Friday, 29 September 2017

PENGHUNI RUMAH BATU - Ria Athira


Penghuni Rumah Batu
Sudah dua jam Azieka mencari jalan ke arah tapak perkemahan. Kecuaiannya akibat terlalu asyik mengambil gambar suasana hutan menyebabkan dia tersasar jauh dari kumpulannya. Keadaan cuaca semakin gelap menandakan hujan akan turun tidak lama lagi membuatkan dirinya semakin gelisah.
“Aku kena cari tempat berlindung sementara ni.“ Matanya mengerling jam di tangannya. Jam sudah menunjukkan pukul enam petang. Agak mustahil sekiranya dia masih boleh mencari kawannya pada hari itu.
Langkahnya semakin laju dihayun bila hujan mulai turun renyai – renyai. Langkah kakinya terhenti apabila dia sampai di satu kawasan yang lapang. Dihadapannya terdapat satu rumah diperbuat daripada batu-batu besar yang sudah kehitaman.
Saiz batu-batu itu juga tidaklah sama besar dan seakan-akan bulat. Tingkap pula sebelah rendah dan sebelah tinggi dan saiz juga berbeza. Di bahagian tepi pula terdapat satu pokok besar yang dahannya menembusi salah satu tingkap. Azieka yang pelik akan keadaan rumah itu berganjak jauh sedikit demi sedikit.
Pang!!! Kilat kuat memancar. Azieka yang sedari kecil takut akan kilat berlari memasuki pintu rumah yang baru saja terbuka. Seperti mengalu-alukan kedatangan Azieka. Azieka hanya menyorok di sebalik pintu. Matanya dipejam rapat sehingga bunyi guruh tiada. Apabila hujan mulai reda, Azieka memberanikan diri untuk melihat keadaan di dalam rumah itu. Keadaan rumah yang gelap tidak bercat juga menambah keseraman di dalam dirinya.
Dari ruang tamu hinggalah ke dapur, semuannya seakan pelik baginya. Keadaan meja yang elok tapi keadaanya keempat-keempat kerusi kayu yang berlainan saiznya seperti sudah dikhaskan untuk 2 orang dewasa, satu sederhana kecil dan satu untuk kanak – kanak.
“Mungkin ayahnya pembuat perabot. “ Fikirnya. Banyak lagi yang difikirnya pelik tetapi sengaja dia abaikan. Dia perlu mencari sudut yang sesuai untuk dia berehat malam ini. Dia yakin ini hanyalah sebuah rumah tinggal.
Sedang asyik mencari sudut yang sesuai akhirnya dia terjumpa satu tangga untuk menuju ke ruangan atas. Lalu Azieka mengatur langkah menaiki tangga dengan berhati-hati. Keadaan anak tangga yang tidak sama rata dan kadang-kadang tinggi ke arah kiri ke kanan dan juga tiada pemegang menyukarkan lagi dirinya untuk ke atas.
“Semakin pelik rumah ni. Ah, tak kisahlah. Janji aku dapat tidur malam ni” Getus hati kecilnya. Dalam dia sibuk berfikir itu dan ini, dia terdengar seperti suara seseorang di belakangnya.
“Hati-hati!“
Azieka terkejut akan suara itu dan tidak dapat mengimbangi badannya lalu terjatuh ke bawah. Dia sempat melihat seorang lelaki menerpa kearahnya lalu pandangannya menjadi semakin gelap.
“Dia okey? “ Kedengaran satu suara halus kanak-kanak bertanya lembut kepada lelaki disebelahnya. Dihadapanannya seorang gadis yang mungkin sebaya abangnya terbaring lesu di atas katil.
“Abang yakin dia okey “ Jawab lelaki itu sambil melempar senyuman manis kepada Azieka yang mula membuka mata. Kelihatan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Dirinya yang sedang asyik menghayunkan kaki di atas dahan pokok besar yang terjuntai masuk melalui tingkap biliknya mula merangkak untuk masuk.
“Awak berdua ni siapa? Saya kat mana ni? “ Soalan biasa yang diajukan oleh orang yang baru sedar dari pengsan walaupun dia sudah ingat sedikit demi sedikit apa yang terjadi di tangga tadi.
“Awak kat rumah kami. Saya Adika dan ini adik saya Melissa “ Adika memperkenalkan diri dan adiknya. Adika tergelak apabila melihat dahi Azieka berkerut apabila dia memperkenalkan adiknya.
“Kami memang adik beradik. Tapi ibu pernah berkahwin dua. Selepas ayah saya tiada, ibu berkahwin dengan seorang lelaki inggeris, dan dapatlah Melissa yang comel macam anak patung ni. “ Terang Adika lalu mengenyit mata ke arah Melissa. Tergelak Melissa yang diusik abangnya.
Fahamlah Azieka melihat perbezaan Adika dan adiknya. Adika seperti melayu biasa, manis, manakala adiknya seperti kanak-kanak luar negara. Tapi satu persamaan yang dapat dilihatnya, mata.
“Melissa mari sini.“ Azieka memanggil Melisaa supaya mendekatinya lalu mencubit pipi Melissa yang putih gebu. Semasa memegang pipi Melissa, dia merasakan pipi Melissa sangat sejuk. Dia meraba pipinya sendiri. Panas. “Mungkin dia tak sihat kut. “ Fikir Azieka menyedapkan hati sendiri walaupun bulu romanya tegak berdiri.
Adika yang menyedari perubahan riak wajah Azieka hanya tersenyum kelat. Dia keluar dari bilik lalu menyeka air matanya yang turun deras mengalir di pipinya. “Melissa… “ Bisiknya.
Hujan kembali lebat semula. Jarum jam sudah menunjukkan ke angka lapan. Taufik yang gusar akan kehilangan Azieka mula keluar dari khemah untuk mencari sekali lagi Azieka. Hatinya bimbang jika Azieka tercedera atau diserang binatang buas. Sudah empat jam Azieka tidak pulang selepas mengambil gambar di kawasan berdekatan.

“Taufiq, kau nak pergi mana? Bahayalah hujan-hujan macam ni dengan dah malamnya. Esoklah kita cari dan minta pertolongan. “ Jerit Amalina dari dalam khemah. Bimbang ketua mereka pula hilang nanti.
“Tapi aku risaulah Mel.“ Jerit Taufiq kembali melawan bunyi hujan. Pantas dia menuju ke arah khemah perempuan. Sepatutnya mereka berlima sekarang tinggal berempat.
“Kami pun risau. Tapi kami risau kau pula yang hilang. Dahlah kau sorang je yang tau tempat ni. Kalau kau hilang nanti kitorang ni macam mana? Nak harapakn si Syafiq tu? Memang tak la jawabnya. “ Mata Wani tajam melihat khemah yang diduduki Syafiq dan Taufiq. Syafiq sedang enak tidur seusai solat maghrib tadi.
“Betul tu Fiq. Kita doakan saja semoga Azieka selamat. Lepas subuh esok terus kita gerak minta tolong orang dekat-dekat sini. “ Pujuk Amalina.
Taufiq hanya mengeluh. Sememangnya betul apa kata Amalina dan Wani itu. Mana mungkin dia dapat mencari Azieka dalam keadaan begini. Hanya doa yang mampu dipohon agar semuanya selamat.
“Melissa mak ayah mana? “ Tanya Azieka kepada Melissa. Tanganya ligat menyikat rambut Melissa yang perang lalu diikat dua.
“Tak ada. “ Balas Melissa pendek yang ikut sibuk menyikat rambut anak patungnya. Di muka anak patungnya seperti ada kesan tompok - tompok darah.
“Dia orang pergi mana? “ 
“Mati!! “ Tiba-tiba satu suara garau menjawab pertanyaan Azieka. Di atas dahan pokok yang menjalar masuk ke biliknya terdapat seorang wanita berjubah hitam menyeringai memandang mereka. Darah menitik-nitik keluar dari mulutnya. Rambutnya mengerbang dek ribut kuat dan beserta kilat di luar.

