Saturday 1 July 2017

SUATU KETIKA DAHULU - Dziehan Mustapa


Lebih tepat lagi, 23tahun tahun yang lalu. Umur saya 14 tahun; form 2. Saya aktif dalam program 'Rakan Muda'. Ingat tak program ini? Bawah Kementerian Belia & Sukan.
Ada banyak cabang aktiviti bawah program ini, saya minat kepada 'Rakan Rekreasi' sebab Rakan Rekreasi banyak aktiviti berbentuk jungle tracking, camping & hiking.
Ini kisah camping di 'Hutan Lipur Air Terjun Berkelah' Pahang. Masa itu ketika cuti sekolah penggal pertama. Saya join aktiviti ini dengan ramai kenalan baru daripada sekolah lain berdekatan.
Saya kalau pergi masuk hutan, selalunya saya berharap saya boleh melihat 'sesuatu'. Dan selalunya juga saya dapat melihat kelibat mahluk ini seoalah-olah hijab saya terbuka.
Tanpa diketahui rupa-rupanya hutan lipur air terjun Berkelah di Pahang ini memang keras tempatnya. Berbatu-batu kerana kawasan air terjun setinggi 7 peringkat. Batu-batuan ini menjadikan kawasan ini keras dan susah juga nak pacak khemah.
Satu peringkat ke satu peringkat kami lalui dengan memikul beg dan keperluan lain seperti bekalan makanan, dapur dan khemah.
Setibanya di peringkat air terjun yang ke-4 kami buat keputusan untuk berhenti dan mendirikan khemah di situ sebab ada kawasan yang luas dan kurang berbatu.
Nak panjat sampai ke air terjun yang ke-7 masih tinggi lagi. Hari pun dah lewat petang. Selepas mendirikan khemah, apa lagi....air terjun pun dijamah dengan pelbagai aksi terjun tiruk tanpa life jacket. 3 orang pelancong 'mat salleh' pun join sekaki.
Aksi terjun makin hebat, hari pula semakin senja. Peserta rombongan dan mula naik ke darat bersiap-siap untuk buat santapan makan malam.
Punyalah sedap Maggie bujang, panas-panas selepas letih terjun tiruk dan dinikmati pula waktu senja Maghrib dalam hutan yang masih dara kerana tidak ramai manusia yang mengunjungi kawasan terpencil ini pada ketika itu.
Hari semakin gelap. Saya toleh ke kiri dan ke kanan sambil mencari mahluk yang ingin saya lihat dalam hutan belantara ini. Namun masih tidak kelihatan kelibat mereka. Mungkin hutan ini bukan kawasan mereka.
Tidak mengapa, mungkin malam sikit akan ada kelibat yang menjelma bisik hati saya. Di sebarang sungai kelihatan sekumpulan anak muda yang datang bersendirian bukan seperti kami yang datang serombongan naik bas.
Mereka ini mat motor. Datang sana hanya untuk suka-suka pacak khemah dan melakukan aktiviti bebas mereka di sebarang sungai. Ada juga yang masih berada di dalam air sungai mandi-mandi walaupun hari dah mula gelap dan air sungai dah semakin sejuk.
Aktiviti biasa malam pertama camping dalam hutan selepas solat isyak adalah campfire dan sesi suai kenal. Duduk lah kami dalam bulatan yang tidak bersambung kerana batas pergaulan lelaki-perempuan tetap dijaga. Saya lah orang terakhir yang duduk pada bulatan yang tidak bersambung itu di mana sebelah kanan saya kosong tiada siapa dan sebelah kiri saya seorang kenalan baru daripada sekolah sebelah dan sekhemah dengan saya.
Mata dan minda sebenarnya tidak fokus kepada aktiviti suai kenal kerana masih mencari ada tak kelibat mahluk yang dicari.
Saya melihat jauh dalam kegelapan hutan dan memandang-mandang ke atas pohon-pohon hutan. Manalah tahu jika mahluk itu berada di atas pokok sambil meninjau kami yang duduk mengelilingi unggun api.
Di sebarang sungai pula, group anak-anak muda itu masih lagi bermandi-mandian dalam sungai yang sejuk itu sambil bergurau senda dan bergelak ketawa dalam hutan belantara di malam yang gelap itu.
Mengilai-ngilai pula ketawa mereka. Macam 'Langsuair' pula bunyinya. Namun cuma dilafazkan di dalam hati sahaja. Pantang larang masuk hutan, mulut kena jaga, jangan celupar atau cakap lepas. Itu pesanan atuk saya.
Namun rakan sebelah kiri saya ini terlepas cakap pula.
"Ketawa macam pontianak"
Saya pandang dia sambil memberi teguran.
"Dalam hutan ni, mulut kena jaga sikit"
"Opss terlepas" katanya...
Pada ketika itu, bulu roma di tengkuk tiba-tiba tegak berdiri dan bau wangi bunga tanjung yang sedikit sahaja terhidu mengikut tiupan angin sepoi-sepoi bahasa pada malam itu.
Hatiku dah mula berkata-kat—"Janganlah si dia yang muncul" confirm histeria budak-budak pompuan.
Tiba-tiba rakan di sebelah kiriku yang celupar tadi dengan muka yang pucat macam nampak hantu bertanya kepadaku...
"Kau sentuh bahu kanan aku ke sebentar tadi?"
Di saat itu aku tahu bahawa beliau telah dikacau oleh mahluk...bulu roma di tengkuk pun makin menegak lalu aku pun menjawab balas pertanyaan rakanku tadi.
"Yer aku sentuh bahu kau tadi."
Aku mengaku dengan harapan untuk tidak bagi rakanku tadi dalam ketakutan.
Rupa-rupanya...
Si mahluk itu mungkin berdekatan dan pada saat aku mengaku yang aku menyentuh bahu rakanku tadi.

Tiba-tiba bahu kanan ku pula yang terasa disentuh daripada belakang.

Sungguh berat sentuhan 'sapaan' daripada belakang itu. Jantung aku berdegup laju dan bau harum bunga tanjung itu datang kembali.
Aku menoleh ke belakang secara reflek untuk melihat siapa yang sentuh aku, namun tiada siapa. Di saat itu aku sedar bahawa yang sentuh rakanku dan aku itu mungkin sesuatu mahluk yang ingin memberi tahu kehadirannya di situ.
Malam terus berlalu. Aku masih meninjau-ninjau jika kelihatan kelibat mahluk yang menyentuh aku dan rakanku tadi.
Tak boleh tidur nyenyak aku malam itu. Terasa masih ada mata-mata yang melihat aku dari dalam hutan dan dalam kegelapan malam.
Tapi rakanku tadi....hmmmmmm nyenyak. mungkin dia percaya dengan kata-kataku tadi dan kepenatan terjun tiruk petang tadi.
Subuh menjelma. Aku bangun dan solat subuh...selesai solat, perlu buat breakfast. Masa tu paling best buat breakfast sardines cecah roti.....yum yum sambil minum teh O panas.
Ketika itu barulah aku menceritakan perkara sebenarnya kepada rakanku. Beliau terkejut dan kelihatan pucat. Aku memberi tahu mengapa aku mengaku aku yang sentuh agar dia tidak ketakutan malam tadi.
Begitulah kisahnya pertama kali aku disentuh oleh mahluk yang tidak diketahui di dalam hutan. Betul kata orang tua-tua, jaga mulut dan tingkah laku bila masuk dalam hutan...elakkan celupar dalam pertuturan.
Oh yer..selepas kejadian malam itu, sebenarnya anak-anak muda sebarang Sungai yang mandi malam hari sambil ketawa mengilai-ngilai itu terus diam menyepi. Mungkin mereka juga telah ditegur mahluk itu.
Satu lagi....rakanku tadi demam sehingga kami pulang semula ke Bandar ke-esokkan harinya.
Ada sesiapa pernah ke "Hutan Lipur Air Terjun Berkelah" dan alami perkara yang sama?
Keras sungguh tempat itu


Banyak batu




Nukilan : Dziehan Mustapa


*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembacaArkib Angker Negara, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: