Thursday, 2 November 2017

HILANG - DeeFen


HILANG
Karya : DeeFen DF
Suntingan Gambar : DeeFen DF



3 Oktober 2017.
“Yahoooooo!!!”
“Yehaaaa yariba yariba!!!”
“Oleee ole ole ole oleee!!!”
“Baby shark do doo do do do doo!”
Girang. Itulah yang tergambar pada wajah 4 orang sekawan, serumah, sekolej dan sekampung. Semuanya tersenyum lebar sehingga ke telinga. Hidung masing-masing pula besar mengembang dan mengeras.
Hari ini merupakan tamatnya peperiksaan bagi pelajar semester akhir di sebuah kolej swasta di Perak. Bagi 4 sekawan iaitu Adli, Bobo, Daus dan Nazim, inilah hari paling menggembirakan sepanjang hidup mereka.
“Akhirnya berjaya aku habiskan degree. Bangga gila weh!” Ujar Adli separa menjerit.
“Jangan over confident sangat. Silap haribulan ada paper yang kena repeat. Hahahaha!” Daus memerli Adli yang kelihatan sangat yakin dia akan berjaya menamatkan pengajian. Adli membalas dengan mencebik bibir pada Daus.
“Apa plan kita malam ni? Esok? Lusa? Tulat?” soal Nazim sambil mengorek telinganya yang terasa gatal.
Masing-masing terdiam memikirkan apa yang hendak dilakukan pada hari-hari terakhir mereka sebagai pelajar. Minggu depan sudah perlu meninggalkan rumah sewa dan mungkin tidak akan kembali lagi ke situ.
“Malam ni kita makan sedap-sedap sikit la. KFC ke, pizza ke, western food ke. Lepas makan kita pi karaoke se-round. Esok pula kita tengok wayang cerita IT. Amacam?” Cadang Bobo. Seorang yang berbadan gempal. Makanan dan Bobo memang tak dapat dipisahkan.
“Aku setuju cadangan Bobo tu. Apa kata kalau lusa pula kita pi hiking dengan camping. Bukit Dingin. Amacam? Nak?” Adli memberi cadangan.
“Baik gile weh idea tu. Aku setuju! Dah lama tak hiking. Gian!” Nazim mengangguk tanda setuju sambil mengusap penumbuknya kerana geram untuk melepaskan gian terhadap aktiviti lasak mendaki bukit. “Lepas habis wayang esok kita terus prepare barang-barang hiking dengan camping,” sambung Nazim lagi.
Bobo termenung melihat ke arah pokok teja yang bergoyang ditiup angin yang sepoi-sepoi bahasa. Wajahnya kelihatan sedikit pudar berbanding tadi. Bungkam. Lantas dia bersuara. “Weh, aku malas la nak pi hiking. Aku tak minat sangat aktiviti letih-letih, berlengas macam tu. Lagipun aku tak fit la. Melambatkan korang ja mendaki.”
“Ahhhh takde takde! Kau kena ikot juga. Takpa kita daki slow-slow. Kami tunggu. Ni hari-hari terakhir kita kat Perak ni. Lepas ni maybe dah kerja bawa haluan masing-masing,” ujar Adli sambil memicit bahu Bobo. Daus dan Nazim sekadar mengangguk tanda setuju akan kenyataan Adli.
Bobo terus diam dan termenung. Dahinya sekali-sekala berkerut tanda dia sedang memikirkan sesuatu hal yang berat.
***
5 Oktober 2017.
Setelah selesai melapor diri di pos renjer, mereka pun memulakan pendakian. Semuanya kelihatan bersemangat kecuali Bobo. Manakan tidak, dipaksa melakukan aktiviti yang tak digemarinya. Mencuka wajahnya sejak malam tadi.
Mengikut perancangan, mereka akan berkhemah selama dua malam di Bukit Dingin. Mereka telah diingatkan oleh renjer agar berhati-hati disebabkan trek agak licin.
Adli dan Nazim telah 3 kali menawan puncak Bukit Dingin ini sepanjang mereka belajar di kolej. Jadi selok-belok bukit ini sedikit sebanyak diketahui oleh mereka berdua.
Pendakian sepatutnya mengambil masa hanya 3 jam. Namun menjadi 4 jam 30 minit kerana banyak berhenti rehat disebabkan oleh kecergasan Bobo yang tidak begitu mengizinkan. Sekejap-sekejap minta berhenti. Kemudian lenguh itu, lenguh ini.
***
7 Oktober 2017.
Perkhemahan selama dua malam mereka berjalan lancar. Semuanya menggembirakan. Sesekali menikmati ketenangan alam di dalam hutan sangat mendamaikan jiwa setelah berbulan-bulan bertungkus-lumus dengan pelajaran di kolej.
“Weh korang! Dah siap kemas semua ke? Pastikan takda barang tertinggal,” ujar Nazim sambil mencekak pinggang dan memandang rakan-rakannya yang lain. “Kita dah lewat 2 jam daripada jadual asal. Cepat! Cepat! Cepat! Jangan dok terhegeh-hegeh!” Tambah Nazim tegas. Lagak seperti seorang ketua komandan memberi arahan kepada platun-platunnya.
Daus dan Adli membuat gaya seperti mahu muntah – memerli tindak-tanduk Nazim yang perasan bagus. Bobo yang barangnya sudah siap dikemas hanya duduk sambil melukis pada tanah dengan menggunakan ranting.
“Aku rasa tak sedap hati la,” gumam Bobo perlahan.
Nazim yang terdengar kata-kata Bobo beralih mendekatinya. “Tak sedap hati apanya? Dah, dah. Kita nak balik dah ni.”
***
Ketika sudah separuh perjalanan mereka turun, suasana hutan semakin bertukar gelap. Di celahan dedaunan kelihatan awan gelap mulai berarak. Cahaya yang turun menyinari bumi semakin malap dan suram.
Kegelisahan terpancar pada wajah 4 orang sekawan tersebut. Perjalanan turun dipercepatkan. Langkahan semakin laju. Suasana hutan menjadi senyap sunyi. Hanya kedengaran nafas mereka – kasar.
Mereka tahu jika hujan mulai turun, trek akan menjadi sangat licin. Ditambah dengan ada sesetengah bahagian trek yang curam. Sangat membahayakan jika tidak berhati-hati.
Ketika mereka melalui satu tebing yang sangat tinggi, semuanya cuba mengelak untuk memandang ke lembah di bawah. Tebing tersebut kira-kira 50 meter tinggi. Perasaan gayat mencengkam fikiran.
Masing-masing memegang tali keselamatan ketika bergerak meniti tebing curam tersebut. Sayup-sayup kedengaran bunyi guruh daripada arah puncak bukit. Guruh yang sangat panjang tanpa henti.
Mereka yang mulai berasa pelik dengan keadaan itu mula berhenti bergerak dan menoleh ke arah puncak bukit. Bunyi guruh itu semakin lama semakin kuat disertai dengan bunyi ranting patah.
Tiba-tiba kelihatan kepala air turun dengan sangat laju menghala ke arah mereka membawa bersama tanah, ranting dan tunggul kayu. Adli, Daus, Nazim dan Bobo terpempan. Mereka hanya terbata di situ melihatkan kepala air yang kelihatannya seperti segerombolan kuda perang ingin melanggar benteng musuh.
Dalam sekelip mata mereka terus dihentam dan dibawa bersama jatuh ke lembah yang curam.
***
“Aduhhhhhhhh…”
“Tolong! Tolonggggg!”
Terdengar erangan dan minta tolong daripada bawah tebing. Dentuman guruh dan hujan yang mulai turun dengan lebat menenggelamkan terus suara mereka.
“Adli! Daus! Bobo!!!” Pekik Nazim.
“Ye aku kat sini!” Satu suara menjawab panggilan Nazim.
“Sapa tu? Adli ke? Aku datang kat kau sekarang.”
“Ye aku Adli. Cepat sikit! Kaki aku sangkut dalam tanah!”
Nazim menghampiri Adli. Separuh badannya telah tertimbus dalam selut. Dengan segera Nazim mengorek selut sehingga membolehkan Adli keluar. Nasib baik selut itu lembut, mudah untuk mengorek dan melepaskan Adli keluar.
“Erghhhhhh….”
Satu suara erangan kedengaran dari arah sebalik pohon besar. Nazim dan Adli berjalan laju ke arah suara itu dan lantas menemui Daus yang sedang berusaha mengangkat tunggul kayu yang menimpa pahanya. Daus yang terperasan kehadiran dua orang rakannya itu terus bersuara. “Weh tolong aku angkat! Kaki aku tersepit ni!”
“Bobo mana?”
“Tak tahu.”
“Bobo! Bobo! Bobo! Bobo!”
Mereka berterusan memanggil Bobo sambil mencari-carinya di sekeliling kawasan lembah itu. Namun panggilan mereka tidak bersahut. Perasaan risau dalam hati mereka semakin menggunung.
“Kita terus cari Bobo. Kalau tak jumpa, kita bermalam di sini dulu,” Nazim memberi arahan.
Sepanjang hari mereka mencari di sekitar lembah dan terus memanggil namanya. Sehinggalah malam menjelang mereka terpaksa menhentikan pencarian. Lagipun masing-masing telah terlalu kepenatan.
Semua beg mereka telah hilang ditimbus selut melainkan satu karung beg yang mengandungi makanan dalam tin. Itu pun tidak banyak kerana mereka telah makan sepanjang dua malam berkhemah.
“Aku rasa… Bobo… dah…” belum sempat Daus menghabiskan kata-katanya Adli telah menyampuk. “Kau jangan fikir bukan-bukan! Esok sampai tengahari kita sambung cari dia.”
Akibat terlalu penat, mereka nyenyak tidur mati tanpa menghiraukan kesejukan malam. Malam itu suasana lebih sejuk kerana hujan masih renyai-renyai tidak berhenti sejak tengahari tadi.
***
8 Oktober 2017.
Sejak awal pagi mereka telah memulakan pencarian Bobo. Setiap persekitaran kawasan lembah itu diteroka mereka. Sehinggalah waktu menjelang tengahari, mereka terpaksa membuat keputusan yang berat iaitu menghentikan pencarian Bobo dan meneruskan perjalanan untuk meminta bantuan.
“Aku rasa bersalah sangat sebab paksa Bobo mengikut kita pergi berkhemah ni,” bergetar suara Adli. Air mata yang mengalir disekanya.
Masing-masing mendiamkan diri sepanjang mencari jalan pulang. Sekali-sekala terdengar sedu-sedan tangis kerana terkenangkan memori bersama rakan mereka itu. Manakan tidak, mereka berempat telah berkawan baik sejak daripada sekolah rendah sehinggalah sekarang.
“Kita kena cari makanan dah ni. Stok tinggal satu tin tuna ja. Sekali ja makan terus habis.” Nazim meluahkan kerisauannya. Perut masing-masing sudah lapar. Jika tak makan, pasti tiada tenaga untuk mencari jalan keluar.
Tatkala hari menjelang lewat petang, mereka tiba di suatu kawasan dusun yang terjaga rapi. Sangat bersih sehinggakan tiada satu pun daun kering di atas tanah. Pelbagai jenis pokok buah-buahan yang semuanya rendang-rendang belaka. Buahnya telah masak ranum menunggu masa sahaja untuk dipetik. Di sekeliling dusun pula dihiasi pepohon bunga yang berwarna-warni. Cantik. Bau harum sesekali menusuk hidung.
Mereka bertiga yang telah kelaparan mula memetik buah-buahan tersebut dan makan. Manakala sebahagian lagi dimasukkan di dalam karung beg sebagai bekalan.
“Aku rasa kita patut segera cari tuan dusun ini. Mungkin rumah dia ada kat sekitar sini. Boleh kita minta dia dapatkan bantuan untuk kita,” ujar Daus sambil mula berjalan laju. Dalam mindanya, cuma keselamatan Bobo yang paling dia risaukan.
“Kamu mencuri ya?”
Tiba-tiba mereka terdengar satu suara yang menegur daripada sisi kanan. Kelihatan pemuda berumur lingkungan 30-an berjalan ke arah mereka. Pakaiannya serba hijau beserta parang tersisip di pinggang. Juga membawa raga berisi buah.
“Sorry bang. Kami tak berniat nak curi. Kami lapar sangat. Lagipun kami nak minta bantuan. Kawan kami hilang masa hiking. Kami perlu menghubungi pihak pasukan keselamatan untuk bantuan.” Panjang lebar penerangan Daus terhadap pemuda itu.
“Hmmmm…” Pemuda itu memandang mereka berulang-kali dari atas ke bawah. Berkerut dahinya seolah-olah memikirkan sesuatu. “Siapa bawa kamu semua masuk ke sini?”
“Takda siapa. Kami tengah cari jalan pulang. Lepas tu sampai ke dusun ni,” ujar Daus.
“Ini sangat pelik. Manusia tak mungkin dapat masuk ke sini tanpa jemputan daripada bangsa kami.”
“Errr… Kami tak faham.”
“Untuk pengetahuan kamu semua, ini kawasan perkampungan bunian. Manusia tak akan dapat masuk tanpa ada jemputan daripada pihak kami.”
Ketiga-tiga mereka berpandangan sesama sendiri dengan mata yang terbuntang. Seolah-olah tak percaya mereka telah termasuk ke alam bunian.
“Ma...ma…maafkan kami. Kami tak sengaja masuk sini. Ka…ka…kami tak tau pun yang kami dah masuk perkampungan abang.”
“Aku nak kamu keluar sekarang sebelum yang lain-lain tahu akan kehadiran kamu. Kampung kami langsung tidak pernah bertoleransi untuk menerima kehadiran manusia. Kalau mereka yang lain tahu, aku yakin kamu pasti ditangkap dan disoal siasat.”
“Ba...baiklah. Kami pergi sekarang. Tapi boleh tunjuk arah ke pos renjer? Kami perlu dapatkan bantuan kecemasan.”
“Kamu telah tersesat jauh. Patah balik sebanyak 500 langkah. Kemudian ikut arah matahari terbit. Kamu akan sampai dalam masa 5 hingga 6 jam perjalanan. Jangan berjalan waktu malam, laluan bahaya. Banyak cerun.”
“Terima kasih bang. Kami minta izin untuk ambil buah ini boleh? Sebagai bekalan perjalanan kami?”
"Boleh saja. Tapi pastinya buah itu akan ghaib sebaik saja kamu semua melangkah keluar daripada sempadan kampung kami.”
Adli, Nazim dan Daus segera berpatah balik dan mula mengira langkah sebagaimana tips yang diberikan oleh pemuda bunian itu. Langkahan pantas mereka kadangkala terbantut kerana terpaksa melalui belukar tebal dan sedikit berbukit.
“Okay dah cukup 500 langkah kan? Kita bermalam di sini dulu. Dah pukul 7 dah ni. Senja,” cadang Adli kepada rakannya. Nazim dan Daus hanya mengangguk.
“Eh Daus. Buah yang kita ambil tadi ada lagi?” Tanya Nazim beriya-iya.
Daus segera mengangkat karung beg yang mengandungi buah. “Berat lagi! Jap aku buka check.”
Semua tersengih sebab bila karung itu dibuka masih kelihatan lagi pelbagai buah-buahan yang diambil tadi.
“Aku rasa abang tadi tu tipu kita la. Bunian la. Buah ghaib la. Puiiiii!!!” Radang Daus.
Kira-kira jam 8 malam ketika masing-masing berehat sambil menjamah buah yang diambil petang tadi, mereka dikejutkan dengan bunyi dengusan nafas yang kuat. Masing-masing menoleh mencari arah bunyi tersebut.
Perlahan-lahan dari sebalik belukar muncul seekor harimau berkepala manusia. Jarak hanya 3 meter sahaja daripada mereka. Segala rupa bentuknya dapat dilihat dengan jelas.
Mereka hanya membatu dengan tubuh masing-masing sudah menggeletar ketakutan. Ketika melintasi mereka, makhkluk itu hanya memandang dengan wajah yang bengis.
Belum sempat habis ketakutan melihat harimau jadian, tiba-tiba bergema hilaian tawa yang sangat panjang. Mereka bertiga berpelukan sambil mata meliar mencari pemilik hilaian tersebut.
Menyusul adalah bunyi kain seperti mengibas kuat dari arah atas. Mereka terlihat kain putih terbang dari satu pokok ke satu pokok. Kemudian kain itu turun dan berkibar di hadapan mereka.
Saat itu baru kelihatan bahawa itu bukanlah sekadar kain putih sahaja. Itu adalah seekor pontianak. Berwajah hitam buruk, rambut kusut mengerbang dan bermata merah saga.
Pontianak itu merenung mereka sebentar, kemudian mengilai ketawa dan terus terbang pergi menghilang di dalam kegelapan.
Tiga sekawan itu pula terus berhimpit dan berpelukan antara satu sama lain. Malam itu bermacam-macam bunyian yang mereka dengar. Bunyi mengilai, bunyi menangis, bunyi menyanyi yang mendayu dan pelbagai lagi bunyi yang sangat menyeramkan. Mereka memejamkan mata tidak mahu melihat sehinggalah tertidur.
***
9 Oktober 2017.
Selepas hampir 6 jam berjalan akhirnya mereka tiba di pos renjer. Kegembiraan jelas tergambar di wajah mereka. Air mata mengalir deras apabila mereka telah selamat tiba di destinasi.
Namun apabila ditinjau pos renjer tersebut, langsung tiada renjer yang bertugas. Dicari kawasan sekeliling tetap tiada sesiapa.
“Renjer tengah rehat kot? Sekarang pukul 12:50 tengahari,” ujar Nazim sambil melirik pada jam tangannya.
“Tak mungkin. Selalunya pos renjer ni 24 jam sentiasa ada yang bertugas. Takpa kita tunggu sekejap,” Adli mencelah.
Tatkala mereka sedang duduk berehat di luar pos renjer tersebut, mata Daus tertarik untuk membaca surat khabar semalam iaitu bertarikh 8 Oktober 2017. Muka depannya bertajuk “Tragedi Bukit Dingin”. Daus mengajak Adli dan Nazim turut sama membaca.
***
PERAK, Bukit Dingin – Kegembiraan empat orang sekawan untuk meraikan tamatnya peperiksaaan semester akhir dengan berkhemah di sini bertukar tragedi apabila tiga orang daripadanya maut.
Mereka yang maut dikenali sebagai Adli bin Azman, Firdaus bin Jaafar dan Nazim bin Daud kesemuanya berusia 23 tahun berasal daripada Kampung Segantang, Sepang, Selangor. Manakala seorang yang terselamat adalah Azrul bin Mokhtar, 23.
Menurut Azrul bin Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Bobo, ketika sedang menuruni bukit, mereka telah dilanda kepala air yang tiba-tiba turun dari arah puncak. Beliau sempat berpaut pada tali keselamatan manakala tiga orang lagi rakannya hanyut dan di bawa jatuh ke bawah tebing yang tinggi. Tebing itu berketinggian 50 meter.
Sebaik menerima laporan, operasi mencari dan menyelamat terus diaktifkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan berjaya menemui ketiga-tiga mayat mangsa di bawah tebing curam pada jam 12 tengah malam. Mayat mangsa terus di bawa turun dan di hantar ke hospital untuk dibedah siasat.
Kesemua mayat mangsa dijangka akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Kampung Segantang, Sepang kira-kira jam 1 petang esok.
***
Adli, Daus dan Nazim berpandangan sesama sendiri. Tiada sebarang kata yang terungkap. Adli melirik jam tangannya – pukul 1 petang!
Sayup-sayup bergema talqin sedang dibacakan.
Perlahan-lahan jasad mereka pun menghilang…......