“Allah!!! “ Jerit Azieka. Itulah pertama kali dalam hidupnya melihat perkara seperti itu. Tanganya cuba untuk merangkul Melissa tetapi Melissa sudah tiada. Baru sahaja dia merasakan Melissa duduk di atas ribanya.
“Cari siapa? Cari budak kecil tu? “ Tanya wanita berjubah hitam itu. Mulutnya tersenyum sinis. “ Kau bodoh! Hahaha…” Sambungnya lalu mengilai kuat.
Badan Azieka kejung. Dia tidak mampu bangun untuk lari. Hatinya berharap agar Adika datang menyelamatkannya. Mulutnya terkumat kamit membaca ayat-ayat suci yang terlintas di fikirannya.
“Berhenti! “ Marah wanita itu. Dia membongkok lalu merangkak untuk cuba memasuki bilik itu. Azieka yang melihat cubaan wanita itu segera membaca lebih kuat lagi. Akhirnya wanita itu berhenti lalu melemparkan satu botol kecil berwarna merah dan kemudian wanita itu hilang. Bentuk botol itu seperti bekas pewarna kuku. Azieka yang ingin tahu akan botol itu menyuakan tanganya ke bawah kerusi untuk mengambil botol itu.
“Jangan! “ Marah Adika.
Azieka yang terkejut dengan kehadiran Adika segera menarik balik tanganya lalu berpusing menghadap Adika.
“Tapi saya nak tengok je “
“Tak payah tengok. Tak ada apa-apa. “ Mata Adika tepat memandang tempat di mana botol itu berada. Muka yang sebelumnya sentiasa tersenyum di hadapan Azieka pada kali ini terlihat penuh dengan kebencian.

Azieka kembali memandang botol tadi. Dirinya kaget melihat botol yang tadinya elok terletak di atas lantai tiba-tiba hilang. Tak mungkin Adika yang ambil. Adika jauh dibelakangnya. “Mana … “
“Abang jom makan. “ Laung Melissa dari bawah. 
“Jom makan.“ Kata Adika sambil memberi senyuman paling manis kepada Azieka.

Azieka yang terpukau dengan senyuman Adika tunduk untuk menyembunyikan senyuman sendiri. Hatinya gembira hingga terlupa kejadian berjumpa wanita berjubah hitam. Laju dia mengikuti langkah Adika keluar dari bilik. Dirinya masih takut untuk menuruni tangga rumah yang pelik.
Di bawah Melissa sudah menunggu di meja makan. Baru Azieka perasaan keadaan meja juga berbeza. Meja juga berbeza ketingian di kiri kanan.

“Jangan pelik sangat. Meja ni ayah saya buat khas. Ni tempat untuk awak tukar ketinggian. Selesa la budak ni makan sebab meja bahagian dia rendah. “ Terang Adika sambil mengusap lembut kepala adiknya. Matanya sedikit berkaca.
Azieka hanya menganguk faham. Bila faham tidaklah pelik sangat. Dirinya begitu berselera makan nasi berserta ikan bakar yang dimasak oleh Adika. Ditambah pula melihat telatah comel Adika dan adiknya. Tetapi dia perasan dengan riak sedih Adika walaupun Adika cuba menyembunyikan dengan senyuman.
Selesai makan Azieka terus meminta diri untuk masuk ke bilik. Walaupun agak seram dengan cermin tingkap biliknya tiada dan dahan pokok menjalar masuk memudahkan sebarang binatang masuk tetapi dia harus kuat. Dapat tempat tidur pun dah rasa sangat bersyukur.
Sedang enak dibuai mimpi, selimutnya seperti direntap. Tanpa membuka mata, Azieka bangun dari pembaringan dan membongkok untuk mengambil selimut yang terjatuh di atas lantai. Ketika tangannya mencapai selimut, tangannya bagai ditarik seseorang.
“Aduh! ‘ Azieka mengaduh kesakitan. Terjelepok dirinya jatuh ke lantai. 
“Sakit? “ Tanya seseorang dari luar tingkap biliknya. Azieka berpaling menghadap empunya suara. Adika dilihatnya sedang tersenyum sinis.
“Mari saya rawat. “ Adika melambai tanganya mengajak Azieka mendekatinya.

Azieka bagaikan dipukau. Hanya menurut ajakan Adika tanpa ragu – ragu. Apabila Azieka berdiri betu-betul di atas dahan pokok, Adika dihadapannya berubah wajah. Senyumannya yang manis bertukar menyeringai garang. Rambutnya pendek bertukar panjang mengerbang. Ribut yang sudah reda kembali menganas.
Azieka hilang imbangan hampir-hampir terjatuh ke bawah. Sempat dia berpaut pada dahan yang lain. Dirinya tergantung tinggi. Nak terjun bimbang kakinya patah. Nak naik kembali ke atas dahan pun tak boleh.
“Adika, Adika…Adika!! “Jerit Azieka berulang kali.
Adika yang mendengar jeritan Azieka bergegas menuju ke bilik sebelah. Mengucap panjang Adika melihat Azieka yang tergantung manakala di atasnya seorang wanita yang paling dibenci dalam hidupnya.

“Kau pergi selamatkan Azieka. Biar aku cuba mengalih perhatiannya. “ Arah Melissa yang tiba-tiba berada di sebelahnya. Adika hanya menganguk lalu berlari mendapatkan Azieka.
“Apa kau tidak berpuas hati lagi terhadap Adika? “ Jerit Melissa dari bawah. Wanita berjubah hitam itu turun ke bawah mendapatkan Melissa.
“Kita tiada urusan! Jangan kau masuk campur. “ 
“Memang kita tiada urusan. Tapi apa urusan kau dengan Adika? Budak tu tidak bersalah! “

“Hahaha memang dia tidak bersalah tapi dia keturunan yang aku benci!”
Mata Melissa memandang ke arah Adika yang sedari tadi hanya memandang mereka. Adika faham isyarat yang diberikan oleh Melissa. Adika turun berhadapan wanita berjubah hitam setelah memujuk Azieka untuk turun. Kebenciannya terhadap wanita itu semakin menebal selepas sengaja mengacau Azieka yang tiada kena mengena.
Kenapa kau gangu dia? “ Marah Adika. Dirinya sudah semakin hilang sabar.
“Saja. Aku suka lihat orang yang kau sayang menderita. “
“Kau memang kejam. Tak cukup ke apa kau dah buat pada mak ayah aku? “
“Tak. Sekarang adik kesayangan kau pula yang akan kena. “ Balas wanita itu lalu memandang ke arah Melissa.

Adika mula membaca ayat - ayat yang dipelajari dari atuk Jamil. Segala apa yang diajar digunakannya sebaik mungkin walaupun ilmunya belum cukup melawan wanita tersebut. Serangan demi serangan. Melissa yang tidak sempat mengelak tersungkur jatuh ke belakang. Badannya bertuksr kepada asal. Adika yang melihat keadaan Melissa segera berlari mendapat kannya.
“Awak okey? “ Tanya Adika cemas.
“Saya okey. Cepat habiskan pertarungan ini. “ Balas Melissa yang kini bukan lagi seperti Melissa awal tadi.

“Nak. Jangan sakitkan Ibu nak. Berhentilah “ Kelihatan di hadapan Adika Ibunya yang sedang menangis merayu kepadanya agak pertarungan ini dihentikan. Adika yang terlalu rindu akan Ibunya terbuai oleh tipu daya syaitan. Mulutnya memanggil Ibunya. “Ibu… ibu… adika rindu Ibu. “ Bagai anak kecil Adika berlari ingin mendapatkan ibunya.
“Adika itu bukan ibu! “ Melissa menjerit keras. Dia harus secepatnya menyedarkn Adika.
Adika yang tersedar mula memberhentikan langkah. Air matanya masih laju bercucuran. Baru sahaja dia ingin membalas dendam ke atas wanita yang sibuk mentertawakan kebodohannya itu, dia sudah tercampak jauh ke belakang. Dirinya sudah berjaya ditipu oleh wanita licik itu. Adika yang sakit badannya terkena pokok tidak dapat bergerak. Wanita itu mula menghilangkan diri.
“Adika tunggu sini. Biar saya ikut dia. Semoga kita dapat tau dimana dia bersembunyi “ Sejurus bercakap dengan Adika, Melissa segera berlari mengikuti wanita tadi. Dia tahu wanita tadi sudah tidak dapat menggunakan ilmu hitamnya dek kerana banyak tercedera oleh serangan Adika.
---------
Cahaya matahari yang tepat terkena mukanya membuat Azieka terjaga dari tidur. Buka mata sahaja dia melihat Adika sedang bersantai di dahan pokok.

“Mungkin itu tempat kegemarannya. “ Fikirnya.
“Eh dah bangun? Maaf kalau saya masuk ke bilik ini tanpa izin. “ Kata Adika sambil menurunkan kain yang dibuat penghadang. Bimbang sekiranya Azieka tidak selesa dan juga tidak manis. “ Mari sekejap saya ada sesuatu hendak cakap.“

Azieka tersipu malu. Mungkin Adika terdengar dirinya menggeliat kuat ketika bangun tadi. Kalau tak macam mana Adika tahu dia sudah bangun. Dia menurut lalu duduk bersebelahan Adika tetapi sedikit jauh.
“Mana Melissa? “ Tanya Azieka. Sesudah Adika menyelamatkannya, dia terus tertidur kepenatan. Lemah semngat mungkin.
“ Melissa Melissa meli … “ Adika tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia menekup matanya lalu menangis teresak-esak. Dia sudah tidak kisah akan pandangan Azieka, yang penting dia rindukan keluarganya.
“Sebelum ibu berkahwin dengan papa Melissa, ada seorang mak cik ni sangat sukakan papa. Tetapi jodoh ibu dengan papa kuat. Ibu kahwin juga dengan papa. Masa tu saya sedang bersekolah menengah. Macam-macam yang kami alami. Penyakit misteri. Ibu dan papa selalu bergaduh. Sampai makcik ni bernama Serina. Dia datang ke rumah kami bawak makanan. Masa tu saya berada di dalam bilik dengan Melissa. Tiba-tiba terdengar bunyi di dapur. Saya pergi intai dan lihat Serina sedang menarik ibu dan papa keluar dari rumah. Bila saya keluar untuk kejar tetapi mereka dah hilang. Hanya saya dapat dengar bisikan yang dia akan kembali mengambil Melissa. “ Terang Adika.
Dia menyambung “Masa tu saya dah panik. Saya kemas barang apa yang patut dan saya datang sorokkan Melissa di sini, tempat arwah ayah suka menyimpan dan mencipta barang-barang. Tapi sayang, dia dapat cari kami. Semasa saya pulang saya lihat Serina berada di sebelah Marissa. Saya lihat Serina mencalit sesuatu pada anak patung Melissa. Ya botol yang awak nampak hari itu. Belum sempat saya melarang, Melissa sudah memcium anak patungnya. Masa tulah saya lihat Melissa rebah dan dibawa pergi. Saya tak mampu dibuat apa-apa sebab kaki saya seolah-olah di gam dibumi. Masa tulah Indah datang menolong saya. Indah yang awak nampak sebagai Melissa. Dialah menemani saya ketika saya sedih. Dia juga memperkenalkan saya atuk Jamil untuk mengajar saya dan mendalami ilmu agama. “
Azieka hanya diam mendengar cerita Adika. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dialami oleh Adika.
“Saya berharap ibu bapa saya dan adik saya masih hidup. Saya mesti berusaha untuk melepaskan diorang dari Serina berjubah hitam itu.
“Terima kasih kerana menyelamatkan saya. “ Balas Azieka. Di hatinya juga berharap Adika dapat menemui keluarganya semula.
“Sama-sama. Jom ikut saya. “ Kata Adika lalu menyuruh Azieka membawa barang-barangnya.
“ Disana tempat kawan-kawan awak berkhemah. Saya minta maaf jika pertemuan kita selama sehari ini memberi kisah pahit dalam hidup awak. Awak doakan saya ye “ Kata Adika.
“ Tak apa. Semoga awak dapat selamatkan keluarga awak. Ada rezeki kita jumpa lagi. “ Balas Azieka.
Adika tersenyum manis lalu berjalan meninggalkan Azieka. Azieka membalas dengan anggukan dan juga senyuman paling manis. Dia berharap dia mampu berjumpa Adika dan mampu membantu Adika satu hari nanti. Dia dan Adika harus menguatkan diri.
- Tamat -
Karya: Ria Athira
Suntingan gambar: Kucing Kelabu

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

Thursday, 28 September 2017

ERIN/ELIN Bab 2 - Nil Kuhaku


Erin/Elin - Siri II


Dia menyeringai. Menunjukkan dua batang taring dan gigi yang disaluti darah pekat.
“AKU BOLEH TOLONG KAU.” Ujarnya, dalam suara dalam, suara yang bercampur baur antara lelaki dan perempuan.
Lantas, aku menarik Erin, sepantas mungkin cuba melarikan diri. Batu yang disusun Erin berterabur. “Aa. Aaaa!” Erin menunjuk ke arah batu-batu yang disusun. “Bukan sekarang, Erin!” Jerkahku. Erin memang baik, tapi ada masa, bila kemahuannya tidak disempurnakan, dia mengamuk. Aku menarik Erin sekuat hati, melarikan diri dari situ.
Sempat aku berpaling.
Jembalang rusa itu masih memerhati kami, masih menyeringai. Tubuhnya seperti patung. Tiada organ pembiakan lansung. Malah dadanya kosong, tiada puting, sama dengan perutnya. Tiada pusat.
“AKU BOLEH TOLONG KAU.” Suaranya bergema ke seluruh ladang teh.
Aku masih menarik Erin lari.

“AKU BOLEH TOLONG KAU.” Suaranya seakan bergema di dalam pelusuk otak ku.
“Berambuslah!” Jerkahku.

Aku mengeratkan peganganku terhadap Erin. Dari jauh, rumah Tokma berbalam-balam cerahnya. Petang sudah menghampiri maghrib, lampu sudah dibuka.
Aku mempercepatkan larian. Tiba-tiba. Erin berhenti.
“Erin! Cepatla- “ aku berpaling ke arah Erin. Namun kata-kata aku tersekat di keronkong tekak.
Tangan yang aku pegang, bukan tangan halus milik Erin.
Ia adalah tangan pucat, putih, besar. Urat biru dan ungu tersembul pada kulit dingin itu.

Aku mendongak ke arah pemilik tangan itu.
Mata putih terbeliak.
Sepasang tanduk rusa.
Lembaga itu menyeringai. Wajahnya mendekat, hingga hidung kami saling bertemu.
“AKU BOLEH TOLONG KAU.” Bisiknya.
Aku dengar diriku menjerit, dan semuanya – bertukar gelap.
*******************************************************************************
Bunyi suara berbalam-balam menampar gegendang telingaku.

“… jumpa dia berdekatan pintu pagar rumah, Puan Helen.”
Seseorang mengeluh.

“….degil…”
“…bahaya. Di sungai tu bahaya.”
“… she should be awake by now.” Suara Adam.
Aku membuka mata. Aku lihat Adam tersenyum ke arahku.
Lantas aku mencebik. Aku bingkas bangun, memerhati Adam marah. Adam mengangkat keningnya, tersenyum melihat gelagatku.
“Dia okay, Puan Helen.” Adam mengangguk-angguk, memandang Tokma yang sedang mencekak pinggang. “Apa Elin buat di luar sana?” Bentak Tokma. “ That is very dangerous, young lady. Elin pergi ke sungai tu pulak kan?” Bebel Tokma lagi. Aku mendengus. Menarik kakiku rapat ke dada. “Sekarang ni musim hujan. Elin tak faham ke tempat tu licin?” Marah Tokma. Aku melirik mata ke atas, bosan dengan bebelan Tokma.
“Tokma. Tolonglah. I am in one piece okay?” Marahku kembali kepada Tokma. Tokma menggeleng kepala, mengeluh.
Namun aku terdiam melihat pakaian Tokma.

Dia memakai kebaya kuning, kain bercorak batik berwarna merah.
Tokma tak pernah memakai warna lain, kecuali hitam dan putih sahaja.
“Tokma.” Ujarku.
“Ya?” Jawab Tokma.

“Tokma… you’re. You’re… wearing colours.” Gumamku, menunjuk ke arah pakaian Tokma. Memandang wajah Tokma.
Tokma mengangkat kedua belah kening. “Apa kena dengan Elin ni? Apa masalahnya kalau Tokma pakai pakaian berwarna?” Ujar Tokma hairan.
Adam melihatku aneh. “Cik Elin ada terhantuk kepala di mana-mana ke?” Tanya Adam. Aku menggeleng, mulutku separuh terbuka.

Aku teringat sesuatu. Manusia bertanduk rusa.
Erin!

“Erin mana, Tokma?” Tanyaku.
Tokma dan Adam berpandangan. “Siapa Erin?”

Mulutku ternganga. Apa ini? Jenaka? Lawak? Prank?
“Tokma janganlah main-main. Erin mana?” Bentakku. Tokma memandangku dengan aneh. Dia menggeleng kepala. “Elin. Siapa Erin?” Tanya Tokma kembali. “Erin. Kakak Elin!” bentakku tidak sabar. “Dia tak boleh berkeseorangan, Tokma. Dia kat mana?!” Ujarku, panik.

“Elin. Elinkan anak tunggal Ma dan Abah?” Ujar Tokma perlahan-lahan, seperti bercakap dengan budak.
Aku bingkas bangun dari sofa. “Erin!” laungku. “ERIN!” Aku menjerit. Jeritanku bergema ke seluruh rumah agam Tokma. “Elin. Elin dahlah –“ ujar Tokma, sebelum aku berlari melangkah tangga. Erin pasti sedang ada di dalam bilik. Pasti!
“Erin!” Jeritku lagi. “Erin, jawablah!” aku membuka pintu bilik pantas.

Kosong.
Bilik itu, yang pada asalnya memiliki dua katil, tinggal satu. Gambar-gambar aku dan Erin sewaktu kecil yang disusun aku di atas para, hanya aku di dalam gambar itu. Tersenyum ke arah kamera. Aku seorang sahaja.
Aku, berkeseorangan, dalam tiap gambar. Gambar raya pertama aku dan Erin. Gambar kami di taman strawberry. Gambar kami di kolam renang.
Gambar aku, Ma dan Abah, menyambut hari jadiku. Hanya aku.
Erin lansung tiada. Rasa resah memenuhi perutku, bergelodak, bagai aura hitam menyesakkan nafas.
Aku membuka pintu almari baju.
Almari itu dipenuhi baju-baju berona gelap, seluar jeans, t-shirt. Baju Erin yang cerah, feminin, lansung tiada.
Aku menggeleng kepala tidak percaya. Aku berlari pula ke meja solek kami.
Rambut yang melekat di sikat, adalah rambut pendek. Milik aku. Lansung tiada kesan rambut panjang Erin.
Pengikat rambut biru aku tergeletak sunyi, pengikat rambut itu masih tidak kendur, seperti jarang digunakan.
Aku terduduk. Menyebak rambutku kebelakang. Tak mungkin. Tak mungkin. Adam muncul di muka pintu, dengan Tokma menyusul. Maria, salah seorang dari enam staf rumah kami turut menjenguk. Wanita yang hampir menjengah separuh abad itu kelihatan bimbang.
Aku menggeleng kepala tidak percaya. “Tak. Tak. Tokma, Adam, jangan buat macam ni. Please. Kasihan Erin. Please. I’ll be good. Elin tak lari keluar macam tadi. Elin minta maaf. Mana Erin? Mana Erin, Tokma?” Ujarku, hampir mahu menangis.
“Elin,” Tokma menghampiri, merangkul bahuku erat. “Elin belum makan ubat lagi,kan?” Ujar Tokma bimbang. Ubat? Ubat apa? Aku terpinga-pinga dengan air mata bergenang. Aku memandang Adam yang melihatku penuh bimbang.
“Adam. Ubat apa yang Elin kena makan? Mana Erin?” ujarku, air mataku menitis laju.
Adam melihatku seperti seorang abang melihat adiknya yang kesakitan. “Cik Elin. Ubat untuk ‘keadaan’ Cik Elin. Ingat…?” Tangan Adam mengarahkan Maria, yang terus berlalu mengambil sesuatu. “Bukan apa pun. Cuma, Cik Elin mengalami masalah hormon. Hormon di otak Cik Elin tak seperti orang lain. Sebab tu, Cik Elin ‘nampak’ dan ‘dengar’ macam-macam… Ingat…?” Adam menjelaskan.
Aku ternganga.
Maria menghampiri. “Belum, Ma’am Helen. Ubat Miss Elin untuk hari ini masih belum terusik.” Ujar Maria, menatang dulang terisi gelas dan beberapa biji ubat. Loghat Filipinanya berbaur pekat.
Tokma mengeluh. “Terima kasih, Maria. Adam, Maria. Tinggalkan kami sebentar.” Ujar Tokma, sempat mengambil dulang kecil itu dari tangan Maria. Aku memandang Tokma kaku. “Mari, Elin. Bangun nak.” Tokma memegang lenganku. Tanpa banyak cakap, aku bangun. Aku dipimpin Tokma ke katilku.
“Nah. Makan ubat ni dulu. It will all be better after this.” Ujar Tokma, menghulurkan sebiji ubat bulat, putih ke arahku.
Aku mencapai. Bagai déjà vu, aku menelan ubat itu bersama air. “Buka mulut.” Arah Tokma tiba-tiba. Aku membuka mulut, menurut arahan Tokma. “Angkat lidah kamu.” Ujar Tokma lagi. Aku ikut.
Tokma memegang daguku, membelek-belek mulutku sebelum mengangguk, puas hati. “Pergi mandi lepas ni. Nanti Tokma minta Maria hantarkan kamu makanan.” Ujar Tokma. Berlalu meninggalkan aku keseorangan. Pintu bilik ditutup lembut.
Aku tidak berupaya berkata apa-apa. Aku cuma memandang siling kosong. Memori milikku dan Erin menerpa benak. Senyuman lembut Erin bagai terawang-awang di minda.
Aku bangun, melihat beranda. Sunyi. Rasa melankolik mengisi diri. Bagai terpandang Erin bermain dengan anak patungku.
Anak patungku!
Aku menyelongkar almari. Anak patung Raggedy Ann yang sebesar bayi manusia itu tersenyum ke arahku. Berambut merah, memakai skirt biru pucat.
Rambut Raggedy Ann doll aku dahulunya panjang. Aku potong pendek sewaktu aku berumur enam tahun. Waktu itu aku bergaduh dengan Erin.
Rambut anak patung itu panjang, dijalin dua. Lansung tiada tanda dipotong.
Aku terduduk di hadapan almari, airmata aku mengalir bagai empangan pecah. Bahuku terhinggut-hinggut dalam esakan tangisku.
Erin. Erin. Erin.

Jadi selama ini Erin cuma bayangan aku? Bayangan budak perempuan gila? Budak perempuan sakit mental?
Aku dakap erat patung kecil itu, air mata aku masih menitis membasahi rambut merahnya. aku terbaring, mengerekot di lantai dingin. Aku terasa sunyi. Kosong. Kosong yang amat.
“Miss Elin?” Pintu bilikku diketuk. “Miss Elin?” Suara Maria menyapa gegendang telingaku. Aku melihat kosong ke arah pintu, sebelum pintuku dikuak perlahan.
Maria menatang dulang bertutup. Wajahnya berubah sebaik sahaja memandang aku mengerekot di atas lantai.
“Oh, anak.” Ujarnya sayu. Dia meletakkan dulang berdekatan katilku, dan lantas menarikku duduk. Aku tak tahu kenapa, tapi mungkin kerana sentuhannya, dan nada suaranya yang keibuan itu – membuatku makin teruk menangis. Aku mengongoi seperti budak kecil di bahu Maria. Maria merangkulku erat, mengusap rambutku lembut.
“Maaf, Maria. Maaf.” Ujarku dengan hidung tersumbat dan mata bengkak. Aku meleraikan pelukanku. Mata Maria turut bergenang. Anak patung itu aku lempar ke atas katil. Aku duduk di atas katil, malu dengan Maria. “Tak apa miss.” Ujarnya, mengesat air matanya. “Miss mahu makan? Maria masakkan kegemaran Miss.” Maria tersenyum, membuka dulang. Nasi putih, ayam masak kicap pedas dan peria goreng rangup.
Aku menelan air liur.
Tiba-tiba, aku terasa lapar. Sangat lapar. Hari sudah menginjak tengah malam. Dari tengah hari aku lansung tak makan apa-apa.
Aku mengangguk. Maria tersenyum senang. “Mari Miss. Tak elok makan di katil. sini, sini.” Dia meletakkan dulang di atas meja belajarku. Aku bangun. “Basuh tangan dahulu miss.” Ujar Maria lembut. Aku menurut, lalu duduk di meja. Nasi putih berasap nipis. Aku memandang Maria. “Terima kasih.” Gumamku kearahnya. Maria mengangguk, tersenyum lebar.
“Maria dah makan?” Tanyaku.
“Sudah miss. Miss makanlah. Maria dah kenyang.” Jawabnya terharu.
Aku mengangguk. Menguis-nguis nasi. Merasa sedikit kuah kicap.

Sedap.
Aku menjamah penuh berselera.
Maria duduk, di sisi, memerhati aku makan. “Miss anak yang baik.” Ujarnya, sayu. Aku meratah peria goreng rangup, tersenyum malu ke arah Maria.
Habis makan, aku mengangkat dulang, mahu ke dapur. “No miss. Let Maria do that.” Ujar Maria, menggeleng kepala. “Tak apa Maria. Bukan berat pun. Tak apa.” Aku meyakinkan Maria. Maria akur, mengikut aku turun ke dapur. “Mau minum, miss?” Ujar Maria. Aku mengangguk teragak-agak. Aku berpindah ke rumah Tokma sewaktu aku berumur 12 tahun. Sebelum tu, banyak benda aku buat sendiri. Seawal umur sembilan tahun aku dah belajar memasak. Benda biasa, nasi. Goreng telur. Bolehlah.

Bila duduk rumah Tokma, aku kekok.
Fikiran aku menerawang ke arah Erin.
“No miss. Miss dah bawa turun. Biar Maria basuh. Please.” Ujar Maria sebaik sahaja aku mahu membasuh pinggan.
Aku akur.

“Miss drink, ya.” Dia meletakkan segelas air the hijau panas kegemaranku. Bila masa dia buat aku tak tahu.
Aku duduk di dapur, memerhati Maria membasuh pinggan.
Erin. Erin.
Tiba-tiba, wajah lelaki albino bermata pucat menerjah benakku. Aku termengkelan.
Ya. Lelaki bertanduk rusa!

“Miss okay?” Tanya Maria bimbang. Aku mendongak, memandang Maria sekilas sambil menggeleng kepala. Aku melihat bayangan alam di jendela.
Malam kian pekat.

“Miss, ada apa-apa, Miss kena beritahu. Ingat pesan doktor kan?” ujar Maria. Aku merenung Maria yang sedang memandang aku bimbang.
Aku menggaru kepala. Cuba menyusun ayat.

“Bukan. Sebenarnya… masa saya ke sungai. Saya nampak lelaki bertanduk rusa.” Ujarku sedikit bingung. “Lelaki bertanduk rusa?” Ulang Maria. Aku mengangguk. Cawan teh hijau berasap nipis, isinya ada lagi separuh. “Dia sebut nama saya. Kemudian dia cakap… ‘Aku boleh tolong kau.’” Ceritaku. “Miss pandang matanya?” Tanya Maria dengan mata membulat.
Aku mengangguk.
Wajah Maria kelihatan resah. Dia mendiamkan diri. “Kenapa, Maria?” Tanyaku. “No, miss. Saya teringat kisah sewaktu saya bekerja di Amerika.” Ujar Maria.

Aku memiringkan kepala.
Maria mengeluh. “Waktu itu saya bekerja di Arizona, Amerika.” Cerita Maria. “Di situ ada satu perempuan Native American, dari puak Navajo yang bekerja dengan saya.” Sambung Maria lagi.
“Apa yang Miss cerita sama seperti rakan saya ceritakan. Yee naaldlooshii,” ujar Maria ketakutan, “Skinwalker.” Maria menghabiskan ayat.
Aku memandang Maria ternganga.
“Skinwalker?” Ujarku. Yee… apa entah yang disebut Maria tadi lansung aku tak dapat ulang.
“Yes Miss. Skinwalker. Very bad. Bad witch.” Cerita Maria. “Dia boleh berubah menjadi binatang. Sama seperti jadi-jadian di Malaysia, Miss. You have that story too.” Cerita Maria bersungguh. “Skinwalker, saya pernah jumpa. Masa kawan Maria dan Maria memandu waktu malam, di padang pasir Arizona. Binatang berkaki dua tiba-tiba mengejar kami dari belakang kereta. Scary, miss. Sekali tengok macam anjing. Coyote. Tetapi besar. Sekejap dia berlari empat kaki. Sekejap dia berlari dua kaki. I’ll never forget that.” Maria bercerita, ketakutan. Aku mengangguk-angguk, tak tahu mahu percaya atau tidak.

Lagipun. Aku inikan… mental? Sakit mental? Kan? Benda tu semua halusinasi aku. Kan?
“Sudah, Maria.” Tiba-tiba suara Tokma mencelah. Aku terperanjat. Maria tergamam. Tokma sedang berdiri di pintu dapur kami.
“I don’t expect you to be filling her head with such stories! Ditambah pula dengan keadaan dia yang…” Suara Tokma terhenti. Aku mengeluh kasar. “Cerita sahaja Tokma. Lagipun, saya tahu, saya ini sakit mental, kan?” Aku menghempaskan cawan ke meja, sebelum menghentak kaki masuk ke bilikku.
Aku menghempaskan badanku ke katil, kasar. Sempat aku menangis. Memeluk bantal erat.
Erin.

Aku masih tak mampu menerima hakikat, Erin tidak wujud.
Telefon bimbit ku capai. Pantas ku taip ‘skinwalker’ ke enjin carian. Aku ambil pautan dari Wikipedia dan baca.
Kebanyakan benda adalah perkara biasa mengenai mistik. Bagaimana, ‘skinwalker’ ini, adalah satu bentuk lawan bagi ‘bomoh baik’ puak Navajo.
Ada satu benda yang menarik minat aku. Hampir sahaja darah dimuka aku bagai disedut kering sewaktu membaca pautan tersebut.

“… mereka (skinwalker) boleh mengawal badan haiwan atau manusia, yang melihat mata mereka.”
Aku termengkelan, mengingatkan mata putih milik lelaki bertanduk rusa.
Tak mungkinlah.

Aku sakit mental. Semua itu tak wujud.
Karya: Nil Kuhaku
Gambar suntingan: #Kamenrider

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

BULU - Amir Faizal


BULU
Selepas mendapat keputusan SPM tahun 2001 yang agak cukup cukup makan, aku telah diterima masuk ke sebuah kolej kelolaan MARA di bandar Kuantan. Beruntungnya aku kerana ditempatkan di asrama luar kolej atau lebih tepat lagi rumah teres yg terletak di belakang kolej. Hati berkobar-kobar nak sambung belajar. Manakan tidak, terpengaruh dengan dakyah TV yang selalu tunjuk universiti ini merupakan tempat yang gah dan hebat.
Rumah teres yang menjadi asrama aku dihuni oleh 7 orang termasuklah aku. Adli, Yan, Hafiz, Kamal, Rashid dan Mat Li. Masing-masing berbeza course cuma aku dan Rashid sahaja yang belajar dalam satu course.
Semasa semester 1, tiada apa-apa kejadian yang pelik berlaku. Seperti kebiasaan student kolej atau universiti, kami meneruskan rutin lazim seharian. Siang belajar, malam bebas. Ada yang lepak di rumah, ada yang pergi berdating di library atau kedai makan di jalan besar. Pendek kata semester satu bagaikan honeymoon bagi kami.
Masuk semester kedua, semua mulai sibuk. Maklumlah dah mula sedar kepayahan belajar. Manakan tidak, subjek semua susah-susah. Company law, finance, costing acc, calculus, management, marketing dan sebagainya. Semasa semester dua ni la macam-macam cerita angker yang mulai kami dengar. Ada yang jumpa pelbagai bentuk entiti. Kebiasaannya di asrama di dalam kolej tetapi agak jarang di kawasan kediaman kami.
Pada suatu malam, tidak seperti malam-malam sebelumnya, aku berasa agak payah untuk aku tidur. Terasa panas dan sejuk berselang-seli. Aku lihat Rashid sudah lama dibuai mimpi beserta pakej dengkuran berirama tradisional. Aku abaikan dia bersama dengkuran dia. Fikiran lebih tertumpu ke arah nak melelapkan mata yang agak sukar dilakukan. Tiba2...
DUMMMMM!!!!!
Bunyi berdentum dari bilik sebelah tempat si Mat Li dan Yan bersemayam.
“Ah sudah!! Ape pulak yang jatuh kat sebelah ni,” getus hatiku.
Aku malas nak ambil port dan terus melayan mata sehingga terlelap.
Keesokannya, seperti biasa semua bangun untuk ke kelas. Selepas semua bersiap, masing-masing dah nak keluar rumah. Aku sempat bertanya pada Mat Li berkenaan dentuman malam tadi.
"Nanti aku cerita, kite keluar dulu," kata Mat Li ringkas.
Rumah dan kolej hanya 100 meter je. Kami hanya berjalan kaki sahaja kerana jarak yang dekat. Sampai di kolej, Mat Li pun memulakan cerita.
"Aku kena kacaula malam tadi," katanya.
"Ape yang kacau ko?"tanyaku galak.
"Camni,aku dah nak tido dah malam tadi. Si Yan takde kat bilik. Pegi mane tah malam tadi. Tengah nak tido, tetiba aku rasa macam kena tindih. Aku rasa normal la kot sebab siang tu aku banyak buat aktiviti lepas tu aku buat revision lagi. Tapi kan masa kena tindih, aku bukak mata. Serius bro, aku nampak benda atas badan aku. Berbulu lebat. Mata je nampak. Aku lawan la balik. Tu yang berdentum ko dengar tu. Aku terhentak ke lantai. Sampai ke subuh benda tu ade dekat pintu bilik. Masa korang bangun baru die hilang," panjang lebar Mat Li bercerita.
Aku antara percaya dan tidak dengan cerita Mat Li ni. Bukan aku tak kenal die. Cerita banyak tokok tambah. Aku bantai gelak je lepas dengar dia bercerita.
"Ko kena nanti baru ko tau," warning Mat Li di saat aku berdekah-dekah gelak sambil menahan perut.
"Kalau aku kena, ko lah orang pertama yang akan aku cerita..hahahaha!"
Hari-hari seterusnya berlalu dengan normal sehinggakan aku sendiri dah terlupa akan cerita Mat Li.
Pada suatu malam, aku perlu ke perpustakaan untuk group study bersama rakan sekuliah yang tinggal di asrama di dalam kolej. Lebih kurang pukul 10 malam, ulangkaji selesai tetapi aku masih belum balik. Maklumlah jumpa girlfirend aku. Normal dikalangan pelajar untuk ada pasangan semasa belajar. Termasuklah aku sekali yang terjebak ke alam percintaan. Dating punya dating, dah hampir pukul 12 tengah malam.
Alamak! Pintu pagar belakang dah tutup. Hati mulai rasa tak sedap. Sebab aku perlu keluar melalui pintu utama kolej dan berjalan kaki mengikut jalan di tepi kolej sehingga ke belakang. Fikiran mula teringat cerita 2-3 orang pelajar terserempak makhluk berbungkus putih di tengah jalan sebulan yang lepas.
Ah, persetankan semua tu! Aku nak balik. Begitula kata hatiku. Aku membulatkan tekad untuk berjalan kaki seorang diri walaupun aku tau aku bukanlah seorang yang agak berani.
Sambil berjalan, aku perhatikan kawasan kiri dan kanan. Di kiri, asrama pelajar lelaki manakala di kanan belukar. Aku berjalan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Sampailah di satu selekoh di mana terdapat tanki air kolej di sebelah kiri dan semak di sebelah kanan. Aku mula berjalan memasuki selekoh dengan penuh keyakinan ala mike doohan sambil bernyanyi perlahan.
Semakin lama semakin aku rasakan selekoh itu terlalu panjang. Ku rasakan terlalu lama aku melalui selekoh tu.
“Ah sudah! Terkena dah aku ni,” getus hatiku.
Secara spontam, bunyian unggas di sekeliling berhenti. Hanya kedengaran bunyi tapak kaki aku melangkah di atas jalan. Hati semakin goyah. Peluh mula memercik di dahi.
Dalam keadaan yang mencemaskan ni sempat juga aku berkata, "Aku nak baliklah, janganla kacau." Seterusnya membaca apa saja ayat suci yang terlintas di fikiran.
Lama kelamaan, suara unggas kembali kedengaran. Serentak dangan itu aku mendapat kekuatan untuk berlari. Ilmu pecutan lipas secara pantas aku praktikkan .Laju aku berlari balik tanpa menoleh ke belakang.
Sampai di rumah, aku lihat semua rakan serumah sedang melepak di ruang tamu.
"Ko dah kenapa tercungap-cungap ni?" Soal Yan sambil mengunyah keropok Twisties.
"Takde apela. Biasela ade yang nak menyakat," kataku tersekat-sekat kerana masih kepenatan.
"Haaa, kan dah kena," kata Mat Li sambil terkekeh-kekeh ketawa.
Aku hanya tersenyum hambar. Nasib aku tak baik. Aku terkena malam ni.
"Pukul berapa dah ni? Berapa jam ko jalan kaki dari kolej?" tanya Yan sambil menunjuk jam di dinding.
Aku menjeling ke arah jam. 2.15 pagi… aku terdiam.
Maknanya dua jam aku termasuk ke alam sana rupanya. Nasib baik la aku dapat keluar. Kalau tak, rasanya sampai sekarang aku di alam sana lagi. Kasar betul gurauan makhluk tuhan ni.
Nak dijadikan cerita, sewaktu tidur aku terkena lagi. Kali ni situasi sama seperti Mat Li. Badan ditindih dan tak dapat bergerak. Cuma mulut dan mata sahaja yang mampu bergerak. Dan kali ni aku nampak secara jelas makhluk yang Mat Li pernah ceritakan pada aku.
Berbulu lebat, bermata merah. Hitam sehitam hitamnya. Memang jelas kerana bilik aku ada cahaya terang daripada tingkap, maka aku boleh nampak. Dan kesudahannya sampai subuh aku berjuang untuk tidak tewas pada makhluk berbulu itu.
Keesokannya seperti biasa semua bersiap ke kelas termasuk aku yang dalam keadaan tak cukup tidur dan lemah. Maka terpaksalah aku ambil MC selama 4 hari dan balik ke rumah pakcik aku di Cherating.
Gurauan kasar tersebut berulang-ulang sehinggalah aku tamat belajar di sana sekitar tahun 2004. Akibat selalu diganggu, kami dah jadi lali sehingga tahap sudah tidak menghiraukan gangguan tersebut.
Sampai sekarang aku masih tertanya-tanya jika makhluk berbulu tu masih ada di sana atau tidak.....
=============
Karya: Amir Faizal
Suntingan karya & gambar: DeeFen DF
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

ON CALL OBSTETRIK - Amirul Amzar


ON CALL OBSTETRIK
Kisah ini terjadi terhadap seorang houseman (HO) malang di sebuah hospital di Petaling Jaya. Houseman itu kini masih berjaya meneruskan kariernya sebagai seorang doktor, namun memori seram ini masih segar dalam ingatan beliau.
Malam itu merupakan satu hari sebelum Tahun Baru Cina. Dek kerana ramainya staf yang sudah bercuti, bilik bersalin menjadi agak sepi. Bilangan jururawat yang bertugas juga sangat minimum. Begitu juga dengan bilangan pesakit. Ramai dah balik kampung agaknya. Ahmad merupakan seorang houseman dan dia on call di bilik bersalin pada malam itu.
Dia bertugas bersama 2 org lagi HO iaitu Yana dan Fizah. Kebiasaannya mereka akan membahagikan tugas di antara bilik bersalin, wad antenatal dan wad postnatal. Oleh kerana pesakit agak sedikit pada malam itu, mereka membuat susunan – seorang HO bertugas setiap 3 jam secara bergilir-gilir. Dalam 3 jam itu, HO itu akan mengawasi seluruh kompleks bersalin termasuklah wad dan bilik bersalin. Ini membolehkan mereka bergilir-gilir untuk berehat.
Ahmad mengambil giliran kedua iaitu dari pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi. Permulaan gilirannya amat tenang, hanya dua pesakit sedang berada di dalam bilik bersalin dan tiada pesakit perlu di-review di wad antenatal dan postnatal pada waktu itu. Ini bermakna dia hanya perlu menunggu panggilan aktif daripada wad dan menjenguk 2 org pesakit pada selang masa tertentu di bilik bersalin itu.
"Doktor Ahmad, tolong teman saya pergi ke klinik antenatal, saya nak ambik folder untuk new admission," sapa Staff Nurse Yati memecah lamunan Ahmad. Malam itu hanya 4 orang Staff Nurse (SN) bertugas di bilik bersalin, namun hanya 2 orang sahaja yang Ahmad terlihat pada awal gilirannya bertugas. SN Yati dan SN Maria tadi sedang sedap makan lewat malam di pantri. Manakala lagi 2 orang sedang berehat agaknya, meniru aturan HO juga barangkali.
SN Yati memang baik dengan Ahmad, mesra dan selalu bergurau. Muda. Cantik pula tu. Ahmad yang masih bujang memang seronok bekerja dengannya. Mereka berdua sama-sama bujang, kalau ada jodoh menjadilah hendaknya.
"Eh, dah habis makan eh? Dah la makan tak ajak."
"Alaa, kitorang bawak bekal sendiri je, tak ada untuk doktor," balas SN Yati.
"Doktor tolonglah teman saya pergi ambik folder. Takkan saya nak turun sorang? Kak Maria tengah dok makan lagi. Lagipun kalau berdua turun sapa nak jaga kaunter ni?" sambung SN Yati sambil membuat raut wajah manja.
Klinik antenatal terletak di tingkat LG bangunan tersebut, manakala bilik bersalin di tingkat 3. Kebiasaannya pesakit yang sudah booking di hospital ini, rekodnya akan disimpan di klinik antenatal. Sudah menjadi rutin setiap kali ada admission bagi kes yang sudah booking, Staff Nurse atau Pembantu Pegawai Perubatan akan turun dan mengambil folder pesakit.
"Aik, ada new admission ke? Tak perasan pun. Oooo, Dr Fizah dah clerk kot tadi, tapi dia tak passover pulak kat saya," Ahmad agak hairan kerana di board hanya ada 2 nama pesakit dan kedua-duanya pesakit lama.
"Iye, new admission tapi dalam keadaan stable je, baru 4cm, primi, contraction pun tak regular lagi. Jomlah doktor. Nanti balik doktor tengoklah patient tu, boleh tengok folder sekali," gesa SN Yati lagi.
"Ok, ok.. jom!"
Mereka berdua berjalan ke lif dan terus menuju ke tingkat LG. Sampai di tingkat LG, Ahmad terkejut kerana seluruh tingkat gelap. Hanya lampu hijau daripada papan tanda KELUAR menyuluh ruang legar tingkat itu – suram dan malap cahayanya. Pen-torch dikeluarkan, dan disuluh untuk mencari jalan ke klinik.
"Diorang lupa bukak lampu ni doktor," getus SN Yati.
"Awak takut eh? Takpe, saya ade," balas Ahmad sambil tersengih-sengih.
Sampai ke klinik antenatal, SN Yati membuka kunci dan meraba-raba mencari suis lampu.
"Yati, awak pakai pen-torch ni pergi cari folder, nanti saya bukakan suis lampu. Bilik folder kat situ je kan," juih Ahmad pada bilik di depan pintu masuk klinik. Disebabkan hendak cepat kerana dirasakan tidak manis berdua dengan anak dara di tempat gelap ini, Ahmad menggesa supaya folder itu lekas dijumpai.
"Ok doktor...." Balas SN Yati perlahan.
Ahmad meraba-raba dalam gelap mencari suis lampu di klinik itu.
Tiba-tiba bunyi gitar solo Avenged Sevenfold berbunyi. Terkejut Ahmad. Cepat-cepat dia meraba poket seluarnya bagi menerima panggilan itu.
"Hello Doktor Ahmad, doktor kat mana ni? CTG patient bay 1 tak cantiklah, akak dah letak left lateral, nanti doktor naiklah review," kedengaran suara Kak Maria di hujung talian.
"Ooooo…okay kak, saya kat bawah teman Yati ambik folder new admission"
Senyap.
"Doktor, minta naik sekarang doktor. Cepat!"
"Ye kak, okay saya tau. Jap saya panggil Yati."
"Doktor Ahmad, Yati ada dekat sebelah saya tengah tulis nursing report, doktor lebih baik naik sekarang!" terdapat getaran dalam suara SN Maria.
"Kak, jangan tipu saya, habis tu...."
Tiba-tiba terlintas di fikiran Ahmad, bau Yati lain macam wanginya malam itu. Umpama campuran air mawar dan sedikit bauan kapur barus.
"Doktor Ahmad, tolong saya suluh almari folder ni boleh?" Suara SN Yati kedengaran di telinganya. Berlebih-lebihan manjanya.
Sepantas kilat Ahmad memecut ke lif dan menekan butang naik.
"Doktor janganlah tinggalkan saya, saya takut sorang-sorang ni. Hihihihihi…." Suara itu semakin mendekat, seolah-olah dibelakangnya sahaja. Makin menjadi-jadi manjanya seolah-olah mengejek. Namun Ahmad tak berani nak menoleh. Pintu lif terbuka – dia masuk dan terus menekan tingkat 3 dan butang tutup dengan tergesa-gesa.
"Abang Ahmad, saya sejuklah," Ahmad terasa tangannya digenggam oleh tangan yang sejuk. Dia mula membaca apa sahaja ayat suci yang terlintas.
"Hihihihihiiiiiiiiiiii......" suara hilaian semakin kuat memenuhi lif itu. Dada Ahmad terasa sesak, nafasnya tak cukup. Perkara terakhir yang dia ingat adalah rambut panjang yang keluar perlahan dari celah pintu lif yang sudah tertutup.
"Ahmad, oiii bangun oi!"
Ahmad terpisat-pisat membuka mata, kelihatan Medical Officer Doktor Sofea menampar-nampar bahunya.
"Kak Maria cerita tadi yang dia terdengar suara mengilai dalam telefon. Lepas tu line terputus. Cepat-cepat dia kejutkan kami semua untuk mencari awak. Awak okay tak ni?" Tanya Doktor Sofea.
Ahmad tak mampu nak membalas. Bunyi hilaian dan rasa sejuk di tangannya masih terasa berbekas. Apatah lagi rambut panjang yang keluar dari celah lif tadi. Dia ternampak SN Yati di belakang Dr Sofea. Raut wajahnya kelihatan risau.
"Awak Yati yang betul kan?"
"Ye doktor, saya Yati yang betul. Tadi mana ada new admission. Saya makan sepanjang masa dengan Kak Maria, sampailah kitorang call doktor sebab tak jumpa doktor kat bilik bersalin," balas Yati.
"Hmmmm... tahun lepas ade sorang HO kena macam ni jugak, dia teman benda tu turun. Alih-alih benda tu terbang depan dia mengilai-ngilai. Huiiii seram!" terang Kak Maria.
"So sekarang ni nak kena buat incident report tak? Nak tulis macam mana ni?"
=============
Karya: Amirul Amzar
Suntingan karya & gambar: DeeFen DF
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.