pujuk Mak Yah. Mak Yah aku tak endah pun. Dia terus-terusan mengilai. Lepas tu, Papp!! Mak Yah terus terjun dari tingkap ke tanah. Nak pengsan atuk aku tengok. Rumah dia tinggi kot. Adalah dalam 15 kaki dari tingkap tu.
Atuk aku turun ke bawah. Kali ni dia suruh tunang Mak Yah ikut dia kejar Mak Yah. Dia orang cari Mak Yah kat belakang rumah sebab atuk aku nampak Mak Yah lari ke sana. Berlari dengan empat kaki. Maksudnya, tangan Mak Yah aku dah jadi kaki. Macam binatang.
Tanah tapak rumah atuk aku ni memang luas. Belakang rumah tu boleh buat sepuluh buah rumah lagi. Atuk aku tanam macam-macam pokok kat situ.Dia orang cari punya merata tapi tetap tak jumpa Mak Yah. Atuk aku siap suruh tunang Mak Yah cari kat atas pokok manggis, pokok rambutan, pokok cermai, asam kundang pun takde.
Selepas beberapa ketika, Pak Jamang pun sampai. Dia datang dengan beberapa orang pemuda kampung. Bukan dia ngajak pun. Dia orang sukarela ikut. Atuk aku tak sedap hatilah tengok ramai sangat budak-budak muda yang sukarela nak tolong. Jadi Atuk aku suruh tunang Mak Yah pergi ambik kain untuk balut tubuh Mak Yah bila dia orang jumpa dia nanti.
Pak Jamang suruh dia orang semua azan tak henti-henti. Azan punya azan, Mak Yah jatuh dari atas pokok kelapa. Tangan dia mengerekot macam orang kena sawan tapi mulut dia maki Pak Jamang. Menatang tu kata Pak Jamang suka menyibuk hal orang. 
Suka masuk campur hal yang takde kena-mengena dengan dia. Menatang tu kata lagi, tuan dia memang benci pada Pak Jamang dan akan terus busukkan nama Pak Jamang. Dengan niat supaya Pak Jamang tak boleh mengubati orang lagi. So, reputasi Pak Jamang pulih 100% petang tu.

Atuk balut tubuh Mak Yah dengan kain. Lepas tu dia dengan tunang Mak Yah angkut Mak Yah balik ke rumah. Pak Jamang mulai menawar Mak Yah. Dia bagi Mak Yah minum air yang dia dah ruqyahkan. Jenuh weh nak paksa Mak Yah minum.
Dia kancing gigi dia dan geleng-gelengkan kepala. Itu je yang Mak Yah boleh buat sebab badan dia masih berbalut macam baby kena bedung. Tercampak jugaklah gelas berisi air yang Pak Jamang pegang bila terkena gelengan Mak Yah. Ganas betul.
Akhirnya, tak ada pilihan. Atuk aku duduk menghadap kepala Mak Yah dari atas. Dia pegang kepala anak dia kuat. Mak Yah aku tenung bapak dia. Lepas tu, dia cakap macam-macam sampai ke tahap Atuk aku hilang sabar. Atuk lempang muka Mak Yah. Kesian, padahal bukan Mak Yah yang bercakap pun. Menatang tu yang punya onar. Dia sembang sampai pecahkan rahsia Atuk aku. Atuk aku sentap.
Mak Yah mengilai ketawakan atuk aku sebab dah berjaya buat atuk aku marah. Nenek aku pun marah jugaklah sebab dapat tahu atuk aku nak nikah lagi satu. Celaka betoi. Kau nampak tak permainan menatang tu? Memang setan dan iblis ni suka menghuru-harakan anak Adam.
Masa menatang tu tengah mengilai, Pak Jamang letak sudu kat dalam mulut Mak Yah. Memang tak boleh katup lagi dah mulut dia lepas tu. Pak Jamang tuang air ruqyah tu ke dalam mulut Mak Yah. Mak Yah sembur tapi ada jugak yang lepas masuk. Pak Jamang tuang lagi sampai Mak Yah dah tak melawan.
Selepas tu Pak Jamang tulis dengan jari dia kalimah Allah dan Muhammad pada dahi, leher, ulu hati dan pada setiap pelipat sendi Mak Yah. Menjerit-jerit menatang tu memaki Pak Jamang. Paling tak tahan tubuh badan Mak Yah mengerekot. Tapi menatang tu masih tak nak keluar dari tubuh badan Mak Yah.
Pak Jamang kasi trick. Dia kata dia akan bela menatang tu dan jaga menatang tu dengan baik kalau menatang tu dengar cakap dia. Macam-macam, beb menatang tu mintak. Pulut kuning, ayam seekor, darah sembelihan dan jantung lembu. Tiap-tiap malam Jumaat dia nak Pak Jamang bagi dia makan semua benda yang dia mintak tu.
Pak Jamang iyakan saja sebab nak bagi menatang tu keluar dari badan Mak Yah. Tapi menatang tu suruh Pak Jamang kabulkan permintaan dia dulu baru dia keluar. Masa ni Pak Jamang naik angin. Mengada-ngada sangat menatang ni. Pak Jamang terus tarik keluar keris ghaib dia. Dia tikam tepat di bahagian ulu hati Mak Yah. Mak Yah meraung macam petir. Fuhhh… dahsyat.
Banyak kali jugak Pak Jamang tikam, baru Mak Yah senyap. Muka Mak Yah pun dah berubah, tak hitam macam tadi. Termengah-mengah dia mintak air nak minum. Atuk aku ingat dah selesailah. Tapi masa Mak Yah minum air, Atuk aku tengok mata Mak Yah pandang ke tunang dia lain macam je.
Pandangan tu pelik. Macam perempuan gatal berahi je dia punya jelingan. Bila Pak Jamang pulak nampak, Mak Yah terus mengilai. Menatang tu cakap, Pak Jamang takkan boleh ubati Mak Yah aku. Kalau Pak Jamang bunuh seekor, seekor lagi datang. Sebabnya menatang ni dah buat sarang kat tubuh badan Mak Yah.
Pak Jamang mintak sebotol air masak. Dia ruqyah air tu lepas tu dia basahkan muka dan kepala Mak Yah aku dengan air ruqyah tu. Mak Yah aku mengilai je. Dia kata dia tak rasa apa pun dengan air ruqyah tu. Siap sindir Pak Jamang lagi. Pak Jamang basahkan pulak telinga Mak Yah. Depan belakang subang emas Mak Yah dia basahkan. Takda apa-apa jadi.
Kemudian dia basahkan rantai leher Mak Yah, turun ke tangan Mak Yah. Korang tahu apa jadi masa tu? Batu cincin tunang yang Mak Yah aku pakai berasap! Pak Jamang tarik cincin tu tapi tak boleh tanggal. Jadi dia concentrate kat batu cincin tu je sebab kat situlah menatang tu buat sarang.
Pak Jamang kata, air yang dia bagi Mak Yah minum tu memang dah diruqyah. Dia hairan bila tengok Mak Yah tak muntah apa-apa lepas minum jadi dia agak sarang menatang tu bukan kat dalam badan Mak Yah. Sebab tu dia tuju ke barang-barang kemas Mak Yah pula.
Semasa Pak Jamang meruqyah batu cincin tu, Mak Yah punya jerit mengalahkan jeritan T-Rex dalam Jurassic Park. Seram giler. Mak Yah mulai meronta-ronta sampai koyak kain yang membaluti badan dia.
Masa ni Atuk terpaksa izinkan orang lain pegang Mak Yah. Sebabnya, takut Mak Yah terlepas lari lagi. Pak Jamang tuang air ruqyah ke dalam bekas, lepas tu dia rendam tangan Mak Yah yang ada cincin tu ke dalam air ruqyah tu. Pecah, beb batu cincin tu padahal batu berlian bukan senang pecah.
Lepas tu Mak Yah senyap. Pengsan. Lepas menawar Mak Yah, Pak Jamang tanggalkan cincin tu dari jari Mak Yah yang dah melecur teruk. Pak Jamang mintak izin kat tunang Mak Yah nak simpan cincin emas tu sebab katanya, ada banyak lagi yang dia kena buat. Tunang Mak Yah mengangguk je.
Malam tu tunang Mak Yah dan mak bapak dia tidur kat rumah atuk aku. Lepas semua orang kampung dah balik, Pak Jamang tanya tunang Mak Yah kat mana dia dapat cincin tu. Dia kata dia tempah khas kat kedai emas kawan dia. Pak Jamang tanya, ada tak perempuan kat situ yang suka kat dia. Tunang Mak Yah kata, dia baik dengan semua jadi dia tak boleh nak teka siapa yang suka dia.
Pak Jamang kata, sebelum cincin tu pecah, dia berdialog secara batin dengan menatang yang ada dalam tubuh badan Mak Yah. Jin tu cakap, dia dihantar oleh perempuan yang bekerja di kedai emas tempat tunang Mak Yah tempah cincin pertunangan tu. Perempuan tu suka kat tunang Mak Yah sebab tunang Mak Yah pernah belanja dia makan.
Perempuan tu frust bila tunang Mak Yah tempah cincin pertunangan. Sebab cincin tu ditempah, ambik masa nak siap, jadi perempuan tu bawak batu berlian tu jumpa bomoh kat utara tanah air. Tujuannya nak bagi Mak Yah aku gila dan tak jadi nikah dengan tunang dia.
Tunang Mak Yah menggeleng. Dia kata dia tahu dah siapa punya angkara. Dia tak sangkalah perempuan tu sanggup buat macam tu sebab imej perempuan tu nampak macam perempuan yang beriman. Dia kata, kedai emas tu letaknya kat sebelah travel agency dia. Memang dia baik dengan tuan punya kedai emas tu dan staff kat situ. Kalau dia belanja staff dia sendiri makan, dia ajak bos dan staff kedai emas tu makan sekali. Bos kedai emas tu pun selalu buat macam tu. Jadi dia tak rasalah apa yang dia buat tu salah.
Dia ajak perempuan tu keluar makan pun sebab perempuan tu yang ajak. Sebabnya, masa tunang Mak Yah belanja staff kedai emas tu makan tempoh hari, perempuan tu takda. Cuti. Jadi, dia minta tunang Mak Yah aku ni belanja dia makan sebab terlepas slot makan free.
Tunang Mak Yah aku ni On je. Bagi dia, benda kecil je. Kawan-kawan, apa salahnya kan. Dia ajak perempuan tu sarapan dengan dia. Sekali tu aje. Dia tak sangka pulak perempuan tu ada hati kat dia dan marah sampai sanggup ambik jalan sesat nak putuskan pertunangan dia.
Aku tak tahulah apa jadi kat perempuan tu lepas tu. Tapi Mak Yah dengan tunang dia bernikah tiga bulan lepas kejadian tu. Alhamdulillah Mak Yah takda kena kacau lagi lepas tu.
Tapi Allah lebih menyayangi Mak Yah. Dia meninggal dunia dalam kemalangan semasa nak pergi mengajar. Innalillahhiwainnailaihirojiun. Al Fatihah untuk Mak Yah.
Walaupun ada perkara berbangkit tentang kemalangan tu, tapi biarlah Allah yang balas. Jika betul cerita yang aku dengar. Mak Yah aku pun dah tak ada. Kalau dia ada lagi, mungkin kami akan fight sehabis daya!
Tamat.
*****
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?

Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
Suntingan: Dee Edot
Gambar: @Nil kuhaku

Friday, 27 October 2017

BUKAN ALTER EGO - Gongpal Topek


Bukan Alter Ego

Alter ego. Didefinisikan sebagai diri kedua, dipercayai memiliki sifat yang jauh berbeza dengan personaliti asal seseorang. Terma ini mula digunakan meleluasa sejak awal abad ke-19 dan dikatakan berkait rapat dengan abnormaliti pesakit dissociative identity disorder (DID), merujuk kepada ahli psikiatrik.
Aku seorang penulis online. Bermula dengan kisah benar pengalaman sendiri, aku mula berjinak-jinak dengan kisah fiksyen, fantasi mistik. Menggunakan nama sendiri sebagai identiti untuk dikenali oleh pembaca. Bermula dengan Dendam Suri, penerimaan pembaca sangat baik. Aku suka dengan situasi ketika itu.
Sehinggalah siri itu mencecah trilogi, Tiga Penjuru, aku mula merasakan maklumbalas dan reaksi positif mula berkurang. Seperti meleret, dan tiada 'kick' dalam penulisan aku. Aku juga mengakuinya. Sedikit buntu bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Masalah ini bukanlah writer's block. Lebih kepada kegagalan untuk mengekalkan kualiti penulisan aku.
Aku mengambil keputusan untuk membuat rebrand kepada nama baru. Mencipta watak alter ego bernama Gongpal, untuk membuka ruang untuk aku bermula semula, dari awal. Ekspresi diri melalui perwatakan baru di media sosial dan penulisan. Respon kepada pembaca dengan lebih santai, dan gila-gila. Juga diselitkan sedikit humor, sebagai perwatakan 'ciptaanku' ini. Berbeza dengan diriku yang sebenar. Lelaki serius.
********
"Kamu, penulis?" Lamunanku dipintas dengan persoalan daripada seseorang yang tidak dikenali. Aku yang sedari tadi masih sedang mencari idea untuk memulakan kisah baru, mengambil sedikit masa untuk menjawab pertanyaan itu. Cuba kembali ke dunia realiti secara tiba-tiba.
"Oh, ya. Saya penulis sambilan. Cuma... di media sosial." Aku membetulkan dudukku di kerusi luar McDonalds itu. Selesa begitu untuk berkarya. Pak cik yang menegurku, duduk di sebelahku tanpa meminta izin terlebih dahulu untuk turut serta di meja. Terus membaca karya separuh siap yang terpampang di komputer riba.
"Kamu bimbang karya kamu tidak mendapat sambutan, ya?" Bagaikan tahu apa yang terpendam di isi hatiku, pak cik tersebut menduga dengan tepat. Aku mengangguk, sebagai jawapan kepada lelaki yang aku jangka mencecah separuh abad itu.
"Macam ni lah, nak. Apa kata, kita buat perjanjian? Tiap malam, setiap kali sebelum kamu mahu menulis, letak sebiji ayam kampung di pagar rumah. 'Bayaran' untuk bantuan kepada kamu. Nanti ada 'tetamu' yang akan menolong mencantikkan seni tulisan kamu. Setuju?" Aku masih belum dapat menghadam apa yang sedang berlaku. Perjanjian? Tetamu? Bantu menulis? Pak cik itu masih tersenyum menunggu jawapan daripadaku.
"Itu sahaja syaratnya?" Giliran pak cik itu pula mengangguk.
"Tetapi dengan syarat. Telur mesti diletakkan dahulu. Nanti 'dia' marah." Aku bersetuju. Apalah sangat sebiji telur ayam jika benar dapat membantu aku di kemudian hari. Aku tidak menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku. Hanya, keanehan tetap ada. Sehinggalah pak cik itu beredar, barulah aku teringat untuk bertanyakan nama dan bagaimana untuk menghubunginya. Sudah terlambat. Dia sudah hilang daripada pandangan.
********
Prolog untuk Kasanova Bermandi Darah mendapat sambutan yang menggalakkan. Aku puas. Idea baru yang dapat menjadi katalis kepada kebangkitan aku. Hashtag Gongpal tidak lekang di setiap karya dan kemaskini status aku di Facebook.
Bantuan yang dijanjikan itu? Aku tidak percaya pada awalnya. Aku sudah meletakkan telur ayam kampung seperti yang dijanjikan. Kemudian, aku menulis prolog itu sehingga tamat. Aku terus masuk tidur selepas itu, dengan harapan akan ada suntingan pada penulisanku sebelum aku siarkan pada keesokan harinya. Komputer riba dibiarkan terbuka. Fail juga aku save, tetapi tidak ditutup. Tiada apa-apa kelainan pada prolog karya itu. Tetap sama.
Malam kedua, aku masih biarkan sahaja telur ayam kampung itu di luar. Tiada niat untuk bereksperimen. Biarlah di situ dahulu. Malas untuk aku mengambil kembali. Usai solat isyak dan makan malam, aku membuka komputer riba untuk mula menulis. Mataku mula memberat. Kesan daripada kerja harianku agaknya. Aku tulis amaran keras (disclaimer rutin dalam Kasanova Bermandi Darah), lalu cuba menulis siri pertama itu. Akibat terlalu mengantuk, aku tertidur begitu sahaja tanpa sempat menamatkannya.
Aku terkejut tatkala bangun pada pagi itu. Siri itu sudah tamat dikarang sepenuhnya. Hanya tunggu untuk aku tekan post pada Facebook. Aku bergegas buka pintu dan grill utama rumah, meninjau keberadaan telur ayam kampung yang tidak aku angkat semalam. Sudah tiada. Kini, aku mula yakin, bantuan itu benar-benar ada. Siri itu aku siarkan tanpa ragu-ragu.
Perkara itu berlanjutan sehinggalah siri keempat kisah itu. Aku ulangi rutin malam seperti biasa untuk tiga hari berturut-turut. Buka komputer riba, tulis tajuk dan siri. Kemudian aku tinggalkan sahaja. Menonton televisyen, bermain telefon bimbit atau sebagainya. Aku yakin sekali akan ada karya siap esok harinya. Aku mula berasa senang. Tambahan pula, pembaca semakin 'menggilai' kisah pemuda kacukan yang obses dengan vampirisme itu.
Masuk siri kelima, aku mula perasan sesuatu yang tidak aku sukai. Idea asal telah berubah. Kisah yang sepatutnya tidak berkaitan dengan kisah lama aku, Dendam Suri, kini sudah bersangkut paut. 'Dia' menggabungkan siri itu dengan kisah lamaku yang pada telahanku, sudah lapuk dan suam suku. Walaupun sambutan masih menggalakkan, aku tidak suka. Posting Facebook juga sudah dikemaskini dengan sendirinya. Aku seperti tidak perlu berbuat apa lagi. Sekadar menjadi pemerhati, seperti juga pembaca-pembaca yang lain.
Aku mengambil keputusan untuk berhenti meletakkan telur ayam kampung di luar. Aku juga bercadang untuk 'merehatkan' siri itu buat sementara waktu. Aku mula mengarang kisah baru, Tiga Cincin, sebagai kesinambungan kepada kisah fiksyen lama aku. Tidak aku mengganggu karya Kasanova Bermandi Darah.
Jam 12 tengah malam. Pintu utama rumahku diketuk orang. Perlahan, berkali-kali. Aku yang sedari tadi masih menulis, mula berfikir. Aku seorang introvert, tiada kawan rapat di perumahan ini. Siapa pula yang datang malam-malam buta, untuk berjumpa denganku. Aku sekadar menjenguk di sebalik tingkap. Menyingkap sedikit langsir. Tiada sesiapa di luar. Ketukan di pintu juga sudah tiada. Aku kembali ke meja tulis. Tidak mengendahkan lagi ketukan itu, memandang tiada lagi bunyi ketukan pintu. Aku siarkan kisah Tiga Cincin pada malam itu juga. Respon pembaca aku akan baca esok hari sahaja. Masa untuk tidur.
********
Aku bingung. Pagi itu kisah Tiga Cincin tenggelam. Ada posting baru, pada tengah hari. Siri baru Kasanova Bermandi Darah disiarkan di Facebook. Like dan komen lebih tertumpu di situ. Aku sudah tidak meletakkan telur ayam kampung itu. Kenapa masih ada bantuan? Mesej baru masuk di telefon bimbitku. Nombor private.
"Hutang satu telur."
Aku pasti, pak cik itu cuba mempermain-mainkan perasaan aku. Aku cuba menyedapkan hati, dengan menyakinkan diri bahawa pak cik itu sempat melihat maklumat telefonku ketika kali pertama berjumpa, sebelum dia menegur lamunanku di McDonalds tempoh hari. Aku mengambil keputusan untuk terus tidak memberi apa yang dijanjikan.
********
Hari ketiga. Mesej yang sama aku terima seperti hari sebelumnya. Mesej hutang dua biji telur semalam aku terima. Hari ini, mesej yang lebih ekstrim.
"Hutang darah!"
Meremang bulu romaku tatkala aku diberitahu ada tetamu di tempat kerja sebentar tadi. Rakan sekerjaku mengatakan bahawa ada seseorang telah datang meminta pesan disampaikan kepadaku. Seorang nenek tua, bertongkat, dengan rambut ditutup separuh dengan kain batik lusuh. Berpesan bahawa hutang darah dibayar darah.
Dalam perjalanan pulang ke rumah selepas kerja, aku telah membuat keputusan di dalam hati. Aku mahu menamatkan kisah Kasanova Bermandi Darah tanpa penamat. Cukup sekadar siri terkini sahaja. Tidak perlu lagi bantuan daripada sesuatu yang tidak dikenali. Biar aku berdiri dengan sendiri.
Ketika membuka pintu pagar rumah sesampainya di rumah, aku dapat lihat dari jauh di sebalik semak akan kelibat sesuatu. Jauh di hujung jalan rumahku. Kelibat seperti nenek kebayan sedang memerhatikanku. Aku cepat-cepat memandu masuk kereta ke perkarangan rumah, lalu memarkir kereta di garaj. Tidak mempedulikan kehadiran kelibat itu lagi. Telur juga tidak aku letakkan sebagai 'ganjaran'. Aku tidak mempedulikan amaran mesej tentang hutang darah sebentar tadi.
Malam Jumaat. Aku nekad untuk menamatkan siri kesukaan ramai. Memulakan posting dengan ucapan bismillah, aku cuba memberi alasan kenapa perlu aku tamatkan kisah tersebut. Perlu aku tamatkan untuk lebih fokus kepada kisah lain dan projek-projek yang bakal menanti. Lebih-lebih lagi aku masih ada idea untuk mengolah Dendam Suri lebih panjang, dengan tujuan untuk menyertai pertandingan menulis novel.
Tiba-tiba, pintu rumahku diketuk dengan kuat. Seperti dihentak kuat dengan sesuatu. Seraya itu, jariku kaku. Tidak dapat meneruskan penulisan pada posting Facebook itu. Aku...ak...
********
Rantau, 27 Oktober - Seorang Jurutera dijumpai mati tergantung di rumahnya di Kuala Sawah, dipercayai membunuh diri. Lelaki berusia 29 tahun yang dikenali sebagai Ahmad Tawfiq, dilaporkan tidak hadir ke tempat kerja pada pagi ini. Mangsa dijumpai oleh rakan sekerja yang diminta oleh pengurus syarikat untuk ke rumah mangsa apabila panggilan telefon tidak dijawab. Mangsa ditemui dalam keadaan tergantung, dipercayai telah membunuh diri pada tengah malam tadi.
********
Aku, Gongpal. 'Alter Ego' ciptaan tuanku. Itulah yang dia harapkan. Aku bukan alter ego. Aku penuntut janjinya. Penulisan yang dibalas dengan telur ayam. Hanya telur ayam. Masih tidak dapat dia tunaikan.
Aku menghalangnya daripada menamatkan karya 'kami'. Aku ambil tali di dapur, aku gantungnya di kipas. Dijerut kuat, lalu kipas dibuka. Mudah. Lemah. Mati terkulai layu. Aku tutup suis kipas. Hutang telur berganti nyawa, darah sudah berhenti. HIHIHIHIHI~
********
28 Oktober, 12 tengah malam. Posting daripada Facebook personal Gongpal Topek. Gambar darah, bertajuk Kasanova Bermandi Darah - Siri X. Pembaca yang mengetahui kejadian menimpa diri Ahmad Tawfiq, mula bingung. Siapa pula yang mengambil alih 'tugas' berkarya. Adakah gimik semata-mata?
Di penamat kisah itu, seperti biasa, Gongpal akan berinteraksi dengan pembacanya. Kali ini, tulisannya sedikit lain.
"Tidur lena, selama-lamanya. Jangan difikir rintangan yang ada. Buka dada, serah minda. Karya khas untuk anda.
Yang tidak benar,