-TAMAT-
Karya : DeeFen DF
Suntingan Gambar : DeeFen DF

Dapatkan novel terbaru SEGITIGA hasil tulisan DeeFen, Shizu dan Senyuman Perantau. Untuk keterangan lanjut sila lawati laman Facebook DeeFen.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

URBAN LEGEND (JAMBATAN PULAU PINANG) - Iskandar Zulfaqar


URBAN LEGEND : JAMBATAN PULAU PINANG
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF



“Aku bosan lah. Jom cerita hantu!”
Kata-kata Iza itu memecah sunyi malam di dalam bilik bernombor 302 di Kolej Kediaman Siswi sebuah universiti awam yang terletak di bahagian utara semenanjung tanah air. Kata-kata Iza itu juga memeranjatkan Aishah dan Nisa, dua orang rakan baik Iza yang selalu bersamanya.
Iza, Aishah dan Nisa merupakan penghuni bilik 302. Selain menjadi rakan sebilik, mereka bertiga turut berhubungan akrab antara satu sama lain. Setiap perkara akan mereka lakukan bersama termasuklah pergi ke Dewan Kuliah pada waktu pagi. Mereka bertiga juga turut berada dalam bidang yang sama. Hal itu menyebabkan mereka bertiga lebih rapat.
“Kau ni gila ke? Takutlah cerita hantu malam-malam macam ni.” Nisa mempertikai cadangan Iza untuk bercerita tentang kisah-kisah seram.
Sudah menjadi kebiasaan buat mereka bertiga untuk duduk di katil masing-masing pada waktu ini dan berbual mengenai pelbagai topik tetapi tidak berkaitan topik seram. Jadi, idea Iza untuk bercerita topik begitu adalah untuk memecahkan kebosanan mereka mencari topik untuk dibualkan.
“Cadangan kau tu okey juga, Iza. Lagipun kita tak pernah cerita hantu lagi kan. Sabarlah Nisa. Kita bercerita je. Takkan datang hantu tu kat kita.” Aishah tertarik dengan cadangan Iza dan bersetuju dengan cadangan itu.
“Yelah! Dah kau orang berdua setuju aku on lah.”
Aishah dan Nisa turun dari katil mereka dan duduk di atas katil Iza. Lampu bilik yang asyik memuntahkan cahaya telah mereka padam sebagai menambahkan lagi suasana seram bertepatan dengan cerita hantu yang bakal mereka dengarkan. Sebatang lilin dinyalakan oleh Iza sebagai satu-satunya sumber cahaya buat mereka. Suasana mulai sepi. Mereka berpandangan sesama sendiri, tergamam tidak tahu siapa yang akan mula bercerita terlebih dahulu.
“Kita nak bercerita je kan? Dah macam nak panggil hantu pula tutup lampu, pasang lilin semua ni. Ha ha ha!” Nisa sedikit pelik dengan tindakan rakan-rakannya itu.
“Kita buat macam ni baru lah seram. Baiklah! Aku akan mulakan cerita,” kata Iza.
Suasana sekali lagi sepi apabila Aishah dan Nisa terdiam kerana terlalu ingin mendengar cerita yang bakal Iza perdengarkan.
“Kau berdua pernah dengar tak urban legend?” tanya Iza.
“Aku tahu. Urban Legend tu adalah kisah-kisah hantu yang popular dan menjadi sebutan zaman-berzaman kan?” jawab Aishah
“Macam di sekolah asrama ada urban legend hantu bungkus dalam bilik study, hantu tanpa kepala dalam tandas cari kepala mereka, seriel killer bunuh budak-budak dalam asrama. Semua tu aku dah dengar. Bosanlah.” Nisa mula merungut.
“Ya! Betul jawapan kau berdua tu tapi urban legend yang aku akan cerita ni tiada kaitan dengan asrama. Ia berkaitan dengan sebuah jambatan yang menjadi mercu tanda negeri kita ini.”
“Maksud kau, Jambatan Pulau Pinang?” tanya Nisa.
“Ya. Jambatan Pulau Pinang,” jawab Iza.
Reaksi kaget jelas kelihatan pada wajah Nisa. Selama lebih 20 tahun dia hidup di negeri Pulau Pinang, ini merupakan kali pertama dia pernah mendengar bahawa jambatan yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar itu berhantu.
Nisa tinggal di kawasan tanah besar dan bersekolah di sebuah sekolah convent di bahagian pulau. Jadi, setiap hari dia akan melalui jambatan itu untuk pergi dan balik ke sekolah. Tidak pernah langsung dia mengalami perkara aneh atau misteri di atas jambatan itu.
“Kau biar betul, Iza? Aku dah bertahun lalu jambatan tu. Takda apa pun.” Aishah turut mempersoalkan perkara yang sama.
“Aku dengar cerita ni daripada arwah nenek aku sendiri. Aku tak pasti lah sama ada betul atau tak. Kau tahu tak bila jambatan tu dibina?”
“Aku tak pasti tahun dengan tepat tapi yang aku tahu jambatan tu dibina pada era 80-an. Kenapa?” Aishah semakin bersemangat ingin mendengar cerita tentang jambatan Pulau Pinang itu dengan lebih lanjut.
“Semasa proses pembinaan jambatan ni, memang banyak masalah berlaku, maksud aku masalah yang tak masuk akal. Semua orang dah buntu tak tahu nak buat apa sampailah suatu hari, pihak pemaju memanggil seorang pawang untuk menyelesaikan masalah ini.
Setelah berhubung dengan alam mereka, barulah tahu bahawa di lautan itu ada penunggu dan diperintah oleh ketua jin yang memerintah selat Melaka.”
“Okay kejap! Maksud kau jin pun ada ketua?” Aishah sekali lagi menyampuk.
“Ya. Jin juga mempunyai kerajaan sama seperti manusia. Di perut laut itu juga ada jin yang menyerupai seekor buaya berwarna putih. Buaya tu inginkan korban manusia untuk dijadikan santapannya setiap malam purnama, barulah dia benarkan proses pembinaan jambatan itu dijalankan.”
“Kau jangan main-main. Malam ni bulan purnama, Iza.” Sekali lagi penceritaan Iza diganggu Aishah.
“Kau boleh tak jangan kacau. Aku nak cerita ni. Okay aku sambung. Ada juga aku dengar bahawa setiap tiang konkrit yang dibina ini disumbatkan kepala manusia sebagai ritual menjamu jin tersebut. Semasa proses pembinaan dijalankan, ramai pekerja yang mati akibat kemalangan. Tapi yang sebenarnya mereka sengaja ditolak ke dalam laut untuk dijadikan santapan jin buaya putih tersebut.
Tiang konkrit paling misteri pada jambatan itu ialah tiang yang ke 56. Ramai dah nelayan termasuk bapa saudara aku sendiri yang lihat pusaran air berlaku di situ. Di dalam pusaran air itu akan kelihatan kelibat buaya putih tersebut. Bapa saudara aku pernah kena semasa dia turun ke laut untuk menangkap ikan dan kebetulan melalui tiang nombor 56 ini. Dia terpaksa laungkan azan untuk hentikan pusaran tersebut,” jelas Iza secara panjang lebar.
Aishah dan Nisa tergamam mendengar kisah urban legend di sebalik jambatan Pulau Pinang yang menjadi mercu tanda negeri Pulau Mutiara itu. Walaupun ceritanya agak tidak masuk akal tetapi seramnya mampu mendirikan bulu roma mereka.
“Betul ke ni? Maksudnya setiap hari aku lalu di atas timbunan mayat orang yang menjadi mangsa ritual. Begitu?” Nisa mula bersuara.
“Lebih kurang begitulah, Nisa kalau cerita ni betul. Ada satu lagi cerita yang aku dengar. Ada seorang pelancong negara luar telah dirasuk semasa menaiki bot melintasi jambatan Pulau Pinang. Setelah diubati dan sedar, dia menceritakan perkara yang dia lihat. Dia nampak kelibat jin setinggi langit di hadapannya. Laut itu hanya paras buku lali makhluk itu sahaja. Dia terus pengsan sebaik terlihat makhluk gergasi itu. Menurut ustaz yang merawatnya itu, jin gergasi itulah yang memerintah Selat Melaka. Untuk pengetahuan kau berdua juga, arwah nenek aku ada ajarkan mantera kepada aku untuk aku panggil buaya putih itu.”
“Cerita kau ni menarik tapi aku kurang percayalah. Takkanlah projek besar macam ni pun orang nak gunakan jin sebagai perantara.” Aishah mempertikaikan kebenaran cerita itu.
“Aku pun dengar dari mulut orang. Kalau orang tipu, aku pun tipulah,” kata Iza.
“Baik. Satu cara je nak tahu kebenaran cerita ini. Kebetulan malam ni bulan purnama, malam buaya putih tu berkeliaran mencari korban. Jom kita pergi ke jambatan dan berhenti kereta betul-betul atas tiang 56 tu. Aku nak tengok betul ke buaya putih tu wujud.” Aishah tiba-tiba membuka cadangan yang begitu memeranjatkan Iza dan Nisa.
“Kau dah gila ke? Jangan buat kerja bodoh. Bahayalah. Lagipun jambatan sunyi waktu sekarang. Takde orang nak lalu dah.” Nisa membantah keras cadangan itu.
Dalam riuh-rendah Nisa dan Aishah bertengkar, Iza hanya terdiam memikirkan cadangan yang disuarakan oleh Aishah itu. Mungkin juga benar cadangan Aishah itu. Jika cerita itu benar, maka dia akan melihat kelibat buaya putih yang diperkatakan itu, jika tidak benar, dia tidak akan melihat apa-apa.
“Aku setuju. Jom pergi sekarang!” Iza tiba-tiba bersuara sekaligus memaklumkan jawapannya kepada cadangan Aishah.
Nisa terpaksa bersetuju dengan suara majoriti dua orang rakan karibnya. Dia terpaksa juga mengikut mereka untuk pergi ke jambatan untuk melihat sendiri kewujudan buaya putih.
Jam telah melepasi pukul 3 pagi. Waktu inilah waktu kemuncak bagi jin-jin berkeliaran kerana manusia sedang nyenyak dibuai mimpi. Kereta Myvi milik Iza memecut laju meredah bayu pagi yang tiada henti-henti bertiup. Kebetulan juga universiti mereka terletak kurang 10 km daripada jambatan Pulau Pinang.
Setiap tiang konkrit jambatan itu mereka kira sehinggalah sampai ke tiang yang ke 56 yang terletak sudah mengunjur ke tanah besar. Jalan yang lengang memudahkan mereka untuk berhenti di bahu jambatan dan berdiri betul-betul di tepi laut.
“Kau tengoklah, Iza. Takde apa pun. Cerita kau tu tak betul lah. Ha ha ha! Bagi aku mantera tu. Biar aku baca untuk panggil dia.” Aishah menyakat Iza.
Walaupun pada awalnya hati Iza berat namun setelah dipaksa, dia terpaksa memberika juga mantera yang diajar oleh arwah neneknya untuk memanggil buaya putih itu. Iza menaip mantera itu di dalam telefon bimbitnya dan setelah selesai, dia menghulurkan telefon bimbitnya kepada Aishah.
“Kalam sakti aro bangsawa
Niang merilik sawo metera
Ayo sekalian alam tunduk
Tuanmu bitok jelma
Serahlah jiwo, serahlah segalanya
Salam meliling tuan aro”

Sebaik mantera itu selesai dibaca, angin bertiup semakin kencang sehingga hampir menerbangkan mereka. Iza dan Nisa terjatuh kerana tiupan angin yang terlalu kencang. Ombak di bawah juga semakin deras arusnya sehingga membentuk pusaran sebesar padang bola.
Di tengah-tengah pusaran itulah mereka terlihat seekor buaya putih berenang. Di hadapan mereka juga kelihatan lembaga hitam pekat yang tidak ternilai besarnya. Tingginya mencecah langit hingga menyebabkan mereka tidak terlihat wajahnya.
Pusaran ombak semakin laju dan tiupan angin semakin kencang. Aishah masih berdiri. Wajahnya tepat memerhati pusaran ombak tersebut tanpa memperdulikan Iza dan Nisa yang tidak henti-henti memanggilnya. Dia seolah-oleh dipukau dan tidak lagi sedarkan diri.
Ketika itulah Aishah berjalan ke hadapan dan terus terjun ke dalam pusaran air yang galak memutar. Tubuh kecil Aishah diratah rakus buaya putih yang sedia menantinya. Hanya tangisan dan jeritan Aishah didengar. Pusaran itu juga bertukar merah hasil daripada darah Aishah yang mencurah-curah akibat dibaham buaya putih itu.
Selang beberapa minit, pusaran itu hilang. Buaya putih serta lembaga bersaiz gergasi itu turut lenyap dari pandangan. Iza dan Nisa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di atas jambatan itu oleh seorang pemandu yang melalui kawasan itu. Kes kematian Aishah dikategorikan sebagai kemalangan dan misteri buaya putih itu kekal misteri sehingga ke hari ini.
-TAMAT-
Karya : Iskandar Zulfaqar
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Wednesday, 1 November 2017

THE DENTIST - Senyuman Perantau


THE DENTIST

====================
Sabtu, 28 Oktober 2017
Azri baru 3 bulan kerja sebagai kerani di Wisma Alvian. Boleh dikatakan setiap hari dia akan kerja lebih masa untuk menambahkan pendapatan. Maklumlah masa bujang seperti ini merupakan peluang emas untuk mengumpulkan sebanyak pendapatan. Dia masih single dan tinggal berseorangan. Tak sibuk dengan perangai wanita atau perempuan lagi. RIMAS!

Malam tu, seperti kebiasaannya, Azri akan singgah sebentar di 7eleven untuk membeli setin Vanilla Coke, secawan maggi asam laksa dan coklat Kitkat. Ianya sudah menjadi norma sejak 3 bulan bekerja. Mungkin penat untuk singgah makan di kedai, ataupun lebih selesa sebegitu. Tak sihat? Paling kurang aku tak merokok, Azri memujuk hatinya.
Azri memandu pulang ke rumahnya yang terletak di Bahau. Dengan jalan yang mula lengang, dia beransur meninggalkan bandar Seremban. Sesekali apabila tiba di lampu isyarat merah, dia akan menghirup maggi tadi sambil mulutnya mengikut lenggok lagu mendayu-dayu "Aishah" oleh Projector Band.
Seusai tiba di rumah, Azri terus berbaring di sofa rumah sewanya itu dan terlena. Mandi tidak, apatah lagi gosok gigi. Mujur solat Isya' sudah dilaksanakan di tempat kerja. Sedang asyik Azri melayari mimpi indah, tiba-tiba gigi kirinya berdenyut-denyut. Aduh!!!Bencana ni!!! Arghhh, celaka betul!! Malahan ada wanita memberi gambaran sakit beranak pun tertahan lagi jika dibandingkan dengan sakit gigi.
Sakit gigi bukanlah sakit biasa yang boleh ditahan-tahan, hanya yang pernah merasa sahaja memahami! Azri bingkas bangun, "Aduh, tak boleh jadi ni, aku mesti cari klinik gigi, kalau tak, tak dapat lelap ni."
Dia memecut Wiranya mencari klinik gigi pada pukul 2 pagi! Sedang dia memandu melintasi kawasan belukar, dia terlihat sebuah bangunan yang tersergam indah, tampak kemas, tertulis dihadapannya, 'Klinik Pergigian Aishah'.
"Eh, bila pulak ada klinik gigi kawasan ni? Cerah lagi tu, buka lagi kot, nak ambil untung lebih la tu," Azri bermonolog.
Azri memberhentikan kereta di seberang jalan besar, dengan berjalan kaki menuju masuk ke dalam klinik gigi itu. Sunyi. Tiada pesakit lain. "Rezeki aku la ni." Azri tersengih. Kalau pergi Hospital Kerajaan malam-malam ni, sah kena tunggu giliran kes-kes yang lebih utama.
Tiba-tiba satu suara menyapa dia, "Ye encik Azri. Silakan masuk ke bilik rawatan." Azri tergumam terkejut kerana tanpa memperkenalkan dirinya, doktor perempuan itu mengenali namanya. "Bagus klinik ni!" Puji Azri dalam hati. Wajah Dr. Aishah belum sempat dilihat olehnya kerana masih terlindung kemas di sebalik topeng.
Kecing!Kecing!
Bunyi hiasan siput pantai bergeser sesama sendiri apabila Dr. Aishah melintasi pintu. Fuh, boleh tahan juga hiasan klinik ni. Klasik. Azri mula resah apabila diminta berbaring di atas kerusi rawatan. Jelas terpancar wajahnya yang semakin ketakutan. Biasalah jumpa doktor gigi kan.
"Awak takut ke? Tiada apa yang nak ditakutkan wahai pemuda tampan," Dr. Aishah memujuk sambil menarik turun topeng mukanya, lalu memaparkan keseluruhan wajah. Wajah doktor gigi perempuan di hadapannya, sangat menyenangkan, dengan wajah yang ayu, rambut separas bahu, kemas dirapi, cukup membuatkan hati Azri lega daripada kesakitan yang ditanggung. Tertera nama Dr. Aishah di tag namanya.
"Doktor, saya sakit belah..."
"Belah kiri kan?" Dr. Aishah menyambung. Azri terkejut.
"Buka mulut, saya nak tengok." Azri dengan penuh rela hati terus membuka mulut seluasnya.
"Dr. Aishah, jangan buat cucuk kuat-kuat ye. Saya memang fobia dentist."
"Jangan risau la, awak mesti tak rasa sakit. Saya akan cucuk awak dengan kelembutan. Penuh kasih sayang. Bak drama melayu sekarang, I Love You, Mrs. Dentist." Dr. Aishah terus melemparkan senyuman.
"Kalau macam tu, lega hati saya, dah la cakap baik-baik. Lawa lagi. Terima kasih Dr. Aishah." Puji Azri tanpa segan silu.
"HAHAHAHA!!! REZEKI AKU MALAM NI DAPAT DARAH MUDA, SEDAP!!!" Dr. Aishah yang tadinya ayu sudah bertukar rupa, di hadapan Azri terlihat satu lembaga perempuan hodoh muka menggerutu dengan rambut mengerbang sedang menghisap nanah daripada gusi Azri yang membengkak. Baju whitecoat putih tadi bertukar rupa serta-merta. Compang-camping bersama beberapa tompokan darah. Tag namanya tercampak pecah di lantai klinik.
Mata Azri masih terpejam, disangka akan diberi ubat bius sebelum cabut. Sejurus mendengar hilai tawa yang garau, Azri menbuntangkan matanya. Jelas kesakitan yang dirasai bukanlah dari suntikan jarum, akan tetapi dari taring 'Dr. Aishah.'
"Ya Allah. Makhluk apa ni. Mana Dr. Aishah yang cantik tadi??"
"Dr. Aishah apa? Aishah Sinclair?? Aishah Ahmad?? Aishah Azman?? Aishah Aziz?? Hahaha!"
Azri cuba meronta dan menepis. Kudratnya bagai sudah tiada. Tidak berdaya untuk menepis kepala Dr. Aishah yang galak menghisap nanah dan darah dari gusinya. Tangan Dr. Aishah yang berotot memeluk badan Azri erat.
"TERIMA KASIH AZRI!!! BYE.."
"Aduhhhhh...sakitttt".. Suara jeritan memecah hening malam itu..
Tubuh Azri terkulai layu. Darah merah masih menitis membasahi rumput. Matanya terbeliak. Azri menghirup udara-udara terakhir. Tiada lagi klinik gigi yang tersergam indah. Cuma hanya tinggal bangsal kayu kosong. Bangku lama yang pecah dan rosak. Tiada lagi Dr. Aishah.
------
Ahad, 29 Oktober 2017
"Syafiqah, kau nampak tag nama aku tak? Last aku nampak Jumaat lepas. Lepas oncall malam." Soal Aishah.

"Ala, pagi tu kan kita pergi jogging area jalan lama tu. Kau bawa beg sandang oncall sekali kan??" Balas Syafiqah.
"Aahla. Mungkin. Aduh. Tercicir la tu. Jom lepas sarapan kita pergi sana."
"Beres guu.."
Tok! Tok! Tok! Pintu rumah diketuk.
Kriekkkk!
"Ya Encik, ada apa-apa yang boleh saya bantu??" Wajah Aishah kebingungan.
"Assalamualaikum, selamat pagi. Saya ASP Hafiz Yaakob. Saya ingin berjumpa dengan Dr. Aishah sebentar?"
"Ya. Saya Dr. Aishah. Kenapa Encik?"
"Awak dikehendaki ke balai, untuk membantu satu kes bunuh. Kami menjumpai tag nama awak disamping mayat yang ditemui."
"Tapi Encik.... Apa salah saya??" Wajah Aishah pucat.
-----
Ahad, 4 November 2017
"Eh. Gigi aku sakit ni. Jom pi klinik gigi. Teman aku sat. Cabut dapat MC ooo!" Pujuk Hafizul.
"Mana ada klinik gigi malam-malam ni. Hang ni pun. Tak kan nak pi kecemasan kot. Hang ni tahan la sikit, esok kan ada." Omel Hadid sambil menggenggam kemas stereng kereta.
"Wah. Gila baq hang. Tengok aku baru ja sebut. Dah ada klinik gigi depan tu kan? Aku kata dah. Aku ni bertuah, haha!"
"Aik. Biaq betoi klinik private bukak sampai pukul 3 pagi?"
"Dah. Dah. Hang berenti sat, aku pi masuk sat, cabut gigi. Nak pelik apa woi zaman la ni. Duit mahai. Kena cari rezeki lebih la, hang ni pun. Kolot." Hafizul tergelak besar sambil mengatur langkah menuju...
"Klinik Pergigian Daisy"
-------
Sentiasa membuat pemeriksaan gigi paling kurang pun setahun sekali.
Mencegah lebih baik daripada mengubati. 
Prevention is better than cure. Wiqayatun Khairun Minal I'laj.

-----
Sila dapatkan buku SEGITIGA sekarang! Pre-order pertama sudah ditutup. Nantikan pengumuman kedua untuk menempah SEGITIGA!
Hasil penulisan aku @ SenyumanPerantau SP, deefen dan shizu. Dapatkan segera😉

-tamat-


Gambar: #kamenrider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

AYAM PANGGANG - Xander Xavier


AYAM PANGGANG
karya oleh Xander Xavier

=====================

“Ayam panggang Wak Nor ! Ayam panggang Wak Nor ! Ayam panggang Wak Nor !” Rosyam cuba menarik perhatian pelanggan-pelanggan yang lalu-lalang di hadapan gerainya.
Inilah rutin Rosyam setiap kali dia cuti pada hari sabtu. Sebenarnya dia bekerja sebagai jururawat bahagian diabetik di klinik kesihatan dan hanya berniaga ayam panggang sebagai satu-satunya penerus legasi keluarga. Senang kata, Rosyam berniaga hanya sekadar ‘suka-suka’. Namun apabila ekonomi mulai meleset dan harga barang semakin naik, Rosyam mempunyai hasrat untuk meluaskan lagi perniagaannya ini.
Satu demi satu ayamnya dibeli oleh pelanggan. Hanya tinggal beberapa ketul saja lagi yang masih tercucuk dengan besi di atas api. Rosyam duduk di bangku sambil merenung nasibnya. Dia memikirkan anak-anak yang masih bersekolah. Si sulung yang bakal menduduki SPM dan bayi yang akan dilahirkan oleh isteri tercintanya tak lama lagi. Pasti banyak belanja yang akan dikeluarkan.
“Bang ! Bang !” Rosyam tersedar daripada lamunannya. Dia melihat gadis muda yang kurus kering dan tinggi lampai berdiri dihadapan gerainya.
“Ye dik. Adik nak beli ayam panggang ke ?” Rosyam bertanya kepada gadis itu.
“Ha’ah bang. Takkan nak sidai kain pulak dekat kedai abang ni. Saya nak semua boleh ?” gadis manis itu berseloroh.
“Eh, boleh,” Rosyam membungkuskan ayam panggang yang berbaki 5 ketul tadi dan memberikannya kepada si gadis yang sedia menunggu.
Baru sahaja Rosyam menghulurkan plastik berisi ayam panggang, gadis itu segera merampas dan makan dengan lahap dalam keadaan berdiri. Gelojoh, tidak kena dengan mukanya yang ayu. Malah orang yang lalu-lalang juga sempat menoleh ke arahnya. Segala tulang-temulang juga digigit dan diratah.
“Dik, pelan-pelan nanti tercekik. Semua sekali RM 10.00,” risau juga dia kalau-kalau gadis itu tidak bayar ayam yang telah dimakannya tadi.
“Ok bang. Bang, saya ada satu idea. Apa kata abang berniaga dekat Taman Melati,” gadis tadi menghulurkan not RM 10.00.
“Taman Melati yang banyak pokok besar-besar tu ? Tak nak lah… Situ dah ramai orang berniaga ayam panggang macam abang. Nanti tak lakulah ayam abang,” Rosyam memikirkan faktor persaingan yang mungkin akan berlaku.
“Eh… Abang dengar dulu saya cerita ni. Walaupun dekat situ ramai orang jual ayam panggang macam abang, tapi ayam panggang diorang semua habis, bang. Tak pernah tak habis. Kalau abang nak cuba, datanglah khamis malam jumaat. Mesti habis punya ! Kalau abang nak saya boleh tolong. Ni nombor telefon saya,” gadis itu menambah lagi. Dia menghulurkan sekeping kertas yang sudah tertulis nombor telefonnya.
“Yelah… Nanti abang fikir-fikirkan ye…,” Rosyam menyambut huluran kertas terbabit. Ukasha nama gadis itu rupanya.
Semasa memandu pulang ke rumah, Rosyam berfikir panjang tentang perniagaannya dan perkara yang diperkatakan oleh gadis tadi. Memikirkan nasib anak-anaknya, akhirnya dia mengambil keputusan untuk berniaga di Taman Melati. Rosyam menelefon Ukasha bagi memberitahu keputusan yang telah dibuat dan Ukasha sedia memberikan pertolongan untuk mencari tapak perniagaan untuknya. Dia perlu berusaha keras demi menanggung keluarga. Dia adalah ketua keluarga. Dia tidak mahu anak-anaknya meminta-minta. Semangat harus dicekalkan demi anak-anak.
Petang khamis itu, Rosyam bergerak seawal jam 6 petang. Walaupun dia baru pulang dari klinik jam 5.30 petang tadi, namun dia gagahkan juga. Segala persiapan ayam yang telah diperap, arang, rempah-ratus dan peralatan-peralatan lain diangkut masuk ke dalam van putih yang hanya dikhaskan untuk kegiatan perniagaan. Van ini peninggalan ayah Rosyam sebenarnya.
Dia hanya sempat solat dan tukar pakaian sahaja tadi. Dia harus segera, takut- takut tempat yang telah ditetapkan dengan gadis hari itu diambil orang pula.
Sesampainya Rosyam di Taman Melati, dia melihat ramai peniaga ayam panggang yang lain sudah mula menpersiapkan barang dagangan mereka malah sudah ada yang berjual-beli pun. Rosyam memberhentikan van yang dipandunya apabila terlihat Ukasha di bawah sebatang pohon besar yang tegak berdiri. Rosyam keluar daripada van.
“Assalamualaikum, lama tunggu? Ni ke tempat abang meniaga nanti?” Rosyam memulakan bicara.
“Iye… Inilah tempat yang akan menebalkan poket abang. Okeylah, dah nak maghrib ni. Saya balik dulu ye…,” Ukasha berlalu.
“Tempat ni nak bayar berapa ringgit ?!” Rosyam menjerit ke arah Ukasha yang semakin menjauh.
“Free of charge!” Ukashah menjerit kembali.
Rosyam merasa hairan. Selama ini kalau dia berniaga di tepi jalan sekali pun, pasti akan dikenakan bayaran tapak takut juga disita nanti tapi dia peduli apa, percuma itukan lebih baik. Dia tersenyum sendiri.
Lamunannya terhenti apabila azan maghrib berkumandang. Rosyam segera mendirikan payung dan memasang kain rentang ‘Ayam Panggang Wak Nor’ yang wajib ada di mana sahaja dia berniaga.
Setelah mendirikan solat maghrib di sebelah van, dia memulakan sesi perniagaan. Pada mulanya hanya sedikit sahaja pelanggan yang datang membeli. Dia mulai bimbang. Adakah dia mengambil keputusan yang salah. Rosyam menjenguk ke kedai lain. Kelihatan lebih kurang sama sepertinya juga. Dia menghampiri peniaga di sebelah gerainya.
“Assalamualaikum, bang,” Rosyam mengucapkan kalimah suci sebagai pembuka bicara.
“Waalaikumusalam, ye kenapa ? Kau dah tahu ke ?” Lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan pertanyaan yang pelik.
“Tahu apa bang ? Saya Rosyam, peniaga baru. Saya nak tanya sesuatu boleh ?” Rosyam pelik namun dia teruskan niatnya untuk bertanyakan sesuatu.
“Ooo… Kau tak tahu rupanya. Ingatkan kau dah tahu. Aku nampak kau solat tadi, aku ingat kau nampak. Aku dengan member aku tak solat, sebab tu kami tak nampak atau kena kacau. Kami pun dah sama jahat macam benda tu. Hahahaha! Nama aku Jufri. Panggil aku Jup. Nak tanya apa ni ? Cepat sikitlah,” kedengaran sedikit kasar di telinga Rosyam akan perkataan yang dilontarkan Jup itu. Galak pula gelak ketawanya tadi.
“ Astaghfirullah… Mana boleh macam tu, bang. Kita orang Islam kena solat. Saya nak tanya pelanggan memang macam ni ke tiap-tiap malam ? Sikit je,” Rosyam cuba menahan sabarnya.
“Ha’ah. Tapi malam nanti banyaklah. Kau tunggu dalam pukul 11 sampai 3. Aku nak ingatkan kau kalau nak dapat duit dan bukannya daun, kau contohilah kita yang ada dekat sini dan jangan campur urusan aku. Kubur masing-masing,” Jup yang tadinya duduk bangkit berdiri menghampiri Rosyam dengan mata yang terbuntang.
“Pasal kau budak baru, aku maafkan kau dan aku bagi kau satu klu. Kita dekat bawah pokok kekabu, jangan tengok atas,” Jup menambah lagi.
Rosyam berundur dan kembali ke gerainya. Hatinya mengerutu. Bukan sahaja kerana tidak faham dengan perkara yang cuba disampaikan oleh Jup tetapi juga kerana keadaan peniaga-peniaga yang tidak solat.
“Memanglah kubur masing-masing. Tapi tanggungjawab aku untuk tegur kau. Manusia oh manusia,” Rosyam mengomel sendiri. Dia terpandang satu susuk tubuh orang tegak berdiri di hadapan gerainya.
“Eh… sorry sorry. Terberangan pula tadi. Adik nak apa?” Soal Rosyam dengan muka yang manis bagai disimbah gula.
“Bang…. Ayam 5, bang…,” gadis dihadapannya meminta.
Entah kenapa suara itu kedengaran seram di telinga Rosyam. Terus mati senyuman di bibir Rosyam. Tambahan pula dengan wajah gadis itu yang pucat dan bibirnya yang terlebih merah daripada manusia biasa, menambah keseraman. Rosyam cuba bersangka baik walaupun bulu romanya mencacak naik. Mungkin gadis itu memakai gincu Izara Aishah kot. Rosyam menghulurkan bungkusan 5 ketul ayam. Gadis itu kembali menghulurkan not RM 10.00.
“Terima ka…,” gadis tadi sudah hilang saat Rosyam memasukkan duit tadi ke dalam beg di pinggangnya.
Memang betul seperti yang disampaikan oleh Jup, pelanggan mula ramai dan semakin ramai pada lewat malam. Tapi, kesangsian Rosyam semakin membuak-buak apabila pelanggan yang datang itu perangainya hampir sama dengan yang pertama tadi dan ada juga yang datang berkali-kali. Adakah kerana ayam panggang Wak Nor yang terlalu sedap atau memang ada yang tidak kena?
Malam itu, Rosyam amat gembira ayamnya habis dijual. Itupun masih ramai yang datang nak membeli. Dia merancang untuk menambah jumlah ketulan ayam minggu hadapan. Dia balik dengan gembiranya sehingga ditegur oleh isterinya. Dia berhasrat memberi isterinya duit untuk beli bedak muka seperti yang dihajatkan. Namun bila dia mengeluarkan duit daripada beg pinggangnya dia terkejut.
"Eh, mana duit banyak-banyak tadi?" Rosyam terkebil-kebil mengeluarkan daun-daun kering dari beg pinggangnya. Hanya beberapa keping duit sebenar saja yang ada. Itupun tak sampai seratus ringgit.
"Mustahil, masa abang ambil duit tadi, memang betul duit ke abang kena pukau? Tak mungkin juga," bebel Rosyam di hadapan isterinya yang sedikit kecewa.
Dia tak puas hati, minggu seterusnya dia kembali. Kali ini dia akan berhati-hati agar tidak dipukau lagi. Ayamnya laku keras masakan dia lepaskan peluang rezekinya di sini. Dia cuba bertanyakan hal ini kepada Jup, namun jawapannya masih sama seperti pesanannya pertama kali mereka berjumpa. Rosyam tidak tergamak meninggalkan solat semata-mata untuk wang. Lagi pula apa kena-mengena duit yang bertukar jadi daun dengan solat? Solat itu tiang agama. Perkara pertama yang akan dihisab di alam yang satu lagi nanti. Dia hanya mampu berdoa agar Jup diberikan hidayah.
Seperti minggu lepas, minggu ini pun gerainya meriah. Tak cukup tangan dia melayan pelanggan. Tiada perkara pelik yang berlaku sepanjang meniaga malam itu namun setibanya di rumah, bila duit dikira Rosyam menerima hasil yang sama iaitu daun-daun yang kering.
Perkara ini merugikan Rosyam kerana peniagaan malam ini dia mengeluarkan modal dua kali ganda atas permintaan laris ayam panggangnya. Kini Rosyam semakin kusut, dia ada menghubungi Ukasha? Taliannya juga sudah ditamatkan. Hilang tanpa dapat dikesan. Rosyam pernah terlintas untuk membuat eksperimen, betul ke yang diperkatakan oleh Jup mengenai tidak solat itu? Arghhhh bisikan syaitan.
Rosyam membuat keputusan untuk mencuba lagi kali ketiga. Malam jumaat itu lebih meriah dari dua minggu lepas namun malam ini lain macam sedikit. Lebih kurang dalam jam 1 pagi entah mengapa angin bertiup kuat lain daripada biasa, mungkin hendak ribut. Pelanggannya masih berkunjung tidak berhenti dari tadi. Setelah habis pelanggan terakhirnya, dia duduk di belakang van. Semput. Penat. Ayamnya sudah habis terjual. Dia segera berkemas.
Saat dia membongkok untuk memasukkan peralatan-peralatan ke dalam van, Rosyam merasakan ada sesuatu yang jatuh hampir di belakangnya. Dia menoleh ke belakang, tiada apa pun yang pelik. Rosyam kembali mengemas. Kali ini sesuatu mengenai belakang badannya. Dia berdiri dan menguis-nguis belakangnya sambil memusingkan arah badannya. Saat diperhatikan betul-betul dia terperanjat. Tulang? Dari mana datangnya tulang-tulang ini?
Rosyam tidak pernah buang tulang ayam merata-rata kerana dia tahu tulang adalah makanan jin. Terngiang-ngiang di telinganya pesanan Jup.
‘Kita bawah pokok kabu. Jangan tengok atas’
Hatinya memberontak, matanya gatal untuk memandang juga ke atas. Perlahan-lahan dia mendongakkan kepalanya. Dia melihat beberapa kain putih tergantung di beberapa dahan pokok. Dia mengecilkan kelopak matanya. Lama diperhatikan kain itu tiba-tiba dia melihat sesuatu berwarna merah yang kelihatan seperti mata.
“Allahu Akhbar!” Rosyam tahu itu bukanlah kain biasa. Itu PONTIANAK!
Rosyam segera melipat payungnya dan mencampakkan segala peralatan yang lain ke dalam van. Saat dia menghidupkan enjin van, kedengaran suara perempuan mengilai daripada tingkap di sebelahnya. Dia menoleh ke sisi.
Ukasha?!
Namun wajah Ukasha amat mengerikan. Rambutnya mengerbang, giginya bertaring panjang, mata yang semerah biji saga!
Mulut Rosyam tidak henti-henti membaca doa termasuklah doa makan dan doa sebelum tidur dia tersasul. Dengan segera dia menekan pedal minyak dan meninggalkan kawasan tersebut. Tak cukup dengan itu juga, sesekali dia memandang ke sermin sisinya pontianak itu masih mengejar van Rosyam dan dia terus menekan punat pemain cakera padatnya yang mempunyai CD bacaan yaasin. Dia juga melaungkan azan dengan kuat separa menjerit kerana takut dikejar sehingga ke rumahnya. Syukur sebaik sahaja dia sampai kelibat pontianak itu tidak lagi mengekorinya. Pucat lesi wajah Rosyam disambut oleh isterinya.
Esoknya baru diceritakan pada isterinya. Dalam bertahun-tahun dia meniaga ini kali pertama dia menghadapi perkara seram sebegini. Trauma, fobia sehingga beberapa hari dia demam panas.
Seminggu kemudian, Rosyam berada di klinik sedang mengemas rekod-rekod pesakit. Telinganya menangkap perbualan antara dua orang jururawat wanita.
“Ifa kau nak tahu tak ? Dulu kan ada orang jual ayam panggang dekat Taman Melati yang macam pesta tu kan? Sekarang dah tinggal sikit tau. Yang sedap semua dah takde,” kata jururawat itu kepada sahabatnya.
“Ha’ah lah. Aku ada dengar juga tau. Tapi yang aku dengarlah, ramai yang berhenti berniaga dekat situ sebab kena kacau dengan Pontianak. Yang peliknya, kenapa sepupu aku Jup dengan dua tiga orang kawan dia masih bertahan?” Pertanyaan itu dibiarkan misteri.
Rosyam yang kantoi mencuri-curi dengar perbualan itu tersenyum kelat. Dia segera lari dari jururawat itu. Pengalamannya dengan pontianak itu cukup membuatkan dia serik untuk meniaga di situ lagi. Biarlah dia berniaga di pasar-pasar malam sahaja daripada berniaga di tempat begitu. Lagi pula, dia lebih sayangkan solatnya. Sungguh dia lebih sayangkan imannya daripada wang.
P/S : Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. Tiada kena-mengena dengan Rosyam Nor mahupun Ifa Raziah. Hehehe ! Pesanan saya ialah solatlah kamu sebelum kamu disolatkan. Walaupun nampak klise, tapi inilah yang utama. Wang bukan segalanya. Janganlah kerana wang kita jadi gelap mata dan gelap hati. Akhir sekali, ambillah yang jernih dan buang yang keruh daripada karya ini. Sekian… -XX
========================

Suntingan : #kamenrider
Gambar: Xander Xavier

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan