Saturday 1 July 2017

NASI GORENG UNTUK PONTIANAK - Dr Onn Azli Puade



Haha, sesekali saya ingin juga berkongsi pengalaman seram saya ketika masih lagi seorang pelajar perubatan di USM.
Kisah ini berlaku lebih kurang 8 tahun lepas, dan ketika umat Islam sibuk membuat persediaan untuk Hari Raya Aidiladha. Ketika itu, saya di tahun 2 di USM, dan saya menyewa di sebuah rumah yang terletak di sebuah rumah di Demit. Pada awalnya, saya menyewa bersama-sama 2 orang rakan saya, yang juga pelajar di USM. Mereka pulang ke kampung sewaktu itu.
Saya selalu lepak dengan seorang lagi kawan saya yang bernama Andi. Dia orang Sabah, dan ketika itu, seperti saya, dia juga tidak pulang ke kampung kerana ingin berjimat untuk membeli tiket penerbangan ke Tawau.
Saya pula kononnya ingin belajar lebih ketika orang lain semua sibuk beraya. Saya menjemput Andi daripada asrama kampus kesihatan untuklepak menonton movie dan bermain game di rumah. Andi sekepala dengan saya, dan saya masih teringat, sewaktu hari hampir malam, kami berdua membuat keputusan untuk masak sahaja di rumah itu, manakan tidak, kedai makan semuanya tutup, dan seperti anda maklum, rakyat di Kelantan merayakan Aidiladha lebih meriah daripada Aidilfitri.
Ada bahan-bahan seperti ayam dan nasi, saya kononnya nak menunjuk skill memasak kepada Andi, malangnya Nasi goreng tersebut tak jadi. Senang cerita, rasa nasi yang saya masak tak sedap. Jadi setelah makan malam, Andi walaupun makan dengan muka ibarat tertelan kapur kasut tetap berkata makanan yang saya masak itu sedap, mungkin untuk menjaga hati saya.
Jam 9.00 malam Andi perlu pulang ke kampus, jadi saya siap-siap dan menghantar dia ke kampus kesihatan menggunakan kereta Satria saya, dan setelah lepak sebentar di biliknya, jam 10 malam saya pulang ke rumah
Rumah sewa tersebut tidaklah isolated, namun jauh ke dalam dan kawasannya tiada lampu jalan. Masuk sahaja ke kawasan itu, pasti saya akan membuka high beam, maklumlah, rabun silau saya agak tinggi akibat asyik bermain game sahaja sebelum tidur. Sampai di rumah, saya parking kereta, dan menutup gate, kemudian saya menutup pintu grill dan sliding door, sebelum masuk ke dalam bilik saya.
Bilik saya merupakan master bedroom rumah tersebut, dan terletak di hadapan sekali. Saya duduk di kerusi dan mula membuka buku untuk study, setelah hampir seharian membuang masa.
Sedang saya study, tiba-tiba terdengar bunyi hentakan di boot kereta saya di luar. Ibarat macam ada orang mengetuk-ngetuk boot kereta saya. Tidak mengesyaki apa-apa, terus saya menjengah keluar. Ternampak seekor anak kucing sedang melompat-lompat di atas kereta saya, kerana banyak kelkatu yang terbang di atas, mungkin anak kucing tersebut ingin menangkapnya.
Saya ke dapur, dan mengambil baki nasi goreng di dapur, kerana di dalamnya ada ayam, mungkin kucing tersebut berselera. Saya letakkan di dalam pinggan dan memanggil kucing tersebut dengan membuat bunyi seakan-akan cicak. Kucing tersebut datang dan mula makan. Saya lalu menutup semula sliding door dan masuk untuk meneruskan study.
Jam 2 pagi, tiba-tiba bunyi pinggan di luar semakin lama semakin kuat, seperti ada orang yang menyeret pinggan itu ke depan dan ke belakang.
Makin lama makin kuat, sehinggakan saya terfikir, 

'Eh, bernafsu sungguh kucing tu makan. Betul-betul kelaparan ni.'
Tiba-tiba datang rasa seram sejuk dan bulu roma saya di tengkuk terasa berdiri. Saya, tanpa memikirkan apa-apa, terus menjengah melalui pintu bilik saya dan........
.......Alangkah terkejutnya saya bila terlihat sekujur tubuh sedang menunduk ibarat orang sedang bersujud, dan meratah tulang-temulang yang berada di dalam pinggan itu. Rambutnya hitam dan panjang sehingga ke lantai dan berbaju putih. "Dia" tunduk sahaja seperti sedang khusyuk menikmati makanan (nasi goreng berisi ayam itu) sehinggakan tidak perasan hamba Allah ini sedang melihatnya. Saya jadi terlalu takut, perlahan-lahan saya berundur semula dan masuk ke dalam bilik saya.
Yang kelakarnya, saya berundur dan duduk di sudut bilik saya kerana teringat, biasanya dalam cerita hantu, hantunya akan muncul daripada belakang, jadi kalau saya dah duduk di sudut, coverage mata saya bagus dan boleh nampak seluruh bilik saya, dan di belakang saya pula dinding, kecuali kalau hantu tu main tipulah, main tembus dinding.
...Boleh pulak terfikir sebegitu. "PRANG!!", bunyi pinggan pecah menyebabkan external sphincter saya gagal menahan air kencing sehinggakan saya terkencing dalam seluar.
Saya terlalu takut. Berkumat-kamit ayat kursi dan apa2 ayat saya baca. Muka pucat lesi dan menggigil ketakutan, takut kalau tiba2 'dia' muncul daripada atas, atau dia masuk ke dalam rumah. Jam 530 pagi, saya masih kaget di sudut bilik.
Tiba2 perut memulas nak terbuang air besar, namun sebab terlalu takut saya tahan sahaja. Mungkin kerana makanan yang saya masak menakibatkan perut memulas pula. Sehinggalah azan subuh berkumandang, cepat2 saya bangun, tapi bukan ke toilet lah, mana taknya, orang kata bila azan, syaitan lari bersembunyi dalam toilet, takut bila saya lari ke nak buang air, pontianak tu pun lari nak sembunyi daripada azan di toilet yang sama...memang lawak bila difikirkan betapa detailnya saya berfikir sewaktu itu
Bila hari cerah, saya bersihkan bilik yang berbau hancing, dan bila saya berjalan keluar rumah, saya dapati ya, memang pinggan tersebut pecah, seolah-olah dileparkan ke dinding. Saya cerita kepada kawan saya, tapi saya masih fikir sehingga sekarang, mungkin hantu tu geram kerana makan nasi yang tak sedap, dan membalingnya ke dinding. Kemudian tak jadi nak ganggu saya kerana kena food poisoning gamaknya... 
Dah lepas kena tu, hari2 saya tidur bilik Andi sampailah kawan housemate saya pulang daripada kampung halamannya

Nukilan Dr Onn Azli Puade

Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke m.me/arkibangker

No comments: