Sunday, 9 July 2017

MISTERI LEBUHRAYA SENAI DESARU (E22) - Kamarul Ariffin Nor Sadan


Bagi yang tak tahu, lebuhraya sepanjang 77 km yang merentasi selatan Johor ini menghubungkan Senai di barat dan Desaru di timur. Mula dibuka pada tahun 2009 namun sehingga kini, jumlah kenderaan yang menggunakan lebuhraya ini belum mencapai kapasiti anggaran.
Pendek kata, masih lengang.
Ada banyak faktor yang menjadi polemik berkenaan sambutan dingin para pengguna jalanraya, antaranya ketirisan dana, kualiti turapan dan harga bayaran tol yang tinggi, namun di kalangan orang tempatan, perkara yang sering dibisikkan adalah tentang kejadian paranormal.
Aku tak mahu cerita apa yang disampaikan dari mulut ke mulut kerana ia entah betul entah tidak. Aku cuma berhasrat kongsikan pengalaman aku sebagai salah seorang pengguna tetap lebuhraya misteri ini.
11 malam, Khamis, 5 Mac 2015.
Aku ingat benar tarikh itu kerana malam itu bulan mengambang penuh. Namun hari tersebut bukan purnama biasa. Malam itu Lunar Apogee. Pernah dengar fenomena Lunar Perigee(Supermoon) dimana bulan mengambang lebih besar daripada biasa?
Lunar Apogee adalah fenomena berlawanan dengan dengan fenomena Lunar Perigee, iaitu bulan penuh ketika jaraknya paling jauh daripada bumi.
Pada malam istimewa itu, aku memandu di LSD arah timur, menuju ke arah Pasir Gudang. Walaupun bulan purnama malam itu boleh dikatakan gelap. Remang cahaya bulan tak begitu cerah seperti purnama lain. Tambahan pula tiada kenderaan lain di atas lebuhraya, arah timur mahupun barat.
Sunyi.
Ketika melewati kilometer 33(KM33) tiba-tiba aku ditenggelami perasaan seram. Jantung aku berdebar-debar. Mulai KM33-KM37, LSD merentasi sebuah kawasan tadahan air yang membekalkan air bersih pada penduduk Johor Bahru. Ia yang terbentuk apabila air Sungai Layang dibendung oleh Empangan Sultan Iskandar.
Selain Jambatan yang merentasi Sungai Johor, kawasan yang dikatakan paling keras di LSD adalah di sepanjang 4 km ini. Jika kau lewati kawasan in tanpa pernah dengar tentang kisah-kisah angker mengenainya, kau tetap akan rasa suasana yang kurang tenteram.
Klaustrofobik.
Mungkin kerana sepnjanag 4 km ini dibenteng oleh tembok konkrit yang merupakan sebahagian konstruksi Pollutants Removal System(PRS). Seandainya berlaku kemalangan di kawasan ini yang melibatkan limpahan bahan beracun seperti minyak atau bahan kimia, sistem ini akan mengelakkan bahan tersebut daripada mencemar tadahan air bersih.
Sepanjang memandu di bentangan lebuhraya yang dilabel berpuaka ini, aku hanya fokuskan penglihatan ke atas tarmak. Bimbang jika curi pandang sana-sini, ternampak pula sesuatu yang tak diingini. Lagipun aku perlu berhati-hati kerana lebuhraya ini beralun dan berlubang-lubang macam permukaan bulan.
Sebaik sahaja aku melepasi KM35, aku terlihat segitiga merah di lorong kecemasan, seraya aku menekan brek. Entah kerana aku beri reaksi begitu pun aku tak tahu. Segitiga amaran itu bukannya di laluan aku, ia di laluan kecemasan. Aku hanya turutkan naluri.
Beberapa meter di hadapan segitiga merah yang memantul cahaya itu, pegun sebuah Perodua Kenari berwarna merah. Ketika itu kereta aku sudah pun perlahan dan apabila melewati di sebelah kenderaan itu, aku ternampak ada kelibat manusia berdiri di atas bumbungnya.
Mata ku gosok, lantas pandangan diacukan ke cermin sisi sebelah kiri. Melalui cermin kecil itu, samar-samar cahaya bulan mengesahkan ada seseorang berada di atas kenderaan buatan tempatan itu.
Berderau jantung aku. Remang bulu roma. Aku mula terbayang mahkluk yang sering diperihalkan dalam kisah-kisah penampakan di Lebuhraya Karak, namun imiganasi aku tertampa setelah mendapati kelibat itu berbaju tee cerah dan berseluar pendek, serta susuk tubuh dan gayanya kelihatan sungguh maskulin.
Itu seorang lelaki dan ditangan kanannya ada sumber cahaya yang aku kira telefon bimbitnya.
Pedal brek dipijak. Aku segera menghentikan kereta lalu tombol gear di anjak ke ‘R’. Berpandukan lampu undur kereta aku mengundur menghampiri Perodua Kenari itu.
Menerusi cermin pandang belakang, aku lihat kenderaan itu dan pemiliknya dilimpahi cahaya kuning lampu undur dan merah warna lampu brek kereta aku. Aku segera brek apabila terlihat lelaki itu memberi isyarat untuk berhenti. Ketika itu jarak aku daripada keretanya, dalam 20 meter.
Gear ditolak ke 'P', tuil brek aku tarik, lantas aku buka pintu dan keluar dari perut kereta.
“Ada apa-apa saya boleh bantu?” soalku sambil melangkah lebih dekat ke arah Perodua Kenari itu.
“Stop! Stop! Jangan datang dekat!” balasnya.
“Jangan risau. Saya cuma nak tolong.” ujarku. Mungkin dia risau jika aku ingin ambil kesempatan atas musibah yang dia alami. Bimbang aku ni perompak atau penjenayah. Sejujurnya aku ada perasaan wasangka begitu. Aku juga harus berwaspada.
“Saya faham, tapi jangan datang dekat.” pekiknya. Jarak kami lebih kurang 20 kaki, dan dia berada di atas kereta, jadi perlu tinggikan suara sedikit untuk berkomunikasi.
“OK! Apa-apa saya boleh bantu?”
“Boleh tolong telefon pihak konsesi LSD? Telefon saya tak ada line.”
Aku keluarkan telefon bimbit daripada poket seluar dan terus periksa paparan liputan signal rangkaian telefon di penjuru juru atas skrin. Dahi aku berkerut apabila lihat ikon bulatan dengan palang diagonal yang terpampang di skrin.
“Telefon saya pun tak ada line!” beritahu aku pada lelaki di atas Kenari.
“Cuba tengok dalam kereta saya, ada apa-apa tak?” soalnya.
“Hah?” responku. Keliru dengan soalannya. Aku tak pasti apa yang dia maksudkan dengan “apa-apa”.
“Maksud saya, ada binatang ke, orang ke, atau… “ penjelasan lnya terhenti.
“Atau apa?” soalku.
“...you know. Anything” balasnya dengan jawapan yang equivokal. Mengharapkan aku tahu apa yang cuba disampaikan tanpa dia perlu nyatakan secara definitif.
“Tak ada! Kereta encik apa masalahnya?” kataku.
Dia beritahu, semasa dia melewati KM34, dia terlihat ada sesuatu memanjat dari tembok konkrit, lalu melintas dihadapan keretanyanya. Kelibat itu merayap seperti seekor biawak. Namun kepalanya kelihatan sedikit ganjil. Lonjong, dan bukan leper. Memandangkan benda itu telah terlalu dekat, pemandu berkenaan terpaksa buat brek kecemasan. Berciut tayar kereta itu ketika bergeser dengan bitumen. Dia gambarkan bunyi itu seperti wanita meroyan berteriak. Bulu romaku meremang membayangkannya kata-katanya itu.
Haiwan yang melintas itu terkejut mendengar bunyi tersebut, lalu sepantas kilat ia cuba berpatah balik ke sisi jalan.
BOOM!
Tiba-tiba pemandu Kenari itu hilang kawalan ke atas kenderaannya namun berjaya mengemudi kenderaannya ke lorong kecemasan dan akhirnya berhenti di situ. Apabila turun dari kereta, dia terus memeriksa kenderaannya. Dia khuatir terlanggar haiwan itu, namun tiada tanda-tanda pelanggaran berlaku. Keretanya hilang kawalan kerana tayar hadapan sebelah pemandu meletup.
“OK OK. Lepas tu apa jadi? Tak payah cerita terperinci sangat. Apa kata encik turun dari bumbung kereta! Peliklah berbual begini.” kataku memotong ceritanya.
“Saya tak nak turun. Abang dengar dulu!”
“OK!” balas aku polos.
Dia cerita lagi. Dalam perjalanan kembali ke kereta setelah dia letakkan segitiga amaran kecemasan, dia terdengar bunyi sesuatu bergerak gerak di sebalik tembok konkrit di sisi jalan raya. Dijengah-jengah, namun tiada apa yang dapat di lihat. Sinar bulan tak cukup terang. Lampu belakang keretannya pula terlalu merah. Maka dia abaikan dan terus mengorak langkah ke keretanya.
Skreek! Skreek! Skreek!
Terdengar lagi bunyi geseran itu di belakangnya. Kini lebih jelas. Apabila dia menoleh kebelakang, hanya segitiga merah yang dipasangnya itu kelihatan di atas tarmak. Utuh di situ. Tidak terusik. Maka, dia anggap bunyi itu khayalan mindanya sahaja.
Setelah mundar mandir berhampiran keretanya buat seketika, baru dia terfikir untuk menelefon pihak konsesi lebih raya. Pada mulanya dia terfikir mahu telefon pihak insuran keretanya, namun dia tak simpan no telefon pihak insurans di dalam kereta. Kad yang diberi oleh juru tol di ambil daripada konsol di papan pemuka kereta. Di beleknya kad itu.
E22 Hotline : 07-8612222
“Jadi, awak call nombor tu?” potong ku lagi. Semakin meleret cerita dia.
“A’ah! Tapi tak dapat. Sebab tak ada line. Itu yang saya panjat atas bumbung ni!”
“Lah! Sebab tu je? Bikin suspen je lah.” ujarku separa mengeluh.
“Itu sebab saya panjat, tapi sebab saya tak nak turun, itu sebab lain!”
“Cepatlah cakap sebab apa? Saya tak ada masa nak dengar cerita panjang-panjang. Dah tengah malam ni. Saya ada urusan lain.”
“OK OK! Masa saya berdiri atas bumbung ni saya nampak ada benda panjat dinding konkrit dekat dengan tempat saya letak safety triangle tu. Lepas tu benda tu merangkak menghampiri kereta saya. Mukanya..”
Ketika ini jantung aku berdegup laju. Darah aku mulai berkumpul di dada. Bibir aku kebas. Namun bukan kerana cerita yang sedang disampaikan oleh pemandu Kenari tersebut, tetapi kerana di bawah keretanya aku ternampak ada sepasang mata yang berkilau memantulkan cahaya skarlet dari lampu belakang kereta aku.
Ia perlahan lahan bergerak keluar daripada bawah kereta dan apabila kepalanya terlah terjulur keluar dari bawah bampar kenari tu, jantung aku luruh ke abdomen.
Mukanya seperti wajah manusia tetapi lebih leper, umpama digilis sesuatu. Di mana seharusnya hidung, hanyalah rongga berbentuk segitiga yang dipisahkan ditengahnya dengan selapis membran. Dari rongga itu terjelir-jelir lidahnya, kadang kala terjelir juga dari mulutnya yang lebar dan dilengkapi barisan gigi yang simpang siur barisannya.
Ia merangkak keluar seperti seekor biawak yang kakinya terlampau panjang. Aku panik. Lutut aku terasa lemah. Terasa kaki ini bertukar menjadi tanah liat. Terliuk ditarik graviti. AKu terpaksa memegang sisi kenderaan aku untuk berundur menjauhi makhluk itu.
Melihat aku begitu, lelaki yang berdiri dia atas Kenari tadi berteriak, melaungkan nama Tuhan dan memohon perlindungan dari syaitan yang dilaknat.
Kalimah yang dilaunkan itu mengembalikan semula kudrat dalam tubuh aku. Aku menggagahkan kaki dan bergegas menuju semula ke kereta. Makhluk tadi mengekori aku. Pergerakannya kini seperti mawas yang sedang berlari dengan tangan dan kaki. Lebih laju dan lebih lincah.
Aku capai pemegang pintu, membukanya lalu melompat masuk kedalam kabin. Kepala aku terhantuk di bingkai pintu kereta semasa aksi itu. Menjadikan telinga aku berdesing. Aku kekalkan fokus untuk selamatkan diri. Tak ada masa untuk mengaduh. Pintu, aku lekas-lekas kunci.
Gear aku tukar ke D, tuil handbrake dan pendikit minyak aku tekan hingga ke lantai. Roda kereta aku yang mempunyai pacuan belakang berputar beberapa pusingan sebelum meluncur ke hadapan dengan pecutan maksima.
Namun setelah beberapa detik, aku lepaskan pendikit minyak dan menghenyak pedal brek. Terlalu pentingkan diri jika aku melarikan diri dan meninggalkan lelaki tadi seorang diri tanpa bantuan.
Aku masukkan gear ke R, lalu mengundur sepantas mungkin. Di cermin pandang belakang, aku lihat makhluk yang tadi mengejar aku kini sedang cuba memanjat Kenari. Aku halakan bontot kereta aku dan memecut ke belakang sederasnya.
BANG!
Makhluk itu tercampak ke menjauhi belakang kereta aku setelah aku merempanya dengan halaju tinggi. Tergolek-golek ia lalu tersungkur menyembah bumi. Setelah memerhatikan ia tidak bergerak, aku membuka tingkap lalu berteriak.
“Apa lagi! Cepat naik kereta aku!”

.
.
.
Tiada respon. Aku jengah kepala aku keluar tingkap untuk meninjau lelaki yang berada dia atas Kenari yang kini berada betul-betul disebelah kereta aku.

Tiada.
Lelaki itu tiada. Mana dia pergi? Dalam gelabah aku jeling semula cermin pandang belakang. Tangan aku menggeletar apabila aku lihat, apa yang aku langgar tadi sebenarnya bukan makhluk itu tetapi lelaki yang berbaju tee cerah dan berseluar pendek berkenaan. Jasadnya terkulai pegun 10 kaki dari kereta aku.
Tubuh aku longlai. Otak aku celaru. Akal aku membeku. Apa harus aku lakukan? Turun dan tolong lelaki yang aku langgar itu? Tak boleh! Makhluk Lanaktullah itu ada di luar! JIka aku tinggalkan lelaki itu, aku dikira langgar lari. Hidup lagi tak lelaki itu?
Aku jengah sekali lagi. Apa yang aku lihat berlaku buatkan aku nekad untuk tinggalkan tempat kejadian. Makhluk itu sedang menarik tubuh lelaki yang berlumuran darah itu ke sisi jalan lalu memukul bertubi-tubi. Lelaki itu langsung tidak memberi gerak balas.
Aku tekan pendikit minyak sekuat hati. Di paparan papan pemuka keluar ikon segitiga berwarna merah dan perkataan DTC menyala menandakan sistem kawalan cengkaman roda mengesan berlakunya wheelspin pada tayar belakang. Situasi ini selalunya berlaku apabila pemandu memecut serta merta daripada keadaan pegun.
“Macam mana ni? Aku dah bunuh orang! Aku dah bunuh orang!”
Sepanjang perjalanan ke susur keluar Pasir Gudang, aku cuba memikirkan apa yang harus aku lakukan sebaik sahaja sampai di plaza tol. Jika aku diamkan sahaja peristiwa ini, tiada sesiapa akan tahu. Semasa itu semua berlaku, tak ada satu saksi pun.
“Kalau lelaki tu tak mati, macam mana?”
Setahun berlalu. Aku tak laporkan peristiwa ini pada sesiapa. Setiap hari aku tunggu pegawai polis bertandang ke rumah aku. Aku tunggu mereka angkut aku ke lokap. Namun selepas satu bulan, tiada pun polis yang muncul, aku yakin lelaki itu telah mati dan tiada sesiapa tahu mengenainya.
Kerap juga aku belek surat khabar untuk periksa laporan berita yang melibatkan kematian pemandu Kenari di LSD. Tiada. Paling hampir pun, ia melibatkan sebuah kemalangan di KM15 lebuh raya itu. Kenari terbabas, kerana tergelincir akibat jalan raya basah. Pemandu itu terselamat.
Hari ini, aku buka rahsia ini kerana aku rasa berdosa. Keduanya, aku kini tak pasti apa yang aku alami itu benar-benar berlaku atau hanya khayalan minda aku. Aku harap ia adalah situasi kedua.
Apapun, jika kalian gunakan LSD agar berhati-hati di kilometer 33-37. Aku tak tahu apa yang aku jumpa itu. Namun, ada orang kata itu adalah khadam air yang ditempatkan oleh seorang pawang ketika empangan Sulatan Iskandar kering tak lama dahulu.
Ketika empangan itu kering, banyak orang merana kerana bekalan air asyik dicatu. Oleh itu ada penduduk tempatan memanggil pawang untuk kononnya memanggil air dan hujan. Pawang iberkenaan telah gunakan khadam makhluk halus untuk memenuhi hasrat itu, dengan syarat korban darah perlu diberi.
Mula-mula orang yang memanggil pawang itu akur. Korban sentiasa diberi seperti yang telah ditetapkan. Namun empangan itu tetap kering. Akhirnya kemelut air itu diselesaikan oleh Syarikat Air Johor (SAJ) dengan mengepam air dari sungai lain ke kawasan tadahan air itu. Setelah masalah itu selesai, upacara korban tidak diteruskan.
Justeru, kini khadam itu berkeliaran menagih darah yang dijanjikan pada bulan purnama setiap bulan. Jadi, berwaspadalah.



Nukilan: Kamarul Ariffin Nor Sadan (admin) 

Suntingan: Arkib Angker Negara
Like, comment, share and follow!

*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Friday, 7 July 2017

KUNJUNGAN - Tajul Ariffin Norsadan


"Jomlah Man, kita balik."
"Ala. Satu rumah je lagi." Kataku.
"Dah nak Maghrib ni. Mak aku suruh balik sebelum Maghrib." Gesa Nazrul.
"Jomlah Naz. Rumah hujung tu je. Lepas tu kita balik." Pintaku.
"Tak nak lah. Kau gi lah Man. Aku nak balik."
Nazrul meninggalkan aku sendiri.
"Lantak kau lah. Aku nak balik Johor dah besok. Tak sempat nak beraya rumah terakhir tu besok!" Jeritku.
Tetapi, Nazrul terus melangkah menjauh.
Setiap tahun, bila menjelang Hari Raya Aidilfitri, aku akan pulang ke kampung di Ulu Selangor. Tetapi, baru tahun ini aku dapat keliling kampung untuk mengutip duit Hari Raya.
Aku mengikut kawan-kawan aku di kampung ini untuk pergi beraya. Kampung ini tidaklah terlalu besar. Mereka kata hanya cukup satu hari, kita dapat pergi ke semua rumah.
*****
Aku berada di depan sebuah rumah. Rumah kayu tersergam indah. Rumah yang terjaga rapi. Reka bentuk yang masih mengekalkan rumah seni bina kemelayuan.
Di depan rumah itu terpasang pelita-pelita yang menerangi jalan ke depan rumahnya.
"Assalamualaikum." Aku memberi salam.
Tiada jawapan.
"Assalamualaikum"
"Waalaikumsalam." Terdengar sahutan ini dari dalam rumah itu.
"Masuklah." Tambahnya.
Seorang lelaki badan tegap, agak tinggi, dan berkulit gelap muncul di depan pintu. Berbaju putih bersih. Sangat segak.
"Naiklah rumah Acik. Nak berayakan?" Tanyanya.
"Ye cik." Aku menjawab sopan.
Aku melepaskan kasut rayaku ditangga. Selangkah demi selangkah aku menaiki tangga kayu itu. Aku sampai di tangga terakhir dan memasuki pintu.
"Jemputlah duduk ye. Acik buat air kejap. Anak ni minum air teh kan?"
"Ye cik."
Bersih dan tenang. Itulah yang aku dapat menggambarkan tentang rumah ini. Perabot-perabot klasik menghiasi segenap kawasan rumah.
Pak cik tadi kemudian datang membawa dulang yang di atasnya terdapat teko dan dua cawan.
"Maaflah, Acik tak ada kuih nak hidangkan. Acik buat teh je." Dia tersenyum.
"Eh tak apalah cik." Aku turut balas senyumannya.
"Anak ni anak siapa?" Bertanya.
"Anak Karim. Cucunya Wak Jalal." balasku.
"Oh, rumah sebelah Warung Pak Hanif tu ya?"
"Ye cik."
Mungkin Acik ini kenal dengan keluargaku. Aku sesekali menghirup teh yang dihidangkan. Tehnya wangi dan sedikit hangat. Memang menenangkan.
"Acik duduk sorang ke?" Tanyaku.
"Ye nak. Dulu acik ada isteri. Tapi meninggal masa lahirkan anak Acik yang pertama. Anak Acik tu pun meninggal." Jelasnya bersahaja.
Aku diam dan tunduk.
"Anak ni umur berapa?"
"11 tahun." jawabku.
"Kalau anak Acik masih hidup, samalah umur dengan anak ni." Jelasnya.
Aku hanya membalas dengan senyuman.
"Acik rindu isteri dan anak Acik. Acik sunyi je duduk rumah ni. Terima kasihlah sebab sudi datang umah Acik ni. Terubat rindu acik." Meluahkan perasaannya.
Sedih aku melihat Acik. Tidak ada yang boleh aku buat.
"Acik, saya balik dululah. Takut mak marah. Dah malam sangat ni." Pintaku.
"Ye lah. Nanti kirim salam mak ye."
Aku bangkit dari kerusi dan menghulurkan tangan. Acik membalas salamku. Terasa kasar ditapak tangan Acik. Aku mencium dibalik tangannya seperti didikan mak.
"Nah duit Raya. Jangan buat beli mercun ye." Nasihat Acik.
"Terima kasih Acik. Selamat Hari Raya!" Ucapku.
"Sama-sama. Selamat Hari Raya." balasnya tenang.
Aku menuruni tangga rumahnya dengan berhati-hati. Mungkin kerana kakiku yang kecil, terasa jauh setiap anak tangga. Sampai di bawah, aku menyarung kasutku.
Hari sudah gelap. Aku melambai ke arah Acik tanda perpisahan. Aku beredar dari perkarangan rumah itu.
'Mati aku. Mesti mak marah'
******
"Assalamualaikum! Mak! Man balik!"
Aku memberi salam dalam keadaan termengah-mengah. Aku berlari dari rumah Acik sampai ke rumah Atuk. Terasa jauh sekali.
"Man! Anak mak!" Terdengar teriakan mak dari dalam rumah.
"Ye mak!" Aku membalas.
Terlihat mak berlari dari dalam rumah ke arahku.
"Anak mak pergi mana?" Mak memelukku sambil menangis teresak-esak.
"Man gi beraya lah Mak. Kenapa mak nangis ni?" Tanyaku.
"Man beraya ke mana sampai seminggu tak balik-balik. Mak risau."
"Mana ada mak. Man pergi kejap je. Lepas rumah terakhir kat hujung jalan tu, Man terus balik." Jelasku.
"Mana ada rumah kat situ Man. Situkan tanah surau lama." Mak masih menangis.
"Betul Mak. Ni ha, Acik tu bagi duit Raya"
Aku membuka sampul raya yang terbuat dari surat khabar lama. Aku mahu membuktikan yang ada duit di dalamnya.
Aku lihat di dalamnya. Ada sehelai kertas dan tertulis sesuatu.
'Malam ni Acik datang'
..........



Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan, sila hantarkan ke inbox kami. Kisah itu akan dikreditkan kepada anda.
*Gambar: hasil carian di Google.

Thursday, 6 July 2017

SENJA - Mohd Dziehan Mustapa



“Eh..kenapa semua mengundur ke belakang?”

Aku yang sedang mengambil wuduk di dalam sungai melihat ke belakang rakan-rakan ku semua mengundur dan melarikan diri....

******************

Hari itu kami membuat rombongan hiking ke Gunung Ledang. Puncak tertinggi di selatan tanahair. 1st time aku nak panjat gunung ini. Aku dan rakan-rakan memang excited.

Masa tu trail yang kami pilih adalah untuk naik melalui Asahan menerusi rabung terus ke puncak ledang dan berkhemah di puncak.
Pada esok harinya barulah kami turun melalui jalan ke Sagil namun berhenti di 'middle camp'; kolam gajah putih untuk camping semalam. Hari ke tiga barulah kami turun terus ke pintu masuk Gunung Ledang di Sagil.
Jauh sungguh trail yg kami pilih. Mencabar juga sebab jarang-jarang pendaki mengikut trail daripada Asahan. Maka trail ini agak tebal hutannya dan sunyi.
******************

Aku pada masa tu seperti biasa berniat untuk dapat melihat sesuatu. Memang aku suka buat begitu. Dan selalunya memang akan nampak penghuni lain dalam hutan tebal ini.

Mendaki melalui Asahan memerlukan kita memikul sejumlah besar bekalan air. Kerana di puncak Ledang mana ada air. Maka di check point terakhir untuk jumpa sumber air, kami isi segala botol yang ada dan botol extra untuk bawa air ke puncak.
Yer, kami berkhemah di puncak masa zaman itu. Zaman sekarang tidak dibenarkan lagi untuk berkhemah di puncak.
******************

Sedikit sahaja lagi untuk sampai puncak Ledang. Dalam 50m sahaja. Namun kami perlu melalui celahan 2 batu besar dengan tali kapal yg terjuntai untuk kami berpaut menaiki celahan batu itu.

Nampak tidak susah.... 50m sahaja. Namun itulah rintangan paling lama untuk kami lalui. Daripada pukul 4 petang sebelum Asar hingga Maghrib barulah aku antara orang yang terakhir sampai ikut giliran memanjat celahan batu itu.
Sampai di atas, rakan-rakan lain telah siap mendirikan khemah dan mula masak air Dan Maggie. Susah juga nak memasak di puncak walaupun ada penunu bunsen kerana angin yang sentiasa bertiup kencang di puncak ledang.
***********************

Sambil-sambil malam mkn, Kami berborak dengan guide Kami..... Aku pun bertanya kepada guide soalan favourite aku 
'keras tak Gunung ini?"

Terkedu sekejap guide itu yang merupakan orang tempatan di Asahan. Jawapannya mudah dan berselamba...memang keras sebab banyak batu ðŸ¤£... sambil tersenyum.
Aku tahu dia cuba sembunyikan kisah sebenar hutan tebal di Gunung Ledang ini. Kami pun terus layan borak-borak kosong sambil minum teh panas menikmati suasana dingin, nyaman, sebar dan permandangan yang menakjubkan di puncak Ledang.
************************

Esok paginya, kami terjumpa lopak berbentuk tapak kaki sebelah kanan terukir di atas batu dan dipenuhi air hujan.

Menurut guide kami, itu adalah tapak kaki Hang Tuah. Tapi kenapa sebelah sahaja? Jawabnya sebelah lagi iaitu tapak kaki kiri ada di puncak Gunung Datuk di Rembau Negeri Sembilan.
Yer, aku mengesahkan. Memang betul ada tapak yang sama di puncak Gunung Datuk dan memang sebelah kiri. Ikut hikayat cerita-cerita lama.... tapak itu kesan Hang Tuah melakukan lompat sakti daripada Gunung Datuk ke Gunung Ledang...
Sungguh menarik cerita ini malah dapat dibuktikan dengan kesan tapak kaki itu. Setelah berkemas-kemas dan puas bergambar menggunakan camera filem pada masa itu, kami pun meneruskan perjalanan turun ke pintu Sagil.
**************************

Satu penurunan yang susah kerana berselisih dengan pendaki lain yang handak mendaki ke puncak Ledang. Memang ramai yang mendaki daripada Sagil, kerana itu adalah laluan utama.

Jam sudah pukul 2petang. ...tiba-tiba guide kami bersuara mengingatkan kepada kami jangan tegur apa-apa, jika rasa, bau atau nampak apa-apa pun di kawasan yang bakal kami lalui di hadapan.
Kami pun pelik juga. Kenapa dengan kawasan di hadapan ini. Lagi pun hari masih siang.
Rupanya betul kata guide kami....semasa melalui denai yang menurun di kawasan hutan yang tebal itu, tiba-tiba kami dapat merasakan angin yang bertiup kencang dan kawasan tersebut berbau wangi bunga tanjung.
Hairan juga, kami di kawasan hutan yang tebal, bagaimana boleh ada angin yang kencang sedangkan kanopi pohon-pohon sekeliling nun jauh tingginya di atas kepala kami.
Kami juga tidak melihat sebarang pokok bunga tanjung di sekitar kawasan itu. Namun kami akur sahaja, kami diam sambil bulu roma kami dah mula tegak dan suasana seram dapat dirasai.
Aku mula melihat sekeliling. Kot-kot aku dapat melihat sesuatu. Aku terus kan menoleh sekeliling dan mula menjangkaukan penglihatan mata aku jauh ke dalam hutan yang tebal itu.
Eh....apa tu

Bisik hati ku...
Yer disebalik pokok balak yang besar dalam 80m daripada tempat aku berpijak.
Aku cuba mengecilkan mata aku untuk lebih fokuskan penglihatan aku
Hmmmm...hilang pula kelibat yang aku rasa aku terlihat tadi..
Sebuah lembaga yang bertubuh kecil dan berambut panjang sambil memegang sesuatu di tangannya.

Aku terus menoleh-noleh sekeliling namun tiada lagi kelihatan kelibat lembaga itu.

Namun aku diam jer, sikit pun aku tidak bagi tahu guide kami dan rakan-rakan ku...
Tidak mahu mereka panic dan ketakutan...

*********************

Akhirnya sebelum Maghrib lewat petang, kami sampai di 'middle camp' kolam gajah putih.

Kami terus dirikan khemah dan melakukan pelbagai persediaan seperti solat, mandi dan menyediakan makan malam.
Seronok betul mandi di kawasan kolam gajah putih ini...Apa yang aku nampak tadi pun sudah tidak terfikir lagi kerana seronok bermandi manda dengan rakan-rakan. Tinggal nak naik dan bersedia untuk solat maghrib pula.
*********************

Maghrib itu aku mengambil air wuduk di dalam sungai di kolam gajah putih...

Tak puas lagi nak merasa air sungai yang sejuk mengalir di kaki ku...

Rakan-rakan ku yang lain mengambil wuduk di tebing sungai sahaja di belakang ku..

Tiba-tiba... 

“Eh..kenapa semua mengundur ke belakang?”
Aku yang sedang mengambil wuduk di dalam sungai melihat ke belakang rakan-rakan ku semua mengundur dan melarikan diri....
Aku pelik dan mula menoleh semula kehadapan untuk terus mengambil wuduk...

Allahuakbar....

Betul-betul di atas batu di hadapan ku
Kelihatan kelibat lembaga yang aku lihat tadi.
Ia rendah sahaja berambut panjang memegang tongkat...

Kelihatan seperti nenek....

Namun lembaga ini sikit pun tidak bergerak, ia cuma sorokkan wajahnya disebalik rambutnya yang panjang sambil menenung aku yang sedang mengambil wuduk dihadapannya...

***********************

Jantung aku berdegup laju,
Mahu tidak terperanjat,
Mahu tidak cuak dan takut......
Aku pun mula mengundur setapak demi setapak dalam sungai itu sehingga ke tebing.

Lembaga seperti nenek yang bongkok itu terus melihat aku yang sedang cuba melarikan diri itu...

Apa lagi, setibanya aku ditebing aku terus berlari ke arah khemah mencari rakan-rakan aku tadi..

Kelihatan pucat wajah mereka....

semua terdiam dan ada yang menggigil.

Aku dengan nada yang menggigil bersuara

“kekekekau O, O, O, Orang nampak kan, kan, kan tadi?”
Rakan-rakan aku yang lain mengangguk sahaja dalam ketakutan...

“Kita, kita, kita diam...jangan bagi ta, ta, tahu sesiapa hingga sampai ke bawah”

Ujar aku....

Aku tidak mahu yang lain rasa ketakutan terutama rakan-rakan perumpuan yang turut sama dalam trip ini...
*****************

Malam itu memang kami tidak boleh tidur,
Asyik menoleh di setiap pelusuk hutan yang tebal itu jika terlihat lagi lembaga nenek itu.

Memang kami dapat rasakan malam itu ada sahaja yang sedang memerhati kami dalam hutan tebal yang gelap itu...
Kerana kepenatan, kami tertidur juga....
Pagi pun menjelma...cahaya suria telah mula menerangi kawasan kami berkhemah...

Selepas sarapan, kami pun mulakan perjalanan kami untuk terus turun ke pintu Sagil...

Setibanya di bawah sambil duduk berehat dan mulakan perbincangan untuk kembali pulang ke kampus menaiki bas.....
Kemudian aku dan rakan-rakan ku tadi mula mendekati guide kami...
Belum sempat kami bersuara guide kami berkata...

“Korang nampak apa senja semalam?”

Kami berpandangan sesama sendiri...bagaimana guide kami tahu sedangkan dia tiada semasa kami melihat lembaga nenek itu...
"Mana abang tahu kami nampak sesuatu?" Ujar ku

"Aku nampak korang berlari macam nampak hantu...pasti ko nampak nenek kan?"

Lagilah cuak kami bila guide kami membuat tekaan yang betul...

Guide kami tadi berkata lagi seperti mahu terus menceritakan siapa nenek itu...

"Itu nenak kebayan...ikut cakap orang-orang tua dikawasan ini."

"Nenek kebayan ini memang ada di kawasan kolam gajah putih itu..."
"Terutama waktu senja...tapi tak semua atau ramai yang dapat lihat...."
"Kira korang antara orang yang terlihatnya semalam.."
"Nenek tu tidak buat apa-apa kan? Dia pandang sahaja...betul tak?"

Yer...jawab aku.

Nenek tu melihat kami sedang ambil wuduk....

Guide kami terus minta maaf kepada kami kerana tidak maklumkan untuk berhati-hati waktu senja di kawasan kolam gajah putih itu.
Syukur Alhamdulillah kami selamat dan tidak disorokkan nenek kebayan samalam...
Rakan-rakan lain tidak percaya apa yang kami nampak senja semalam...Namun inilah pengalaman yang tidak dapat aku lupakan dan masih segar dalam ingatan aku...
Setiap kali mengingatkan kisah ini, bulu roma di tengkuk ku tegak berdiri dan merasakan seoalah-olah aku sedang diperhatikan oleh nenek kebayan.
******************

Oh yer....guide kami juga bagi tahu kenapa kami lama untuk panjat celahan batu besar di puncak Ledang itu...

Katanya, pada celahan batu itu ada Jin yang menjaganya...sebab itu agak sukar untuk melepasi halangan pendek di celahan batu itu
*********************

Pengajaran:
● Jangan merayau-rayau waktu senja
● Cepat-cepat ambil wuduk sebelum waktu gelap dalam hutan
● Jangan sombong atau bercakap besar bila dalam hutan
● Jangan berniat hendak nampak sesuatu jika anda seorang yang lemah semangat.





Nukilan 
Mohd Dziehan Mustapa
Arkib Angker Negara

Sunday, 2 July 2017

MUZIUM SERI HATIKU - Suzalawati Aziz


Pisau berhulu merah dicapai. Kilatan mata pisau berkilau di bawah cahaya lampu. Radio yang sedang berkumandang dicapai lantas tombol volume dipulas semaksima mungkin. Rancangan Detik 12 Malam yang berkisar kisah-kisah seram memenuhi ruang bilik yang kelam. Suara jeritan yang meraung kesakitan menjadi halwa telinganya di kala ini. Perlahan matanya dipejam menikmati suara jeritan dan tangisan yang diselangi irama muzik yang menyeramkan sambil tangannya kejap menggenggam erat hulu pisau merahnya.
  *******
Suraya gelisah menunggu di hentian bas. Jam di tangan direnung untuk entah yang keberapa kali. Ternyata dia sudah terlewat 20 minit. Bas yang terakhir sudah lama berlalu. Namun dalam hati dia masih berharap ada teksi sesat yang masih beroperasi ketika ini. Dari kejauhan kelihatan sepasang lampu kereta bergerak perlahan dan akhirnya berhenti dalam jarak 15 meter dari tempat Suraya berdiri.

  

Suraya dihinggapi rasa cuak. Mintak-mintaklah bukan orang jahat. Matanya melilau melihat sekeliling. Kedai-kedai di sepanjang jalan semua sudah bergelap. Kedai makan di hujung jalan yang selalunya beroperasi sampai pagi pun tutup malam ini. Suraya benar-benar bersendirian di hentian bas itu.
  
Deruman enjin kereta mematikan lamunan Suraya. Dalam debaran yang kian meyesakkan dada, Suraya melihat kereta yang tadinya berhenti mula bergerak. Suraya menarik nafas lega bila melihat yang kereta tadi adalah sebuah teksi. Cermin tingkap diturunkan dan seorang lelaki pertengahan umur menjenguk dari tempat duduk pemandu.
  
“Cik nak kemana lewat-lewat malam ni?”

“Saya nak balik rumah pakcik. Tapi bas dah takde.” Suraya cuba memaksakan sekuntum senyuman.
“Itulah, pakcik tadi dah habis kerja. Ingat nak balik rumah dah. Tapi pakcik nampak anak ni macam tunggu seseorang. Tu yang pakcik datang tanya. Lagipun bahaya sorang-sorang kat sini.’ ramah orang tua itu bercerita.
Suraya mula rasa ceria.
“Err pakcik boleh hantar saya balik tak. Rumah saya kat Taman Harmoni.”
“Bolehlah. Tapi...pakcik tak pakai meter.”
Suraya tidak mempedulikan berapa yang perlu dibayar asalkan dia dapat sampai ke rumah dengan selamat. Ketika dia menyentuh pemegang pintu, mata Suraya tersilau sesuatu yang berkilat tersisip di pinggang si pemandu.
   *******
Muzium Seri Hatiku dibuka seeperti biasa hari ini. Rumah lama peninggalan arwah ibunya yang bercirikan rumah tradisional Melaka kelihatan agak usang dari luar. Amanah ibunya yang meminta rumah itu dijadikan sebagai muzium ditunaikan.
Segala susun atur perabot dan barang perhiasan dikekalkan seperti asal. Namun yang lebih menarik perhatian pengunjung ke Muzium Seri Hatiku adalah patung-patung yang diletakkan di ruang tamu, di meja makan dan di halaman rumah yang kelihatan sangat hidup. Langsung tidak kelihatan seperti patung. Hinggakan ada pengunjung yang tersilap menegur patung seorang tua yang sedang menyiram pokok bunga.

  

"Mama, tengok. Patung ni macam kakak sebelah rumah kita la.” Seorang anak gadis dalam usia 10 tahun menarik tangan ibunya yang sedang memerhati patung seorang jururawat.
Puan Marina menoleh ke arah patung yang ditunjukkan anaknya. Sekilas Puan marina seakan mengenali wajah patung yang sedang duduk di ruang tamu. Patung seorang gadis muda.

  

”Betullah. Memang mirip budak perempuan yang sewa sebelah rumah aku je ni. Aya ke apa ntah nama dia.”
Puan Marina mendekatkan mukanya ke arah patung yang kelihatan seperti gadis yang dikenalinya. Belum sempat jemarinya menyentuh pipi si patung, satu suara bergema di belakangnya.

  

“Maaf Puan. Tidak dibenarkan menyentuh patung-patung yang berada di sini.” Si pemilik yang beroman serius tajam merenung Puan Marina. Dalam kegugupan, Pn. Marina lantas menarik tangan anaknya berlalu dari situ.
  
Lawatan Puan Marina membawanya ke dapur. Anaknya cukup teruja melihat patung-patung yang sedang duduk mengelilingi meja makan. Dari pintu dapur yang terbuka, kelihatan sebuah teksi berada di bawah sepohon pokok mangga.
  
“Hmmm patutlah ada patung pemandu teksi dekat meja makan ni. Hebat betul muzium ni. Macam-macam patung ada. Jururawatlah, cikgulah, pemandu teksi....eh,polis pun ada.”

Puan Marina merasa kagum dalam keseraman. Apatah lagi terasa seperti mata patung-patung tersebut seolah-olah memandang ke arahnya.

  

Beberapa orang pengunjung yang baharu tiba memenuhi ruangan dapur. Sewaktu Puan Marina hendak melangkah keluar dari dapur, satu kilauan terpanah di matanya. Kilauan itu datangnya dari sesuatu yang berkilat yang tersisip di pinggang patung si pemandu teksi.
   *****
Pisau berhulu merah diletakkan perlahan-lahan di atas meja. Pisau itu ternyata basah. Cecair merah pekat menitis ke lantai. Ternyata hari ini dia agak kecewa. Hasil kerjanya langsung tidak memuaskan hati. Bagaimana dia nak memuaskan hati pengunjung Muzium Seri Hatiku jika dia sendiri tidak berpuas hati. Apakah pisaunya sudah tidak setajam dulu lagi? Satu keluhan berat terhembus keluar.
Rancangan Detik 12 Malam sudah lama berakhir berganti dengan seleksi lagu-lagu pilihan. Dia bangkit lantas menuju ke satu sudut. Dia membongkok dan menarik satu tombol kecil di lantai. Ternyata ia merupakan sebuah pintu. Pintu rahsia. Dengan berat hati dia menarik hasil kerja yang mengecewakan hatinya. Dicampakkan sahaja ke bawah tanpa sebarang ekspresi di wajah.

  

Puan Marina tersedar. Kala itu satu kesakitan yang maha dahsyat menjalar di urat sarafnya. Dia meraung sekuat-kuat hati apabila tangannya menyentuh wajahnya yang sudah tidak berkulit lagi. Tangannya teraba-raba dalam kegelapan. Hidungnya tercium bau yang sukar digambar dengan kata-kata. Air mata yang mengalir hanya menambah kesakitan yang dirasai ketika ini. Puan Marina merasakan ajalnya kian hampir. Dalam rabaannya Puan Marina menyedari yang dia berada di atas timbunan mayat yang diyakini sudah tidak berkulit lagi. 
  
Puan Marina tergolek ke lantai. Di kala nafasnya kian sempit di dada, terbayang di mindanya wajah tanpa emosi yang sedang melapah kulit wajahnya sebentar tadi. Wajah seorang gadis muda yang tidak dikenalinya.
  
Dan dibelakang, anakknya sedang menggigil ketakutan........




Nukilan: Suzalawati Aziz (https://www.facebook.com/suzalawati.aziz)

Suntingan: Arkib Angker Negara

*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan bersama pembaca Arkib Angker Negara, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Saturday, 1 July 2017

SUATU KETIKA DAHULU - Dziehan Mustapa


Lebih tepat lagi, 23tahun tahun yang lalu. Umur saya 14 tahun; form 2. Saya aktif dalam program 'Rakan Muda'. Ingat tak program ini? Bawah Kementerian Belia & Sukan.
Ada banyak cabang aktiviti bawah program ini, saya minat kepada 'Rakan Rekreasi' sebab Rakan Rekreasi banyak aktiviti berbentuk jungle tracking, camping & hiking.
Ini kisah camping di 'Hutan Lipur Air Terjun Berkelah' Pahang. Masa itu ketika cuti sekolah penggal pertama. Saya join aktiviti ini dengan ramai kenalan baru daripada sekolah lain berdekatan.
Saya kalau pergi masuk hutan, selalunya saya berharap saya boleh melihat 'sesuatu'. Dan selalunya juga saya dapat melihat kelibat mahluk ini seoalah-olah hijab saya terbuka.
Tanpa diketahui rupa-rupanya hutan lipur air terjun Berkelah di Pahang ini memang keras tempatnya. Berbatu-batu kerana kawasan air terjun setinggi 7 peringkat. Batu-batuan ini menjadikan kawasan ini keras dan susah juga nak pacak khemah.
Satu peringkat ke satu peringkat kami lalui dengan memikul beg dan keperluan lain seperti bekalan makanan, dapur dan khemah.
Setibanya di peringkat air terjun yang ke-4 kami buat keputusan untuk berhenti dan mendirikan khemah di situ sebab ada kawasan yang luas dan kurang berbatu.
Nak panjat sampai ke air terjun yang ke-7 masih tinggi lagi. Hari pun dah lewat petang. Selepas mendirikan khemah, apa lagi....air terjun pun dijamah dengan pelbagai aksi terjun tiruk tanpa life jacket. 3 orang pelancong 'mat salleh' pun join sekaki.
Aksi terjun makin hebat, hari pula semakin senja. Peserta rombongan dan mula naik ke darat bersiap-siap untuk buat santapan makan malam.
Punyalah sedap Maggie bujang, panas-panas selepas letih terjun tiruk dan dinikmati pula waktu senja Maghrib dalam hutan yang masih dara kerana tidak ramai manusia yang mengunjungi kawasan terpencil ini pada ketika itu.
Hari semakin gelap. Saya toleh ke kiri dan ke kanan sambil mencari mahluk yang ingin saya lihat dalam hutan belantara ini. Namun masih tidak kelihatan kelibat mereka. Mungkin hutan ini bukan kawasan mereka.
Tidak mengapa, mungkin malam sikit akan ada kelibat yang menjelma bisik hati saya. Di sebarang sungai kelihatan sekumpulan anak muda yang datang bersendirian bukan seperti kami yang datang serombongan naik bas.
Mereka ini mat motor. Datang sana hanya untuk suka-suka pacak khemah dan melakukan aktiviti bebas mereka di sebarang sungai. Ada juga yang masih berada di dalam air sungai mandi-mandi walaupun hari dah mula gelap dan air sungai dah semakin sejuk.
Aktiviti biasa malam pertama camping dalam hutan selepas solat isyak adalah campfire dan sesi suai kenal. Duduk lah kami dalam bulatan yang tidak bersambung kerana batas pergaulan lelaki-perempuan tetap dijaga. Saya lah orang terakhir yang duduk pada bulatan yang tidak bersambung itu di mana sebelah kanan saya kosong tiada siapa dan sebelah kiri saya seorang kenalan baru daripada sekolah sebelah dan sekhemah dengan saya.
Mata dan minda sebenarnya tidak fokus kepada aktiviti suai kenal kerana masih mencari ada tak kelibat mahluk yang dicari.
Saya melihat jauh dalam kegelapan hutan dan memandang-mandang ke atas pohon-pohon hutan. Manalah tahu jika mahluk itu berada di atas pokok sambil meninjau kami yang duduk mengelilingi unggun api.
Di sebarang sungai pula, group anak-anak muda itu masih lagi bermandi-mandian dalam sungai yang sejuk itu sambil bergurau senda dan bergelak ketawa dalam hutan belantara di malam yang gelap itu.
Mengilai-ngilai pula ketawa mereka. Macam 'Langsuair' pula bunyinya. Namun cuma dilafazkan di dalam hati sahaja. Pantang larang masuk hutan, mulut kena jaga, jangan celupar atau cakap lepas. Itu pesanan atuk saya.
Namun rakan sebelah kiri saya ini terlepas cakap pula.
"Ketawa macam pontianak"
Saya pandang dia sambil memberi teguran.
"Dalam hutan ni, mulut kena jaga sikit"
"Opss terlepas" katanya...
Pada ketika itu, bulu roma di tengkuk tiba-tiba tegak berdiri dan bau wangi bunga tanjung yang sedikit sahaja terhidu mengikut tiupan angin sepoi-sepoi bahasa pada malam itu.
Hatiku dah mula berkata-kat—"Janganlah si dia yang muncul" confirm histeria budak-budak pompuan.
Tiba-tiba rakan di sebelah kiriku yang celupar tadi dengan muka yang pucat macam nampak hantu bertanya kepadaku...
"Kau sentuh bahu kanan aku ke sebentar tadi?"
Di saat itu aku tahu bahawa beliau telah dikacau oleh mahluk...bulu roma di tengkuk pun makin menegak lalu aku pun menjawab balas pertanyaan rakanku tadi.
"Yer aku sentuh bahu kau tadi."
Aku mengaku dengan harapan untuk tidak bagi rakanku tadi dalam ketakutan.
Rupa-rupanya...
Si mahluk itu mungkin berdekatan dan pada saat aku mengaku yang aku menyentuh bahu rakanku tadi.

Tiba-tiba bahu kanan ku pula yang terasa disentuh daripada belakang.

Sungguh berat sentuhan 'sapaan' daripada belakang itu. Jantung aku berdegup laju dan bau harum bunga tanjung itu datang kembali.
Aku menoleh ke belakang secara reflek untuk melihat siapa yang sentuh aku, namun tiada siapa. Di saat itu aku sedar bahawa yang sentuh rakanku dan aku itu mungkin sesuatu mahluk yang ingin memberi tahu kehadirannya di situ.
Malam terus berlalu. Aku masih meninjau-ninjau jika kelihatan kelibat mahluk yang menyentuh aku dan rakanku tadi.
Tak boleh tidur nyenyak aku malam itu. Terasa masih ada mata-mata yang melihat aku dari dalam hutan dan dalam kegelapan malam.
Tapi rakanku tadi....hmmmmmm nyenyak. mungkin dia percaya dengan kata-kataku tadi dan kepenatan terjun tiruk petang tadi.
Subuh menjelma. Aku bangun dan solat subuh...selesai solat, perlu buat breakfast. Masa tu paling best buat breakfast sardines cecah roti.....yum yum sambil minum teh O panas.
Ketika itu barulah aku menceritakan perkara sebenarnya kepada rakanku. Beliau terkejut dan kelihatan pucat. Aku memberi tahu mengapa aku mengaku aku yang sentuh agar dia tidak ketakutan malam tadi.
Begitulah kisahnya pertama kali aku disentuh oleh mahluk yang tidak diketahui di dalam hutan. Betul kata orang tua-tua, jaga mulut dan tingkah laku bila masuk dalam hutan...elakkan celupar dalam pertuturan.
Oh yer..selepas kejadian malam itu, sebenarnya anak-anak muda sebarang Sungai yang mandi malam hari sambil ketawa mengilai-ngilai itu terus diam menyepi. Mungkin mereka juga telah ditegur mahluk itu.
Satu lagi....rakanku tadi demam sehingga kami pulang semula ke Bandar ke-esokkan harinya.
Ada sesiapa pernah ke "Hutan Lipur Air Terjun Berkelah" dan alami perkara yang sama?
Keras sungguh tempat itu


Banyak batu




Nukilan : Dziehan Mustapa


*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembacaArkib Angker Negara, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

NASI GORENG UNTUK PONTIANAK - Dr Onn Azli Puade



Haha, sesekali saya ingin juga berkongsi pengalaman seram saya ketika masih lagi seorang pelajar perubatan di USM.
Kisah ini berlaku lebih kurang 8 tahun lepas, dan ketika umat Islam sibuk membuat persediaan untuk Hari Raya Aidiladha. Ketika itu, saya di tahun 2 di USM, dan saya menyewa di sebuah rumah yang terletak di sebuah rumah di Demit. Pada awalnya, saya menyewa bersama-sama 2 orang rakan saya, yang juga pelajar di USM. Mereka pulang ke kampung sewaktu itu.
Saya selalu lepak dengan seorang lagi kawan saya yang bernama Andi. Dia orang Sabah, dan ketika itu, seperti saya, dia juga tidak pulang ke kampung kerana ingin berjimat untuk membeli tiket penerbangan ke Tawau.
Saya pula kononnya ingin belajar lebih ketika orang lain semua sibuk beraya. Saya menjemput Andi daripada asrama kampus kesihatan untuklepak menonton movie dan bermain game di rumah. Andi sekepala dengan saya, dan saya masih teringat, sewaktu hari hampir malam, kami berdua membuat keputusan untuk masak sahaja di rumah itu, manakan tidak, kedai makan semuanya tutup, dan seperti anda maklum, rakyat di Kelantan merayakan Aidiladha lebih meriah daripada Aidilfitri.
Ada bahan-bahan seperti ayam dan nasi, saya kononnya nak menunjuk skill memasak kepada Andi, malangnya Nasi goreng tersebut tak jadi. Senang cerita, rasa nasi yang saya masak tak sedap. Jadi setelah makan malam, Andi walaupun makan dengan muka ibarat tertelan kapur kasut tetap berkata makanan yang saya masak itu sedap, mungkin untuk menjaga hati saya.
Jam 9.00 malam Andi perlu pulang ke kampus, jadi saya siap-siap dan menghantar dia ke kampus kesihatan menggunakan kereta Satria saya, dan setelah lepak sebentar di biliknya, jam 10 malam saya pulang ke rumah
Rumah sewa tersebut tidaklah isolated, namun jauh ke dalam dan kawasannya tiada lampu jalan. Masuk sahaja ke kawasan itu, pasti saya akan membuka high beam, maklumlah, rabun silau saya agak tinggi akibat asyik bermain game sahaja sebelum tidur. Sampai di rumah, saya parking kereta, dan menutup gate, kemudian saya menutup pintu grill dan sliding door, sebelum masuk ke dalam bilik saya.
Bilik saya merupakan master bedroom rumah tersebut, dan terletak di hadapan sekali. Saya duduk di kerusi dan mula membuka buku untuk study, setelah hampir seharian membuang masa.
Sedang saya study, tiba-tiba terdengar bunyi hentakan di boot kereta saya di luar. Ibarat macam ada orang mengetuk-ngetuk boot kereta saya. Tidak mengesyaki apa-apa, terus saya menjengah keluar. Ternampak seekor anak kucing sedang melompat-lompat di atas kereta saya, kerana banyak kelkatu yang terbang di atas, mungkin anak kucing tersebut ingin menangkapnya.
Saya ke dapur, dan mengambil baki nasi goreng di dapur, kerana di dalamnya ada ayam, mungkin kucing tersebut berselera. Saya letakkan di dalam pinggan dan memanggil kucing tersebut dengan membuat bunyi seakan-akan cicak. Kucing tersebut datang dan mula makan. Saya lalu menutup semula sliding door dan masuk untuk meneruskan study.
Jam 2 pagi, tiba-tiba bunyi pinggan di luar semakin lama semakin kuat, seperti ada orang yang menyeret pinggan itu ke depan dan ke belakang.
Makin lama makin kuat, sehinggakan saya terfikir, 

'Eh, bernafsu sungguh kucing tu makan. Betul-betul kelaparan ni.'
Tiba-tiba datang rasa seram sejuk dan bulu roma saya di tengkuk terasa berdiri. Saya, tanpa memikirkan apa-apa, terus menjengah melalui pintu bilik saya dan........
.......Alangkah terkejutnya saya bila terlihat sekujur tubuh sedang menunduk ibarat orang sedang bersujud, dan meratah tulang-temulang yang berada di dalam pinggan itu. Rambutnya hitam dan panjang sehingga ke lantai dan berbaju putih. "Dia" tunduk sahaja seperti sedang khusyuk menikmati makanan (nasi goreng berisi ayam itu) sehinggakan tidak perasan hamba Allah ini sedang melihatnya. Saya jadi terlalu takut, perlahan-lahan saya berundur semula dan masuk ke dalam bilik saya.
Yang kelakarnya, saya berundur dan duduk di sudut bilik saya kerana teringat, biasanya dalam cerita hantu, hantunya akan muncul daripada belakang, jadi kalau saya dah duduk di sudut, coverage mata saya bagus dan boleh nampak seluruh bilik saya, dan di belakang saya pula dinding, kecuali kalau hantu tu main tipulah, main tembus dinding.
...Boleh pulak terfikir sebegitu. "PRANG!!", bunyi pinggan pecah menyebabkan external sphincter saya gagal menahan air kencing sehinggakan saya terkencing dalam seluar.
Saya terlalu takut. Berkumat-kamit ayat kursi dan apa2 ayat saya baca. Muka pucat lesi dan menggigil ketakutan, takut kalau tiba2 'dia' muncul daripada atas, atau dia masuk ke dalam rumah. Jam 530 pagi, saya masih kaget di sudut bilik.
Tiba2 perut memulas nak terbuang air besar, namun sebab terlalu takut saya tahan sahaja. Mungkin kerana makanan yang saya masak menakibatkan perut memulas pula. Sehinggalah azan subuh berkumandang, cepat2 saya bangun, tapi bukan ke toilet lah, mana taknya, orang kata bila azan, syaitan lari bersembunyi dalam toilet, takut bila saya lari ke nak buang air, pontianak tu pun lari nak sembunyi daripada azan di toilet yang sama...memang lawak bila difikirkan betapa detailnya saya berfikir sewaktu itu
Bila hari cerah, saya bersihkan bilik yang berbau hancing, dan bila saya berjalan keluar rumah, saya dapati ya, memang pinggan tersebut pecah, seolah-olah dileparkan ke dinding. Saya cerita kepada kawan saya, tapi saya masih fikir sehingga sekarang, mungkin hantu tu geram kerana makan nasi yang tak sedap, dan membalingnya ke dinding. Kemudian tak jadi nak ganggu saya kerana kena food poisoning gamaknya... 
Dah lepas kena tu, hari2 saya tidur bilik Andi sampailah kawan housemate saya pulang daripada kampung halamannya

Nukilan Dr Onn Azli Puade

Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke m.me/arkibangker