Friday 14 July 2017

BURUNG KUBUR (Bab 2) - Mohd Shahiri Abd Ghapar


Mujur ada beberapa orang pelajar perempuan lain datang membantu. Walaupun dalam takut-takut dan cemas mereka, gadis yang terjerit-jerit kejang itu berjaya juga dibawa masuk ke dalam surau staf yang berada di aras yang sama. Tapi, pengalaman memindahkan seorang gadis yang meronta-ronta kuat di luar kawalan dirinya sendiri betul-betul memakan tenaga mereka. Kudrat diperah sehabis daya seperti mereka sedang mengusung kayu balak sebesar pemeluk dewasa rasanya.
Peluh berjejeran membasahi tubuh dan seluruh muka. Bakri sempat mengesat keringat di dahi dengan hujung lengan bajunya. Dia masih panik. Bakri tidak keruan, tertunggu-tunggu Anas yang pergi mencari bantuan. Bayang Anas masih belum kelihatan walaupun sudah hampir 15 minit dia pergi.
Bakri mencuri lihat ke dalam surau dari muka pintu. Tubuh gadis itu telah diselimutkan dengan kain telekung. Tindakan rakan-rakan sejantinanya itu harus dipuji. Telinga Bakri menangkap suara bacaan ayat Kursi yang dipasang menggunakan telefon pintar. Suara bacaan ayat Quran itu sama kuatnya dengan pekikan gadis itu. Sesekali kedengaran dia merengus kasar seperti sedang memarahi sesuatu.
Tiga orang pelajar perempuan yang menemani di dalam surau tiba-tiba menjerit. Mereka bangun menjauhkan diri daripada gadis di tengah-tengah surau. Mereka terkejut kerana tiba-tiba sahaja pelajar histeria itu bangun dari baringnya dan menyergah dalam butiran kata-kata yang tidak difahami. Suaranya serak garau. Matanya besar terbuntang seperti ingin tersembul keluar. Wajah seorang demi seorang direnung tajam.
Bakri gelabah dan bimbang pelajar perempuan itu akan bertindak di luar batasan tanpa disedarinya. Tanpa disangka-sangka, gadis itu memandang pula kepada Bakri. Kali ini, pandangan marah itu disertai dengan tudingan jari telunjuk yang tepat menghala ke arah Bakri. Bakri terperanjat dan terus berpaling memandang belakang. Matanya ditutup rapat, cuba menghilangkan imej renungan tajam pelajar perempuan itu daripada ingatan. Dadanya berombak kencang.
“Kenapa Baq?” tiba-tiba bahunya kirinya disentuh dan membuatkan dia hampir meloncat terkejut.
“Astaghfirullah Anas. Terkejut aku dibuatnya,” nadanya tinggi memarahi Anas.
Jantung Bakri semakin laju berdegup. Kalau dia lihat mukanya sendiri dalam cermin, dia pasti akan rasa malu dan tidak akan mengaku. Wajahnya pucat lesi. Pandangan mata pelajar perempuan itu dan sapaan tiba-tiba Anas itu betul-betul membuatkan dia takut.
Pada masa yang sama, dia melihat Anas muncul dengan seorang wanita bertudung labuh dan berkaca mata. Itu Kak Mariah, pembantu tadbir di pejabat pentabiran fakulti mereka. Kak Mariah memang seorang yang agak alim dan kuat agama. Setiap warga fakulti tahu tentang perawakan Kak Mariah yang lemah lembut dan berhikmah itu. Mungkin cadangan Anas memanggil Kak Mariah untuk membantu satu idea yang bernas. Setidak-tidaknya, dapat menenangkan keadaan cemas yang berlaku.
“Kak, tolong dia kak. Kami tak tahu nak buat apa,” ujar Bakri.
“Insya-Allah. Insya-Allah. Akak tolong apa yang termampu. Yang selebihnya kita tawakal pada Allah,” lembut suara Kak Mariah menjawab sambil melintas di depan Bakri dan meluru ke arah gadis histeria itu.
Bakri dan Anas hanya menyaksikan dari luar. Tiga orang pelajar perempuan itu menjadi berani semula selepas Kak Mariah tiba. Mereka bantu membaringkan gadis histeria itu dan menahan tubuhnya daripada bangun semula. Kak Mariah pula menadah tangan dan mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Selepas itu, dia menghembus ke muka pelajar itu sambil tangan kanannya mengusap-usap ke seluruh muka gadis itu.
Serentak dengan itu, gadis itu menjadi agresif semula. Dia menjerit-jerit memarahi Kak Mariah. Mukanya merah membahang. Kak Mariah tidak menghiraukan langsung suara gadis itu yang kasar memarahinya. Kali ini, kata-katanya dapat difahami. Dia bertempik menyuruh Kak Mariah pergi dari situ dan tidak mengganggunya.
Mulut Kak Mariah tidak berhenti membaca ayat Kursi. Kemudian, Kak Mariah pantas mencari ibu jari kaki gadis itu. Dia memicit hujung jarinya sekuat-kuat hati. Serentak dengan itu, gadis itu terlolong kuat mengaduh. Dia menjerit beberapa kali merayu minta Kak Mariah melepaskan ibu jarinya.
“Kalau kau tak nak sakit lagi, baik kau pergi tinggalkan tubuh hamba Allah yang tak berdosa ni,” tegas suara Kak Mariah memberi arahan tepat ke muka gadis itu.
“Aku cuma nak berkawan dengan dia. Aku tak usik, aku tak sakitkan dia,” gadis itu menjawab dengan suara yang garau.
“Kalau kau nak berkawan dengan dia, kenapa kau masuk dalam badan dia yang lemah ni? Kau nak ambil kesempatan atas dia? Kau tak kesian pada dia?” marah Kak Mariah lagi.
“Aku sayangkan dia. Aku tak nak pergi,” jerit ‘gadis’ itu lagi membalas.
Apabila mendengar jawapan balas makhluk yang meminjam suara dan tubuh gadis itu, Kak Mariah memicit semula ibu jari kakinya. Serta-merta gadis itu terpekik sakit dan merayu minta dilepaskan.
“Kalau kau tak nak sakit lagi, baik kau pergi. Jangan datang-datang lagi. Kau balik ke tempat asal kau. Tempat kita berbeza,” Kak Mariah memberi amaran.
“Aku tak nak sakit. Aku pergi. Aku pergi. Tapi aku akan datang lagi,” jawab makhluk itu pula.

Kak Mariah melepaskan ibu jari gadis itu dan terus dia menggengam tangan kanannya menggempal penumbuk. Dia membaca surah As-Saff dan menghembuskannya perlahan-lahan ke dalam penumbuk itu.

“Tiarapkan dia,” minta Kak Mariah kepada tiga orang pelajar yang ada bersama-sama sejak tadi. Mereka akur dan terus bertindak.

Kak Mariah mencari tulang kipas gadis itu. Penumpuk tadi dibuka lalu dia menampar perlahan-lahan beberapa kali di kawasan tulang kipas gadis itu dengan mulutnya masih laju membaca sesuatu. Gadis itu langsung terlena sebaik sahaja Kak Mariah selesai dengan bacaan doanya.
Bakri dan Anas teruja dengan apa yang disaksikan di depan mata. Ini pengalaman kali pertama Bakri. Sukar untuk dia percaya tapi pada masa yang sama, dia tidak boleh untuk terus tidak percaya kerana semuanya berlaku di depannya sendiri.
Tidak lama selepas itu, gadis yang histeria itu mula sedarkan diri. Dia terpinga-pinga tidak tahu apa yang telah terjadi. Dia kehairanan melihat dua orang rakan sekelas, seorang pelajar perempuan lain yang tidak dikenali dan seorang perempuan bertudung labuh mengelilinginya. Apabila dia memandang ke luar surau, lebih ramai orang sedang berkumpul melihat ke dalam surau. Cepat-cepat dia memperbetulkan litupan telekung pada tubuhnya.
“Syukurlah dah selesai. Harap-harap benda tu tak datang lagi menggangu,” ucap Kak Mariah.
“Kenapa dengan saya kak? Kenapa orang ramai-ramai ni?” tanyanya yang masih penasaran tidak tahu apa yang berlaku.
“Tak ada apa-apa. Adik rehatlah dulu. Nanti bila dah kuat, kawan-kawan adik ni boleh ceritakan. Cuma kakak nak pesan, jangan selalu duduk seorang diri. Kalau ada masalah, rasa tertekan, carilah kawan-kawan untuk luahkan perasaan. Solat jangan tinggal ya dik?” pesan Mariah membuatkan gadis itu semakin tertanya-tanya.
“Kakak nak minta diri dulu. Jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa nak minta tolong, cari kakak dekat pejabat tingkat 10,” sambung Mariah lagi.
Kak Mariah bingkas bangun untuk meninggalkan surau dan semua yang ada di situ. Tanggungjawabnya telah selesai disempurnakan. Dia lega kerana usahanya berjaya dengan bantuan Allah. Dalam hatinya, dia berharap agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Dia berdoa supaya semuanya terutama gadis itu tadi berada dalam lindungan Allah.
“Kak. Kak, tunggu sekejap,” laung Bakri memanggil.
Rupa-rupanya Bakri menurut Kak Mariah dari belakang sebaik sahaja dia meninggalkan surau itu tadi. Dia berpaling melihat ke arah Bakri yang sedang berlari-lari anak menuju ke arahnya.
“Terima kasih kak. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Bakri dalam cungapannya.
“Alhamdulillah. Akak buat apa yang akak terdaya. Kamu ni siapa? Kenal ke siapa adik tu tadi?”
“Eh, tak kak. Saya pun tak kenal dia siapa, cuma tadi waktu dia mula-mula tak sedarkan diri, saya ada dekat dengan dia. Nama saya Bakri, pelajar tahun 2 fakulti ni,” terang Bakri.
“Oh, kamu ni kawan si Anas—lah ya?”
Bakri terangguk-angguk mengaku.
“Kenapa kamu panggil akak ni?”
“Saya sebenarnya, sebenarnya nak tanya sesuatu pada Kak Mariah,” teragak-agak Bakri menyatakan niatnya menahan Kak Mariah daripada terus berlalu.
“Boleh, apa salahnya. Kalau akak tahu jawapannya, akak akan jawab. Kalau tak, kita sama-sama balik, cari jawapannya,” balas Kak Mariah lalu menghadiahkan senyuman kepada Bakri.
Bakri tersengih mendengar ucapan Kak Mariah. Tangannya pun tidak disedari terus naik menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Sebenarnya... Sebenarnya...”.
“Sebenarnya apa?” Kak Mariah memintas ayat Bakri yang masih lagi tergagap-gagap kurang yakin mengutarakan persoalan dalam fikiran.
“Sebenarnya saya nak tanya, Kak Mariah bercakap dengan siapa dalam surau tadi tu? Tu bukan budak perempuan tu, kan?” akhirnya terluah juga pertanyaan.
Kak Mariah senyum dan tidak terus menjawab. Bakri menunggu dengan sabar jawapan daripada Kak Mariah.
“Kenapa Bakri tanya macam tu? Bakri tak percaya ke itu suara pelajar perempuan tu tadi?” duga Kak Mariah.
Bakri menggelengkan kepala. Dia masih menunggu jawapan untuk soalannya.
“Panjang dan susah untuk diceritakan semuanya dekat sini. Macam nilah, esok, Bakri datang ke pejabat, akak bagi alamat akak, bila-bila masa kalau Bakri free, Bakri datang rumah akak. Suami akak pun ada nak jawabkan semua persoalan Bakri,” Kak Mariah begitu terbuka dan bersedia ingin membantu.
“Akak dah lambat ni, nanti AR tercari-cari pula,” ujarnya lagi lalu meminta diri meninggalkan Bakri seorang diri.
Bakri pula masih terkesima. Jawapan yang diharapkan masih belum diperolehi menyebabkan fikirannya masih dipenuhi pelbagai soalan tentang kejadian yang berlaku. Apa yang berlaku di kafe dan apa yang berlaku di surau. Semuanya ingin diminta penjelasan.
“Awak Bakri, kan?” tiba-tiba dia disapa dari belakang. Dia menoleh.
Gadis yang histeria itu muncul dengan dua orang rakannya yang bersama-sama di surau tadi. Dia nampak sangat keletihan. Lesu. Jalan pun perlu dipimpin erat.
“Ya saya. Awak dah okey?” Bakri takut-takut untuk bertanya.
“Okey, cuma masih terasa penat, macam lari marathon 10km,” sedaya upaya dia mengungkapkan ayat itu.
“Apa-apa pun, saya nak ucap terima kasih atas bantuan awak tadi. Kawan-kawan saya dah cerita apa yang terjadi dan dia orang beritahu, awak orang pertama yang tolong saya tadi,” ucap gadis itu sambil cuba untuk senyum.
“Eh, taklah cuma kebetulan saya ada dekat-dekat situ. Takkanlah saya nak tengok je, kan?”
“Tapi saya tetap rasa terhutang budi dengan awak. Hanya Allah yang dapat balas. Terima kasih, ya Bakri? Nama saya, Aina. Ermm... Saya minta diri dululah. Jumpa lagi, next time”.
Bakri angguk. Dia melihat gadis itu dan rakan-rakannya menapak beberapa langkah meninggalkannya. Pandangannya masih tertumpu kepada Aina. Dalam dia, Bakri suka melihat Aina. Tiba-tiba, seperti menyedari Bakri masih memerhatikannya dari jauh, Aina berpaling. Dia memberikan pandangan tajam yang serupa kepada Bakri seperti di surau tadi. Bakri tersentak dan cepat-cepat melarikan pandangan. Jantungnya berdebar-debar semula dan tangan mula bergetar.
Bakri tunduk. Dia menggosok-gosok kedua-dua belah matanya. Kemudian, dia memberanikan diri memandang ke arah Aina dan rakan-rakannya tadi. Kali ini dia melihat Aina dan kedua-dua rakannya sedang berjalan beriringan. Tidak lama selepas itu, kelibat mereka hilang di sebalik bangunan di hujung blok sana.
Bakri mengucap istighfar beberapa kali. Dahi yang berpeluh dilap dengan tapak tangan, dapat dirasakan basahnya. Jelas dia betul-betul dalam keadaan takut tadi. Mujurlah bayangan akhir itu hanyalah khayalannya semata-mata. Mungkin kerana dia terlalu memikirkan apa yang terjadi di surau tadi. Jawapannya ada pada Kak Mariah dan Bakri nekad untuk mendapatkan penjelasan itu.
Bersambung...



Suntingan: Arkib Angker Negara

Like, comment, share and follow!
*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: