Sunday 2 July 2017

MUZIUM SERI HATIKU - Suzalawati Aziz


Pisau berhulu merah dicapai. Kilatan mata pisau berkilau di bawah cahaya lampu. Radio yang sedang berkumandang dicapai lantas tombol volume dipulas semaksima mungkin. Rancangan Detik 12 Malam yang berkisar kisah-kisah seram memenuhi ruang bilik yang kelam. Suara jeritan yang meraung kesakitan menjadi halwa telinganya di kala ini. Perlahan matanya dipejam menikmati suara jeritan dan tangisan yang diselangi irama muzik yang menyeramkan sambil tangannya kejap menggenggam erat hulu pisau merahnya.
  *******
Suraya gelisah menunggu di hentian bas. Jam di tangan direnung untuk entah yang keberapa kali. Ternyata dia sudah terlewat 20 minit. Bas yang terakhir sudah lama berlalu. Namun dalam hati dia masih berharap ada teksi sesat yang masih beroperasi ketika ini. Dari kejauhan kelihatan sepasang lampu kereta bergerak perlahan dan akhirnya berhenti dalam jarak 15 meter dari tempat Suraya berdiri.

  

Suraya dihinggapi rasa cuak. Mintak-mintaklah bukan orang jahat. Matanya melilau melihat sekeliling. Kedai-kedai di sepanjang jalan semua sudah bergelap. Kedai makan di hujung jalan yang selalunya beroperasi sampai pagi pun tutup malam ini. Suraya benar-benar bersendirian di hentian bas itu.
  
Deruman enjin kereta mematikan lamunan Suraya. Dalam debaran yang kian meyesakkan dada, Suraya melihat kereta yang tadinya berhenti mula bergerak. Suraya menarik nafas lega bila melihat yang kereta tadi adalah sebuah teksi. Cermin tingkap diturunkan dan seorang lelaki pertengahan umur menjenguk dari tempat duduk pemandu.
  
“Cik nak kemana lewat-lewat malam ni?”

“Saya nak balik rumah pakcik. Tapi bas dah takde.” Suraya cuba memaksakan sekuntum senyuman.
“Itulah, pakcik tadi dah habis kerja. Ingat nak balik rumah dah. Tapi pakcik nampak anak ni macam tunggu seseorang. Tu yang pakcik datang tanya. Lagipun bahaya sorang-sorang kat sini.’ ramah orang tua itu bercerita.
Suraya mula rasa ceria.
“Err pakcik boleh hantar saya balik tak. Rumah saya kat Taman Harmoni.”
“Bolehlah. Tapi...pakcik tak pakai meter.”
Suraya tidak mempedulikan berapa yang perlu dibayar asalkan dia dapat sampai ke rumah dengan selamat. Ketika dia menyentuh pemegang pintu, mata Suraya tersilau sesuatu yang berkilat tersisip di pinggang si pemandu.
   *******
Muzium Seri Hatiku dibuka seeperti biasa hari ini. Rumah lama peninggalan arwah ibunya yang bercirikan rumah tradisional Melaka kelihatan agak usang dari luar. Amanah ibunya yang meminta rumah itu dijadikan sebagai muzium ditunaikan.
Segala susun atur perabot dan barang perhiasan dikekalkan seperti asal. Namun yang lebih menarik perhatian pengunjung ke Muzium Seri Hatiku adalah patung-patung yang diletakkan di ruang tamu, di meja makan dan di halaman rumah yang kelihatan sangat hidup. Langsung tidak kelihatan seperti patung. Hinggakan ada pengunjung yang tersilap menegur patung seorang tua yang sedang menyiram pokok bunga.

  

"Mama, tengok. Patung ni macam kakak sebelah rumah kita la.” Seorang anak gadis dalam usia 10 tahun menarik tangan ibunya yang sedang memerhati patung seorang jururawat.
Puan Marina menoleh ke arah patung yang ditunjukkan anaknya. Sekilas Puan marina seakan mengenali wajah patung yang sedang duduk di ruang tamu. Patung seorang gadis muda.

  

”Betullah. Memang mirip budak perempuan yang sewa sebelah rumah aku je ni. Aya ke apa ntah nama dia.”
Puan Marina mendekatkan mukanya ke arah patung yang kelihatan seperti gadis yang dikenalinya. Belum sempat jemarinya menyentuh pipi si patung, satu suara bergema di belakangnya.

  

“Maaf Puan. Tidak dibenarkan menyentuh patung-patung yang berada di sini.” Si pemilik yang beroman serius tajam merenung Puan Marina. Dalam kegugupan, Pn. Marina lantas menarik tangan anaknya berlalu dari situ.
  
Lawatan Puan Marina membawanya ke dapur. Anaknya cukup teruja melihat patung-patung yang sedang duduk mengelilingi meja makan. Dari pintu dapur yang terbuka, kelihatan sebuah teksi berada di bawah sepohon pokok mangga.
  
“Hmmm patutlah ada patung pemandu teksi dekat meja makan ni. Hebat betul muzium ni. Macam-macam patung ada. Jururawatlah, cikgulah, pemandu teksi....eh,polis pun ada.”

Puan Marina merasa kagum dalam keseraman. Apatah lagi terasa seperti mata patung-patung tersebut seolah-olah memandang ke arahnya.

  

Beberapa orang pengunjung yang baharu tiba memenuhi ruangan dapur. Sewaktu Puan Marina hendak melangkah keluar dari dapur, satu kilauan terpanah di matanya. Kilauan itu datangnya dari sesuatu yang berkilat yang tersisip di pinggang patung si pemandu teksi.
   *****
Pisau berhulu merah diletakkan perlahan-lahan di atas meja. Pisau itu ternyata basah. Cecair merah pekat menitis ke lantai. Ternyata hari ini dia agak kecewa. Hasil kerjanya langsung tidak memuaskan hati. Bagaimana dia nak memuaskan hati pengunjung Muzium Seri Hatiku jika dia sendiri tidak berpuas hati. Apakah pisaunya sudah tidak setajam dulu lagi? Satu keluhan berat terhembus keluar.
Rancangan Detik 12 Malam sudah lama berakhir berganti dengan seleksi lagu-lagu pilihan. Dia bangkit lantas menuju ke satu sudut. Dia membongkok dan menarik satu tombol kecil di lantai. Ternyata ia merupakan sebuah pintu. Pintu rahsia. Dengan berat hati dia menarik hasil kerja yang mengecewakan hatinya. Dicampakkan sahaja ke bawah tanpa sebarang ekspresi di wajah.

  

Puan Marina tersedar. Kala itu satu kesakitan yang maha dahsyat menjalar di urat sarafnya. Dia meraung sekuat-kuat hati apabila tangannya menyentuh wajahnya yang sudah tidak berkulit lagi. Tangannya teraba-raba dalam kegelapan. Hidungnya tercium bau yang sukar digambar dengan kata-kata. Air mata yang mengalir hanya menambah kesakitan yang dirasai ketika ini. Puan Marina merasakan ajalnya kian hampir. Dalam rabaannya Puan Marina menyedari yang dia berada di atas timbunan mayat yang diyakini sudah tidak berkulit lagi. 
  
Puan Marina tergolek ke lantai. Di kala nafasnya kian sempit di dada, terbayang di mindanya wajah tanpa emosi yang sedang melapah kulit wajahnya sebentar tadi. Wajah seorang gadis muda yang tidak dikenalinya.
  
Dan dibelakang, anakknya sedang menggigil ketakutan........




Nukilan: Suzalawati Aziz (https://www.facebook.com/suzalawati.aziz)

Suntingan: Arkib Angker Negara

*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan bersama pembaca Arkib Angker Negara, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: