Friday 7 July 2017

KUNJUNGAN - Tajul Ariffin Norsadan


"Jomlah Man, kita balik."
"Ala. Satu rumah je lagi." Kataku.
"Dah nak Maghrib ni. Mak aku suruh balik sebelum Maghrib." Gesa Nazrul.
"Jomlah Naz. Rumah hujung tu je. Lepas tu kita balik." Pintaku.
"Tak nak lah. Kau gi lah Man. Aku nak balik."
Nazrul meninggalkan aku sendiri.
"Lantak kau lah. Aku nak balik Johor dah besok. Tak sempat nak beraya rumah terakhir tu besok!" Jeritku.
Tetapi, Nazrul terus melangkah menjauh.
Setiap tahun, bila menjelang Hari Raya Aidilfitri, aku akan pulang ke kampung di Ulu Selangor. Tetapi, baru tahun ini aku dapat keliling kampung untuk mengutip duit Hari Raya.
Aku mengikut kawan-kawan aku di kampung ini untuk pergi beraya. Kampung ini tidaklah terlalu besar. Mereka kata hanya cukup satu hari, kita dapat pergi ke semua rumah.
*****
Aku berada di depan sebuah rumah. Rumah kayu tersergam indah. Rumah yang terjaga rapi. Reka bentuk yang masih mengekalkan rumah seni bina kemelayuan.
Di depan rumah itu terpasang pelita-pelita yang menerangi jalan ke depan rumahnya.
"Assalamualaikum." Aku memberi salam.
Tiada jawapan.
"Assalamualaikum"
"Waalaikumsalam." Terdengar sahutan ini dari dalam rumah itu.
"Masuklah." Tambahnya.
Seorang lelaki badan tegap, agak tinggi, dan berkulit gelap muncul di depan pintu. Berbaju putih bersih. Sangat segak.
"Naiklah rumah Acik. Nak berayakan?" Tanyanya.
"Ye cik." Aku menjawab sopan.
Aku melepaskan kasut rayaku ditangga. Selangkah demi selangkah aku menaiki tangga kayu itu. Aku sampai di tangga terakhir dan memasuki pintu.
"Jemputlah duduk ye. Acik buat air kejap. Anak ni minum air teh kan?"
"Ye cik."
Bersih dan tenang. Itulah yang aku dapat menggambarkan tentang rumah ini. Perabot-perabot klasik menghiasi segenap kawasan rumah.
Pak cik tadi kemudian datang membawa dulang yang di atasnya terdapat teko dan dua cawan.
"Maaflah, Acik tak ada kuih nak hidangkan. Acik buat teh je." Dia tersenyum.
"Eh tak apalah cik." Aku turut balas senyumannya.
"Anak ni anak siapa?" Bertanya.
"Anak Karim. Cucunya Wak Jalal." balasku.
"Oh, rumah sebelah Warung Pak Hanif tu ya?"
"Ye cik."
Mungkin Acik ini kenal dengan keluargaku. Aku sesekali menghirup teh yang dihidangkan. Tehnya wangi dan sedikit hangat. Memang menenangkan.
"Acik duduk sorang ke?" Tanyaku.
"Ye nak. Dulu acik ada isteri. Tapi meninggal masa lahirkan anak Acik yang pertama. Anak Acik tu pun meninggal." Jelasnya bersahaja.
Aku diam dan tunduk.
"Anak ni umur berapa?"
"11 tahun." jawabku.
"Kalau anak Acik masih hidup, samalah umur dengan anak ni." Jelasnya.
Aku hanya membalas dengan senyuman.
"Acik rindu isteri dan anak Acik. Acik sunyi je duduk rumah ni. Terima kasihlah sebab sudi datang umah Acik ni. Terubat rindu acik." Meluahkan perasaannya.
Sedih aku melihat Acik. Tidak ada yang boleh aku buat.
"Acik, saya balik dululah. Takut mak marah. Dah malam sangat ni." Pintaku.
"Ye lah. Nanti kirim salam mak ye."
Aku bangkit dari kerusi dan menghulurkan tangan. Acik membalas salamku. Terasa kasar ditapak tangan Acik. Aku mencium dibalik tangannya seperti didikan mak.
"Nah duit Raya. Jangan buat beli mercun ye." Nasihat Acik.
"Terima kasih Acik. Selamat Hari Raya!" Ucapku.
"Sama-sama. Selamat Hari Raya." balasnya tenang.
Aku menuruni tangga rumahnya dengan berhati-hati. Mungkin kerana kakiku yang kecil, terasa jauh setiap anak tangga. Sampai di bawah, aku menyarung kasutku.
Hari sudah gelap. Aku melambai ke arah Acik tanda perpisahan. Aku beredar dari perkarangan rumah itu.
'Mati aku. Mesti mak marah'
******
"Assalamualaikum! Mak! Man balik!"
Aku memberi salam dalam keadaan termengah-mengah. Aku berlari dari rumah Acik sampai ke rumah Atuk. Terasa jauh sekali.
"Man! Anak mak!" Terdengar teriakan mak dari dalam rumah.
"Ye mak!" Aku membalas.
Terlihat mak berlari dari dalam rumah ke arahku.
"Anak mak pergi mana?" Mak memelukku sambil menangis teresak-esak.
"Man gi beraya lah Mak. Kenapa mak nangis ni?" Tanyaku.
"Man beraya ke mana sampai seminggu tak balik-balik. Mak risau."
"Mana ada mak. Man pergi kejap je. Lepas rumah terakhir kat hujung jalan tu, Man terus balik." Jelasku.
"Mana ada rumah kat situ Man. Situkan tanah surau lama." Mak masih menangis.
"Betul Mak. Ni ha, Acik tu bagi duit Raya"
Aku membuka sampul raya yang terbuat dari surat khabar lama. Aku mahu membuktikan yang ada duit di dalamnya.
Aku lihat di dalamnya. Ada sehelai kertas dan tertulis sesuatu.
'Malam ni Acik datang'
..........



Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, sila hantarkan ke inbox kami. Kisah itu akan dikreditkan kepada anda.
*Gambar: hasil carian di Google.

No comments: